5 Resepi Cendawan Untuk Dinikmati Pada Hari Cuti

Kredit: www.livestrong.com

Dalam banyak-banyak makanan sunnah, makanan yang paling kurang popular ialah cendawan. Pasti anda pun tidak tahu tentang fakta ini, bukan?

Cendawan mempunyai banyak manfaat kesihatan yang cukup baik untuk kita. Cendawan mempunyai zat-zat yang diperlukan tubuh badan seperti vitamin D agar tahap kesihatan imunisasi badan dan organ-organ penting.

Kalau nak lebih sihat dan kurus makanlah cendawan. Namun begitu, ingat! Makan secara bersederhana. Terlebih makan cendawan pun tak boleh juga.

 

 Waktu Cuti Waktu Eksperimen

Sempena sambutan Maulidur Rasul yang bakal menjelma esok, sesuai sangatlah untuk anda luangkan masa dan cuba resepi-resepi cendawan yang pasti membuatkan sesiapa sahaja yang anti-sayur, makan hingga menjilat jari.

Daripada asyik makan cendawan goreng dan piza sahaja, luaskan lagi pengetahuan masakan cendawan agar boleh dinikmati sepanjang masa. Selain itu, bukankah anda akan mendapat berkat lebih kerana makan makanan sunnah? Sambil menyelam, minum air.

Cendawankan Diet Anda

Bagi yang ketandusan idea untuk sediakan sajian bercendawan yang lain daripada lain, kami kongsi bersama anda 5 sajian cendawan yang sesuai dengan ‘perut Malaysia’ kita. Setiap resipi yang dikongsi memang cepat dan mudah untuk disediakan. Anda cuma perlukan luangkan masa sahaja.

Cendawan Masala

Kredit: www.hungryforever.com

Diinspirasikan daripada masakan India yang kaya dengan rempah ratus, sajian cendawan masala ini memang sesuai untuk sesiapa sahaja yang sukakan makanan pedas. Boleh dipasangkan dengan roti dan nasi, resepi ini begitu menyelerakan sehinggakan anak anda yang selalunya tak suka makan sayur pun akan menambah selepas satu suapan.

Bahan-Bahan

  • 500g cendawan butang, dihiris tebal
  • 1 cawan puri tomato
  • 2 biji bawang besae, dihiris nipis
  • 4 tangkai cili hijau, dibelah tengah
  • 1 sudu teh biji sawi
  • 2 sudu teh jintan putih
  • 2 sudu teh serbuk jintan
  • 2 sudu teh serbuk garam masala
  • 3 sudu teh serbuk cili
  • 1/2 sudu teh serbuk kunyit
  • 1 biji lada benggala, dipotong dadu
  • 3 sudu besar pes bawang putih halia
  • 5 ulas bawang putih, dihiris
  • 4 tangkai daun kari
  • Jus lemon, secukup rasa
  • Lada hitam, secukup rasa

 

Cara-Cara

  1. Panaskan periuk di atas api sederhana besar. Masukkan minyak dan tunggu hingga minyak panas.
  2. Masukkan biji sawi dan tunggu sehingga biji melenting.
  3. Masukkan jintan putih, daun kari, cili hijau, serbuk kunyit, bawang besar, pes bawang putih halia, garam.
  4. Kacau hingga bawang besar dan pes bawang putih halia masak dan empuk.
  5. Masukkan serbuk jintan, serbuk ketumbar, serbuk cili, lada benggala, cendawan, puri tomato. Tambahkan garam jika masih kurang masin.
  6. Tutup periuk dan biar selama 3-5 minit untuk cendawan dan lada benggala menjadi empuk.
  7. Kecilkan api dan sediakan bahan tumisan.
  8. Dalam kuali leper berasingan, panaskan mentega sehingga cair. Masukkan cili hijau, bawang putih, lada hitam, daun kari dan garam. Tumis sehingga bawang putih lembut.
  9. Padamkan api dan angkat kuali. Masukkan bahan tumisan ke dalam masakan masala di dalam periuk. Rasa dan tambah garam dan gula jika perlu.

 

Pau Cendawan

Kredit: www.tastingtable.com

Bahan-Bahan

Untuk ban:
  • ¾ cawan air panas
  • 2 sudu teh yis kering aktif
  • 2 cawan (tambah 2 sudu besar) tepung roti
  • 3 sudu besar gula
  • 2½ sudu besar lelemak sayur
  • 1½ sudu besar garam
  • ¼ sudu teh serbuk penaik
  • ¼ sudu teh soda penaik

 

Jeruk:
  • 2 timun jepun, dihiris panjang-panjang
  • 1 sudu besar gula
  • 1 sudu teh garam

 

Isi Cendawan:
  • 1/4 cawan madu
  • 1/4 cawan miso
  • 1/4 cawan kicap cair
  • 250g cendawan shitake kering
  • 1 sudu besar minyak sayur
  • 1/3 cawan sos hoisin
  • 5 tangkai daun bawang, dihiris nipis

 

Cara-Cara

Ban Kukus:
  1. Dalam mangkuk adunan, masukkan air dan yis kering aktif. Biarkan selama 10 minit sehingga yis kembang.
  2. Masukkan baki bahan ban ke dalam mangkuk dan uli doh selama 8-10 miniy. Bentukkan doh menjadi bebola dan masukkan ke dalam mangkuk yang sudah digris minyak.
  3. Tutup mangkuk dengan pembalut plastik dan biarkan doh rehat di tempat yang suam sehingga saiz doh berganda. Proses ini mengambil masa selama 1 jam 15 minit.
  4. Tumbuk doh dan tukar ke permukaan yang ditepungkan sedikit. Bahagiakn doh kepada 24 bebola kecil yang sekata. Tutup bebola doh dengan tuala lembap dan biar doh rehat selama 30 minit.
  5. Menggunakan penggelek, canai bebola doh menjadi bentuk bujur panjang 2 inci.
  6. Sapu sedikit lelemak sayur di hujung jaru dan sapu pada doh yang dicanai. Kemudian, lipat doh dari atas ke bawah. Ulang sehingga semua bebola doh dibentukkan. Tutup semula dengan tuala lembap dan biar doh rehat selama 30 minit.

 

Jeruk:
  1. Masukkan timun yang dihiris panjang-panjang ke dalam mangkuk. Pastikan timun mempunyai ketebalan yang sesuai iaitu kira-kira 1/8 inci tebal.
  2. Tuskan timun bersama gula dan garam. Biarkan selama 10 minit dan ketepikan timun.

 

Inti Cendawan:
  1. Dalam mangkuk lain, masukkan madu, miso, kicap. Ketepikan.
  2. Dalam kuali leper, rendam cendawan kering. Tutup dengan pinggan kecil untuk pastikan cendawan terendam sepenuhnya.
  3. Panaskan sehingga air mendidih. Kemudian, kecilkan api dan biarkan air mereneh sehingga cendawan terhidrat sepenuhnya. Proses ini mengambil masa selama 5 minit.
  4. Tapis keluar cendawan dan biar menyejuk pada suhu bilik. Apabila cendawan sudah sejuk untuk dipegang, hiris nipis-nipis.
  5. Dalam kuali menggoreng, hidupkan api pada suhu tinggi.
  6. Masukkan minyak dan cendawan yang dihiris. Kacau beberapa kali untuk pastikan cendawan masak di kedua-dua bahagian selama 5 hingga 7 minit. Masukkan campuran sos dan masak hingga cecair memekat. Ketepikan.

 

Mengukus:
  1. Sediakan pengukus dan lapikkan dengan kertas masakan. Pastikan tinggalkan ruang sedikit untuk aliran asap kukusan.
  2. Kukus ban selama 8 hingga 10 minit.
  3. Hidangkan ban dengan menyapu sedikit sos hoisin, 3 hingga 4 hirisan jeruk, sesudu cendawan dan hias dengan hirisan daun bawang.

 

Popia Cendawan

Kredit: www.foodandwine.com

Popia cendawan memang snek yang cukup laris apabila menonton televisyen. Sekali suap, memang tak berhenti! Kalau anda nak sediakan snek ini sebagai kudapan anda di hadapan televisyen, jangan lupa untuk sediakan banyak-banyak supaya anda tak perlu berulang-alik ke dapur sepuluh kali. Netflix takkan benarkan anda pergi terlalu lama.

Bahan-Bahan
  • 1 paket kulit popia
  • 2 cawan susu
  • 250g cawan butang, dipotong dadu
  • 1 cawan stok sayuran
  • 1 biji bawang holland, dipotong dadu
  • garam secukup rasa
Cara-Cara
  1. Tumis bawang holland sehingga sedikit layu.
  2. Masukkan cendawan butang dan kacau seketika.
  3. Masukkan susu dan stok sayur dan biar hingga memekat.
  4. Perasakan dengan hingga cukup rasa.
  5. Boleh masukkan sedikit daun bawang jika mahu.
  6. Apabila kuah sudah memekat pada konsistensi anda mahu, padamkan api dan ketepikan untuk biarkan kuah menyejuk.
  7. Keluarkan kulit popia dan letakkan 1/2 sudu besar inti di tengah. Gulungkan popia. Setelah siap menggulung, anda boleh memilih untuk simpan di dalam peti sejuk atau terus menggoreng.

 

Kurma Cendawan

Kredit: www.hungryforever.com

Kurma cendawan memang sedap dimakan dengan nasi mahupun roti pratha. Lemak cendawan itu memang cukup terserlah apabila dinikmati ringkas seperti itu.

Bahan-Bahan

  • 2 sudu besar minyak sayuran
  • 4 ulas bawang putih, dicincang
  • 2 sudu teh halia parut
  • 2 biji bawang besar, dihiris nipis
  • 3 sudu teh garam masala
  • 1/2 cawan yogurt
  • 80 ml santan cair
  • 8 cawan cendawan tiram
  • 2 biji kentang, dibelah enam

 

Campuran pes rempah:
  • 3 biji bawang merah, dipotong dadu
  • 8 ulas bawang putih, dipotong dadu
  • 1 inci halia, dihiris nipis
  • 1 sudu besar serbuk lada hitam
  • 2 sudu besar serbuk jintan
  • 2 sudu teh serbuk jintan putih
  • 2 sudu teh serbuk ketumbar
  • 3 sudu teh serbuk cili

 

Cara-Cara

  1. Panaskan minyak di dalam kuali menggoreng dasar dalam pada api sederhana besar.
  2. Masukkan minyak. Apabila minyak sudah panas, masukkan bawang besar dang tumis hingga lembut.
  3. Masukkan halia dan bawang putih dan kacau selama seminit.
  4. Masukkan garam masalam dan kacau hingga sekata selama seminit.
  5. Masukkan pes rempah dan kacau hingga sebati.
  6. Kecilkan api dan kacau pes agar tidak melekat pada dasar kuali.
  7. Masak selama 10 minit atau hingga pes tidak lagi berbau tak masak dan tidak berasa pahit.
  8. Masukkan yogurt dan kacau selama beberapa minit.
  9. Masukkan cendawan dan perasa dengan garam secukup rasa. Kacau hingga sebati.
  10. Masak selama 2-3 minit lagi hingga cendawan menjadi lembut dan keluarkan jus.
  11. Masukkan kentang dan separuh santan.
  12. Tunggu hingga kuah mendidih atas api sederhana besar sebelum kecilkan api untuk biar kuah mereneh selama 3-4 minit.
  13. Masukkan baki santan dan padamkan api.

Sate Cendawan

Kredit: www.washingtonpost.com

Kalau dah bosan makan daging tapi masih nak rasa salai dalam masakan anda, cubalah sate cendawan pula. Memang mudah, ringkas dan cukup menyelerakan. Tak perlu susah-susah buka atau beli tempat barbeku sebab panggang atas kuali pun dah cukup.

Bahan-Bahan

  • 200g cendawan Portobello
  • 200g cendawan Tiram
  • 4sm halia
  • 1 cawan santan pekat
  • 2 sudu besar kacang goreng
  • 2 sudu teh biji ketumbar
  • 2 inci kunyit hidup
  • 1 sudu teh biji lada hitam
  • 2 sudu teh gula melaka
  • Minyak kacang untuk sapuan
  • Garam secukup rasa

Untuk resepi kuah kacang, dapatkan di sini.

 

Cara-Cara

  1. Kisar kacang, halia, biji ketumbar, kunyit dan lada hitam sehingga mendapat pes halus.
  2. Masukkan santan ke dalam pes dan kacau rata.
  3. Perasa dengan garam dan gula secukup rasa.
  4. Tuangkan campuran ini ke dalam mangkuk berisi cendawan dan perap selama 30 minit.
  5. Cucuk cendawan yang diperap dengan lidi. Anda boleh letakkan sebanyak 4 cendawan pada satu lidi.
  6. Panaskan kuali leper dan letakkan sate cendawan.
  7. Sapu cendawan dengan sedikit minyak dan panggang hingga masak. Alihkan lidi untuk pastikan cendawan masak sepenuhnya. Satu sesi panggang mengambil masa kira 3-5 minit.

 

 

Masaklah Bila Senang

Bagaimana? Adakah anda suka dengan 5 resepi cendawan ini? Jangan lupa untuk kongsi gambar hasil masakan anda dengan kami di laman sosial Facebook dan Instagram. Pastikan anda letakkan #butterkicap pada gambar anda ya. Waktu cuti jangan asyik pesan dari luar, masuklah ke dapur.

 

print
Azrene Jasmine

A true blue Penangite, Azrene Jasmine favourite thing to do is, well, eating. Though currently in a love/hate relationship with the weighing scale, she truly believes that every woman should choose a hunk of juicy steak over a bowl of salad on the first date because steaks are awesome and what man can resist a woman with a healthy appetite?

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.