8 Buah Tempatan Yang Jarang Ditemui Sekarang

Kredit: parenting.firstcry.com

Malaysia sememangnya syurga makanan. Anda sebutlah apa jua makanan atau hidangan yang anda mahu, pasti anda akan jumpa di sini. Saya bukannya terlebih yakin tapi itulah hakikatnya.

Dari sajian utama ke pembuka selera hinggalah ke pencuci mulut, anda pasti berasa rambang mata dan pening kepala nak memilih makanan mana anda hendak cuba dahulu.

 

Patah Tumbuh Hilang Berganti

Setiap perkara yang baik, pasti ada unsur-unsur negatif yang terpalit dengannya jua. Walaupun Malaysia kaya dengan kepelbagaian makanan yang enak belaka tetapi dengan peredaran zaman, makanan-makanan kegemaran kita yang dahulu semakin dilupakan.

Mana tidaknya? Untuk memberi ruang kepada trend-trend makanan baru yang lebih moden, makanan-makanan tradisional ini dipinggirkan dan seterusnya menjadi ‘pupus’. Agak menyedihkan tetapi itulah adat dunia.

Perkara yang lebih menyedihkan adalah bukan saja makanan yang terkena tempias ini malah buah-buahan tempatan kita juga. Jika anda perasan, kebanyakan buah yang dijual secara komersial hanyalah buah-buahan popular setiap durian, nangka, cempedak dan rambutan. 

Sebelum Terlambat…

Oleh itu, terdapat kepentingan untuk kita mengenali buah-buahan tempatan yang dahulu cukup popular dalam kalangan masyarakat Malaysia sebelum terlambat. Memang cukup merugikan untuk generasi akan datang tidak sempat merasai dan mencuba buah-buahan ini.

Ayuh kita sama-sama lihat 8 jenis buah-buahan tempatan yang semakin jarang ditemui. Mana tahu nasib anda baik terjumpa buah-buahan ini nanti.

 

1.Jambu Susu

Kredit: the thero

 Buah pertama yang saya senaraikan di sini ialah buah jambu susu. Saiznya agak besar dan berwarna putih seperti susu. Meskipun namanya begitu, rasa buah jambu ini tidak begitu digemari ramai kerana sedikit masam dan terasa kelat. Buah jambu ini memang sedap dimakan bila dibuat jeruk, tambah-tambah lagi jika diletakkan asam boi dan hirisan cili padi. Namun begitu, jangan makan terlalu banyak kerana buah jambu susu ini mempunyai tahap keasidan yang tinggi hingga boleh menyebabkan pedih ulu hati. 

2. Jambu Bol

Kredit: Kampus Tani

Buah seterusnya yang disenaraikan dalam artikel ini ialah buah jambu bol ataupun jambu air. Baiklah, saya mengaku buah ini taklah sesukar mana untuk ditemui tetapi populariti buah ini semakin berkurangan. Buah jambu bol sangat manis dan memang sedap dimakan segar. Ada juga golongan yang makan buah jambu ini dengan nasi. Katanya, dibuat sebagai ulam. Tak tahulah sedap atau tidak tapi anda boleh cuba nanti.

Kalau teringin nak makan jambu bol, anda bolehlah berhenti sebentar di mana-mana kawasan rehat di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan. Memang banyak buah bol yang dijual di sana!

 

3. Buah Kundang

Kredit: Mori Said

Buah tempatan ketiga yang semakin sukar untuk ditemui ialah buah kundang. Buah kundang atau buah kemior lazimnya dikategorikan sebagai buah kampung kerana pokok buah ini tumbuh dengan banyaknya di kawasan kampung. Buah kundang ini kelihatan seperti buah mangga kecil tetapi rasanya lebih masam dan mempunyai kadar serat yang lebih tinggi daripada buah mangga. Berhati-hati apabila memegang buah ini kerana getahnya boleh menyebabkan keradangan kulit.

Lazimnya buah kundang dinikmati sebagai pembuka selera, seolah-olah seperti salad. Memang cukup sedap apabila dijadikan sebagai kerabu!

 

4. Buah Cermai

Kredit:bukalapak

Bagi individu yang berasal dari kawasan utara tanah air, anda pasti kenal buah ini. Buah cermai atau nama dalam bahasa Inggeris, gooseberry, tumbuh dalam gugusan. Buahnya kecil dan berwarna hijau. Orang di utara cukup suka makan buah cermai ini dengan sedikit garam ataupun dijadikan sebagai ulam. Memang naik selera apabila makan buah ini dengan sambal belacan!

Buah cermai mempunyai nilai khasiat yang tinggi dan dipercayai digunakan sebagai penawar tradisional untuk penyakit sembelit, tekanan darah tinggi dan juga menghilangkan rasa bisa apabila digigit serangga. Saya tidak begitu pasti jika anda perlu melumurkan atau makan buah ini untuk hilangkan bisa gigitan tersebut. Apa kata, anda cari dan beritahu saya di ruangan komen di bawah.

 

5. Buah Jentik

Kredit: Trade Winds Fruit

Buah tempatan kelima yang saya senaraikan dalam artikel ini ialah buah kegemaran saya. Kenapa? Sekejap lagi saya terangkan.

Buah jentik seringkali dikelirukan dengan buah rambai tetapi buah jentik mempunyai kulit berwarna oren terang dan lebih kecil berbanding buah rambai. Rasa buah ini masam kelat tetapi jika anda bernasib baik, anda akan dapat beberapa biji yang isinya terasa cukup manis.

Perkara yang cukup menarik tentang buah ini ialah anda perlu menjentik kulit buah ini untuk membukanya dan makan isi di dalam. Semasa kecil, itulah aktiviti kegemaran saya. Kalau nak anak anda duduk diam semasa anda makan buah jentik, suruhlah anak anda jentik buah ini.

 

6. Buah Kuinin

Kredit: Instazu.com

Cukup senang untuk saya tahu jika ada buah kuinin di rumah atau tak kerana baunya. Baunya cukup wangi dan rasanya sangatlah manis. Buah kuinin ini sering kali dikelirukan dengan buah bachang tetapi bezanya, buah kuinin lebih bujur berbanding buah bachang. 

Saya tak begitu menggemari makan buah kuinin ini begitu saja. Saya biasa makan buah kuinin ini dengan sambal belacan atau cencaluk. Memang sesuai pembuka selera.

 

7. Buah Pulasan

Kredit: Trade Winds Fruit

Ini bukan buah rambutan. Ya, buah ini berwarna merah seperti rambutan, mempunyai rambut seperti rambutan tetapi tidak. Buah ini ialah buah pulasan. Namanya diberi sebegitu kerana untuk kupas buah ini, anda perlu pulas kulit di luar.

Rasanya lebih manis dan isinya lebih lekang berbanding buah rambutan. Buah pulasan ini cukup sukar untuk ditemui di luar kerana lazimnya ditanam di kebun atau laman rumah masyarakat kampung. Anda cukup bertuah jika kenal sesiapa yang menanam buah pulasan di rumah kerana jika ditemui di luar, anda pasti terkejut melihat harganya yang cukup mahal.

 

8. Buah Rokam

Kredit: Hanya di Alam Maya Aku Bercerita

Buah terakhir dalam senarai buah ‘pupus’ saya ialah buah rokam. Sejujurnya, saya pun tidak pernah cuba atau jumpa buah ini. Buah rokam ini kelihatan seperti buah ceri. Rasanya sangat masam dan teksturnya cukup rangup. Kalau anda suka buah yang masam, anda wajib mencubanya. Buah ini cukup susah untuk ditemui kerana buah ini tak popular dalam kalangan masyarakat Malaysia kerana tidak begitu banyak manfaat yang dapat diperolehi daripada buah ini.

Tapi, jika anda berkesempatan untuk mencubanya, apa kata anda cuba resepi epal goreng kami dengan menggunakan buah rokam ini. Mana tahu sedap pula, kan?

Walau Tiada Jangan Dilupakan

Setakat itu sajalah senarai buah-buahan tempatan yang semakin susah untuk ditemui sekarang. Saya tahu pasti ada banyak lagi buah-buahan lain yang berada di ambang kepupusan. Jika anda tahu, komenlah di bawah supaya saya dapat kembangkan lagi artikel ini nanti.

Apapun, jangan kita lupakan yang lama hanya untuk memberi ruang kepada yang baru. Memang cukup merugikan jika generasi-generasi akan datang tidak tahu buah-buahan tempatan yang pernah mewarnai kehidupan kita pada satu masa dahulu.

print
Azrene Jasmine
Azrene Jasmine

Azrene Jasmine is a Penangite with a stomach of gold. Though currently she is in a love/hate relationship with the weighing scale, Azrene truly believes that every woman should choose a hunk of juicy steak over a bowl of salad on the first date because steaks are awesome and what man can resist a woman with a healthy appetite?

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Something is wrong.
Instagram token error.
Load More