7 Cara Jadikan Buah Limau Mandarin Lebihan Lebih Menarik

Kredit: amazonaws.com

Sambutan Tahun Baru Cina sudah berakhir beberapa hari lepas dengan sambutan Chap Goh Mei. Walaupun begitu, kotak-kotak buah limau yang masin tersusun di satu sudut dapur anda masih belum berakhir. Saya pasti, anda sudah muak nak makan buah limau mandarin.

Iyalah, kalau asyik makan buah limau mandarin setiap hari, memanglah tidak pandang. Tambahan pula, makan terlalu banyak buah limau juga tidak elok kerana boleh membuatkan anda demam dan sakit tekak pula. Musim panas dan kering sekarang tidak boleh dibuat main, tahu.

 

 

Kebaikan Buah Limau Mandarin

Kenapa buah limau mandarin bagus untuk dimakan (meskipun tidak terlalu banyak)?

Hal ini demikian kerana buah limau kaya dengan  Vitamin C dan hesperidin. Di samping itu, kandungan hesperidin di dalam buah limau dikatakan lebih tinggi berbanding buah oren dan lemon.

Apa itu hesperidin, anda tanya? Hesperidin merupakan ejen yang bekerjasama dengan Vitamin C untuk menggalakkan pembentukan kolagen.

Dalam erti kata lain, apabila anda makan banyak buah limau, anda dapat kekal muda remaja! Siapa tak nak disangka sebagai kakak anak sendiri, betul tak?

 

Jangan Membazir Buah Limau Mandarin

Dilema buah limau mandarin yang tak habis-habis ini memang sesuatu yang sering berlaku setiap tahun. Memang tidak dapat dielakkan! Daripada akhirnya membuatkan lebihan buah limau dibuang begitu sahaja, mari kita buat sedikit perubahan tahun ini.

Lagipun, membazir amalan syaitan, bukan?

1. Jus


Salah satu cara untuk pastikan anda tidak membazir lebihan buah dengan cara lain selain daripada makan buah begitu sahaja adalah dengan menjadikan buah limau lebihan anda sebagai jus.

Jika anda bosan dengan jus berperisa oren yang kosong, anda boleh tambah sedikit rempah ratus seperti halia, bunga cengkih dan kayu manis, jika mahu. Cubalah resepi jus buah limau berempah istimewa Butterkicap!

2. Jem Marmalade

BBC.com

Jika anda dah penat minum jus oren, anda boleh sediakan jem oren atau marmalade pula! Mungkin pada namanya, anda merasakan bahan-bahan untuk menyediakan jem ini, anda perlu membelanjakan wang yang banyak. Hakikatnya, anda hanya perlukan buah limau, gula dan sedikit perahan jus lemon.

Marmalade merupakan jem yang cukup popular di England (kini lebih dikenali sebagai United Kingdom) dan kononnya marmalade mendapat namanya kerana Queen Mary of Scots makan jem ini semasa sakit dan dayang-dayang beliau mengatakan, ‘oh, Mary sakit’ dalam bahasa Perancis, ‘Mary est malade‘. Malangnya, itu hanya cerita sahaja.

 

3. Kek Oren

Tak begitu suka jem? Tak mengapa, anda boleh habiskan lebihan buah limau dalam bentuk kek. Di Malaysia, memang sudah menjadi kebiasaan untuk menjadikan buah-buahan lebihan di rumah sebagai manisan atau pencuci mulut.

Jadi, memang tidak menghairankanlah cadangan ini saya sertakan dalam artikel ini. Bagi yang tidak menyukai pencuci mulut atau kek yang terlalu manis, kek oren merupakan pilihan pencuci mulut terbaik untuk anda. Tak perlu banyak bahan. Hanya kerajinan sahaja!

 

4. Kiub Ais Kulit Oren

Kredit: kombuchahome.com

Dalam cuaca panas terik begini, minuman sejuk dan menyegarkan memang cukup dialu-alukan. Musim inilah sebenarnya musim yang melariskan segala makanan sejuk seperti cendol, ais kacang atau air batu campur, laici kang, aiskrim dan pelbagai makanan lain sejuk lain kerana pada waktu inilah, badan anda yang terasa kering dan kurang air dambakan sesuatu yang menghilangkan haus anda.

Namun begitu, takkanlah anda nak menghabiskan wang banyak semata-mata untuk minum ais? Satu-satunya cara yang bukan sahaja menjimatkan wang anda malah cukup menarik untuk disediakan ialah kiub ais kulit oren. Menang cukup menyegarkan!

Hanya letakkan kulit oren yang dibersihkan dalam bekas ais, isikan air dan simpan di dalam peti sejuk. Senang sahaja.

 

5. Hirisan Oren Bergula

Cara kelima untuk menghabiskan buah limau lebihan anda di rumah ialah dengan menyediakan hirisan limau bergula. Hirisan limau ini sesuai untuk dijadikan hiasan apabila anda membakar kek, khususnya apabila anda menyediakan kek oren.

Cara untuk menyediakan hirisan oren bergula ini mudah sahaja. Hiris buah oren nipis-nipis, Gaul hirisan oren dalam periuk berisi air gula hingga kulit oren sedikit jernih. Pastikan anda alihkan hirisan oren setiap 15 minit untuk pastikan buah oren disalut dengan rata. Selepas itu, sejukkan di atas rak pembakar.

 

 

6. Kuah Salad

 

Kalau anda suka makan salad, anda pasti tahu betapa susahnya untuk jadikan salad lebih menarik. Mana tidaknya, salad lazimnya mengandungi bahan yang sama. Namun begitu, itu tidak bermakna anda tidak boleh bereksperimen.

Berikan kelainan pada salad anda dengan sedikit kuah salad menggunakan oren. Ya, bagi yang tidak tahu, anda boleh sediakan kuah salad menggunakan oren. Menyediakan kuah salad oren ini mudah sahaja. Ikuti resepi di bawah:

Bahan-Bahan

  • 1 1/2 (1/3 cawan) jus oren
  • 1/2 sudu besar madu
  • 2 sudu besar jus lemon
  • 1/2 sudu besar minyak zaitun
  • 1/4 sudu teh garam laut
  • 1/4 sudu teh lada hitam

Cara-Cara

  1. Masukkan kesemua bahan dalam pengisar dan kisar hingga halus.

 

7. Teh Oren

Kredit: healthylifestylesliving.com

Cara terakhir dalam artikel ini untuk memastikan buah limau lebihan anda dapat dihabiskan adalah dengan menyediakan teh oren. Ya, mata anda tak menipu anda. Saya memang maksudkan teh oren.

Rasa masam manis bersitrus oren dan wangi teh memang gabungan yang cukup sedap. Untuk menyediakan teh oren ini mudah sahaja. Masukkan sehiris buah oren di dalam cawan teh anda dan tuang teh panas ke dalam. Biar seketika untuk rasa oren itu meresap ke dalam teh.

Kalau nak rasa oren yang lebih kuat, anda boleh letakkan hirisan oren di dalam serbuk teh semasa membancuh teh ataupun letakkan dua sudu teh jus oren ke dalam teh anda.

Memang sedap untuk dinikmati panas-panas atau dengan ais!

 

Suka Idea-Idea Ini?

Itu sahaja cara-cara menarik untuk anda habiskan lebihan buah oren di rumah selepas sambutan Tahun Baru Cina. Daripada dibiarkan membusuk di dalam peti sejuk. Lebih baik anda bereksperimen dengan buah limau anda dengan 7 cara yang saya cadangkan ini.

Memang satu aktiviti menarik untuk dilakukan bersama-sama pasangan atau anak-anak pada waktu hujung minggu! Jika anda mempunyai cara-cara lain untuk habiskan lebihan buah oren, jangan lupa untuk kongsi bersama kami dengan memberikan komen di bawah.

Ingat, membazir amalan syaitan!

print
Azrene Jasmine
Azrene Jasmine

Azrene Jasmine is a Penangite with a stomach of gold. Though currently she is in a love/hate relationship with the weighing scale, Azrene truly believes that every woman should choose a hunk of juicy steak over a bowl of salad on the first date because steaks are awesome and what man can resist a woman with a healthy appetite?

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Something is wrong.
Instagram token error.
Load More