8 Idea Bekal untuk Anak-Anak Semangat Ke Sekolah

Kredit: nbcnews.com

Salam tahun baru semua! Marilah kita sama-sama buang yang keruh dan ambil yang jernih. Lupakan segala memori pahit tahun lalu dan sediakan diri untuk lalui tahun baru ini dengan tubuh yang sihat dan minda yang positif dalam persekitaran penuh dengan kasih sayang.

Namun begitu, keterujaan menyambut tahun baru tidak kekal lama. Anda perlu kembali ke pejabat dan anak-anak anda perlu mulakan persekolahan mereka semula.

 

Tahun Baru, Semangat Baru

Bagi anda, mungkin rasa sendu tahun baru itu cepat hilang kerana tanggungjawab yang dipikul memaksa anda untuk menerima nasib anda. Tetapi anak-anak pula, pasti berasa sukar untuk kembali ke rutin  bangun pagi dan ke sekolah setelah berbulan-bulan bercuti.

Cara untuk naikkan semangat anak-anak mudah sahaja. Anda perlu cari jalan lain untuk pastikan anak kekal fokus dan bersemangat setiap kali hendak ke sekolah. Caranya, semestilah menerusi makanan!

 

Menarik, Segar Bertenaga

Anak-anak yang bersekolah memerlukan makanan yang memberikan tenaga dan merangsangkan otak. Oleh itu, makanan segera dan makanan sejuk beku perlu dielakkan.

Kami faham, bukan semua daripada anda ialah suri rumah tangga. Oleh itu, bekal makanan yang mahu disiapkan untuk anak-anak mestilah cepat dan ringkas. 8 idea bekal kami ini pasti memenuhi kesemua kriteria yang disenaraikan di atas.

Bukan sahaja anak-anak suka, malah bapa-bapa juga seronok apabila diberi bekal sebegini.

 

1. Makaroni Goreng dan Sayur Hijau Rebus

Kredit: eatingwell.com

Budak-budak mana yang tidak sukakan makaroni goreng? Makaroni goreng ialah sajian yang sentiasa menjadi pilihan mak-mak yang sibuk mengejar masa. Memang penyelamat betul!

Perkara yang menarik tentang makaroni ialah anda boleh masak dengan apa jua bahan yang anda mahu, seringkas atau serumit mana yang anda mahu.

Tambahan pula, tempoh penyediaan untuk sajian ini tidak mengambil masa yang lama langsung. Memang sesuai untuk dijadikan sebagai idea bakal anda sediakan pada hari pertama persekolahan anak anda. Anggap sahaja sebagai sajian latihan untuk anda biasakan diri.

Dalam banyak-banyak resepi makaroni yang ada di luar sana, resepi yang dikongsi di laman Butterkicap adalah yang paling sedap dan mudah untuk disediakan. Tak percaya? Cubalah!

 

2. Daging Cincang dalam Roti Pita dan Salad Couscous

daging cincang

Idea bekal seterusnya pasti akan membuatkan anak-anak anda tak sabar nak ke sekolah!

Daging cincang merupakan satu hidangan yang jamin habis dimakan oleh anak anda. Hanya memerlukan setengah jam untuk disediakan dan dimasak, daging cincang merupakan sajian yang versatil kerana boleh dihidang bersama nasi, bubur, atau kentang lecek bermentega. Namun begitu, untuk idea bekal, kami cadangkan anda untuk hidangkan sajian ini bersama roti pita.

Jika anda merasakan daging cincang bukanlah hidang sihat yang ideal untuk anak anda, jangan risau! Tambahkan sahaja sayur hijau seperti kacang panjang, kacang pis mahupun brokoli dan lihatlah, anak anda akan terpedaya ataupun sediakan salad couscous ringkas dengan sedikit salad, tomato ceri dan couscous bercili!

Untuk dapatkan resepi daging cincang terbaik, cuba sahaja resepi versi Butterkicap ini.

 

3. Roti Jala Teh Hijau dan Kastard Gula Melaka

Green Tea Lace Pancakes with Gula Melaka Custard

Siapa kata,  idea bekal untuk anak-anak mestilah makanan savouri atau berat? Kadang kala, anak-anak perlukan sedikit manisan untuk berikan letusan tenaga yang diperlukan khususnya jika ada aktiviti bersukan yang dijadualkan.

Idea bekal ketiga yang kami ketengahkan dalam artikel ini ialah resepi roti jala teh hijau dan sos karamel yang cukup menyelerakan ini.

Anda mungkin merasakan teh hijau bukanlah perisa kegemaran kanak-kanak tetapi apabila digabung bersama sos kastard istimewa ini, memang sedap hingga menjilat jari.

Tak perlu sediakan banyak-banyak kerana takut anak anda menjadi terlebih hiper pula!

 

4. Nasi Butter dan Siakap Kicap


Untuk waktu anda sibuk dan perlukan idea bekal yang pantas dan ringkas, simpanlah hidangan ini sebagai menu kecemasan anda.

Bagi kebanyakan ibu bapa, mereka menganggap mentega tidak baik untuk kesihatan anak-anak. Sebenarnya, mentega ada banyak kebaikan dan manfaat kesihatan yang boleh diperoleh khususnya dalam menajamkan otak dan mengurangkan kekaburan.

Kalau anda nak nikmati manfaat ini dalam meningkatkan prestasi kerja anda, masukkan sahaja ke dalam cawan kopi’o anda. Untuk anak-anak pula, sediakan nasi mentega dan sedikit siakap masak kicap. Mudah sahaja kan!

 

5. Nasi, Ayam Goreng Rempah dan Brokoli Miso Panggang


Makanan berkuah memang melecehkan, khususnya jika anda sediakan makanan bekal untuk anak-anak. Memang tidak ideal kerana terdapat kemungkinan berlaku kebocoran atau tertumpah. Biasalah, kanak-kanak.

Namun begitu, anda tidak akan dapat lari daripada rasa terkilan apabila makanan yang anda sediakan tertumpah ke lantai dan tidak dapat dimakan. Cara terbaik untuk elakkan masalah berlaku, sediakan makanan kering. Janganlah terlalu kering, nanti tercekik pula anak anda!

Idea bekal terbaik yang menepati kriteria ini semestinya nasi putih, ayam goreng dan brokoli panggang. Memang ringkas, sedap dan kering atau tidak, pasti habis licin!

 

6. Nasi, Ikan Assam dan Jelatah

ikan asam

Jika anda ada sedikit masa terluang atau tidak begitu sibuk atau terlebih rajin, bolehlah anda sediakan sesuatu yang lebih kompleks. Tunjuklah sedikit taring, betul tak?

Tak perlu sediakan stik panggang atau makanan mewah bertaraf restoran mahal. Budak-budak kalau diberi sumber protein, pasti dimakan. Paling penting cukup rasa dan tak terlalu berat.

Oleh itu, kami merasakan idea bekal cukup ringkas dan rumit pada masa yang sama untuk anda pamerkan skil memasak anda tetapi tidak membebankan anda. Suami anda pun dapat tumpang bawa bekal ke pejabat. Tambahan pula, siapa tak sukakan ikan asam?

7. Nasi, Sotong Hitam dan Brokoli, Cendawan & Fucuk

Nasi lagi? Ya, sebab kalau dah perut Malaysia, makan nasi barulah rasa kenyang. Idea bekal ketujuh dalam senarai ini memaparkan sajian yang cukup sesuai untuk dijadikan sebagai bekal untuk seisi keluarga. Senang sikit untuk anda.

Sotong hitam mungkin bukanlah pilihan utama anda untuk dijadikan sebagai bekal anak anda kerana sajian ini boleh dikatakan sebagai hidangan yang dewasa. Tetapi, rasanya cukup untuk membuatkan anak anda bertambah makan berkali-kali!

Tak percaya? Cubalah buat sekali dan lihatlah anak anda akan minta lagi nanti. Tambahan pula, anda boleh masak lebih untuk makan malam juga. Tak perlu sakit kepala fikir nak masak apa lepas penat seharian bekerja, betul tak?

 

8. Mee Siam dan Kek Teh Tarik

Bagi anak-anak yang tak menggemari nasi, idea bekal terakhir ini memang sesuai untuk mereka. Resepi Mee Siam ini cukup ringkas dan menyelerakan untuk mengalas perut anak anda khususnya pada hari persekolahan yang singkat seperti Hari Jumaat.

Tambahan pula, anda boleh memilih untuk menyediakan pencuci mulut mudah seperti kek teh tarik dalam cawan untuk membuatkan mereka lebih teruja untuk ke sekolah sebelum hujung minggu tiba. Itupun kalau anda bersemangat nak buatlah.

 

Jom Buat Bekal

Bagaimana dengan idea bekal yang kami cadangkan? Mungkin tidak begitu kebudak-budakan dan kreatif seperti idea bekal lain yang dicadangkan dalam laman web lain.

Tetapi, perkara yang membuatkan idea bekal kami lain daripada yang lain ialah sajian-sajian inilah yang sering disediakan oleh ibu bapa kita dahulu untuk dijadikan bekal ke sekolah. Memang membuatkan anda mengimbau kembali zaman sekolah anda, bukan?

Kriteria paling penting dalam penyediaan makanan bekal adalah mengenyangkan. Jika anda berikan snek ringan, mungkin anak anda tidak dapat fokus kerana lapar pula. Anda pernah lalui proses tumbesaran, jadi pasti anda faham.

 

print
Azrene Jasmine

A true blue Penangite, Azrene Jasmine favourite thing to do is, well, eating. Though currently in a love/hate relationship with the weighing scale, she truly believes that every woman should choose a hunk of juicy steak over a bowl of salad on the first date because steaks are awesome and what man can resist a woman with a healthy appetite?

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.