5 Lagu yang Membuatkan Anda Terus Lapar Lepas Dengar


Kredit: amazonaws.com

Irama dan lagu, khasnya yang klasik tidak asing lagi dalam kehidupan kita. Jika kita membesar dengan datuk atau nenek yang tinggal bersama-sama anda, pasti lagu-lagu klasik menjadi peneman setia. Oleh sebab lagu-lagu ini begitu sebati dengan kehidupan kita, ada kalanya membuatkan kita teringat pada memori atau peristiwa khusus selepas menghayati lirik lagu yang didengar.

Pernah tidak anda berada dalam situasi apabila anda dengar satu lagu, anda akan terus berasa lapar dan teringatkan satu makanan yang lazimnya, anda tak rasa teringin nak makan pun! Kalau kita lihat dari sudut perspektif sains, dikatakan bahawa sesetengah muzik mahupun lagu yang anda dengar akan membuatkan anda lebih berselera untuk menikmati makanan. Di Malaysia, entah betul, entah salah pernyataan ini sebab rakyat Malaysia sentiasa berselera untuk makan tak kira masa mahupun tempat. Namun begitu, ada beberapa muzik ataupun lagu tempatan yang akan menaikkan selera sesiapa sahaja untuk makanan tertentu.

Jadi, tanpa berlengah lagi, inilah antara senarai lagu-lagu klasik yang mengingatkan anda pada makanan dan membuatkan anda berkeroncong sama mengikut rentak irama lagu.

 

#1 – Lagu Dendang Perantau– P.Ramlee


Kredit: creativeunited.my

Setiap kali kita mendengar lagu Tan Sri P. Ramlee ini, khususnya bagi yang tinggal berjauhan dengan keluarga akan mula menitiskan air mata menjelang hari perayaan seperti hari Raya Puasa hanya kerana tidak berkesempatan untuk membeli tiket balik kampung ataupun tidak mendapat cuti panjang. Lagu ini bukan sahaja mengenangkan nasib diri anda yang berada jauh di perantauan malah mengingatkan anda makanan-makanan enak yang anda hanya mampu tatap di dalam gambar seperti rendang ayam, nasi impit, lemang, ketupat, kuah kacang dan banyak lagi sambil mencicah roti kosong ke dalam milo panas. Penulis yang menulis pun sudah mula terbayang keenakan sajian khas dan istimewa hari Raya yang akan menjelang tidak lama lagi. Andai anda tidak mahu mendendangkan lagu ini dengan tangisan sesalan dan keroncong perut anda yang lapar, tempahlah tiket untuk pulang ke kampung lebih awal.

 

#2 – Balik Kampung – Sudirman


Kredit: http://kaki.sini.com.my

Berbeza pula dengan lagu “Dendang Perantau” di atas, lagu “Balik Kampung” oleh Dato’ Sudirman Haji Arshad didengar dengan perasaan yang gembira dan tidak sabar oleh golongan yang berjaya untuk pulang ke kampung bersama keluarga tercinta setelah sekian lama tinggal berjauhan. Mana tidaknya, sambil menyanyi bait-bait lirik lagu yang rancak itu, anda sudah boleh terbayang makanan kegemaran anda disediakan oleh ibu tercinta, khususnya makanan yang sinonim dengan kampung halaman anda seperti masak lemak cili api, sambal belacan, nasi kandar (bagi di Utara), asam pedas (bagi di Selatan) dan sebagainya.

 

#3 – A Hard Day’s Night – the Beatles

Kredit: theoutlook.com.ua

Lagu oleh kumpulan kugiran British terkenal, the Beatles sudah tidak asing lagi kepada rakyat Malaysia. Pasti, di setiap rumah mempunyai koleksi lagu Beatles baik dalam bentuk piring hitam, kaset, cakera padat mahupun yang dimuat turun secara dalam talian. Lagu the Beatles sentiasa memberikan mood untuk anda berehat dan melepak setelah sibuk bekerja. Makanan selesa seperti nasi lemak, kuey teow goreng dan tandoori menjadi pilihan makanan apabila keluar makan bersama rakan-rakan menonton bola mahupun selepas menonton wayang tengah malam.

 

#4 – Lagu Hindustan (Medley daripada Mujhse Dosti Karoge)


Kredit: buzzfeed.com

Lagu Bollywood mahupun Kollywood kaya dengan irama, muzik dan tarian sepertimana makanan masyarakat India juga, enak, pedas dan penuh berperisa. Oleh itu, kaki-kaki cerita hindustan mahupun tamil pasti berasa berselera untuk makan makanan India setelah menonton cerita Bollywood dan Kollywood dengan tarian dan lagu yang rancak. Siapa yang tidak teringinkan Beriyani Ayam ataupun capati dan tosai apabila terikut sekali melihat Shammi Kapoor dan Rajnikanth menari bersama-sama pelakon wanita yang cantik mulus. Selepas bersenam, pasti akan terasa lapar, bukan? Mana tahu, anda akan terjumpa Kajol atau Shah Rukh Khan anda semasa di kedai makan nanti.

 

#5 – Lagu Rakyat (Jing-Kli Nona)


Kredit: djarumcoklat.com

Lagu rakyat sudah tidak lagi didengari ramai kerana generasi muda kini tidak didedahkan dengan lagu-lagu tradisional Malaysia yang cukup indah. Apabila kita mendengar lagu-lagu tradisional kita akan mula mempunyai semangat untuk kembali ke warisan kita dan mula memahami dengan lebih mendalam tentang asal usul kita khususnya, makanan tradisional masing-masing. Selain itu, lagu tradisional bangsa lain juga boleh menjadi satu medium untuk kita yang tinggal di sebuah negara muhibbah seperti Malaysia untuk lebih memahami saudara kita yang berlainan bangsa dan agama; baik dari segi makanan, budaya dan adat masing-masing.

Jadi, apa pendapat anda tentang lagu-lagu pilihan Butterkicap ini? Adakah sedikit sebanyak merangsang imaginasi anda dan perut anda untuk membayangkan makanan yang boleh dikaitkan dengan setiap tema lagu tersebut? Jika ya, kongsi bersama dengan kami lagu-lagu lain yang membuatkan perut anda berkeroncong dan mulut anda dipenuhi air liur.

 

 

 

print
Azrene Jasmine

A true blue Penangite, Azrene Jasmine favourite thing to do is, well, eating. Though currently in a love/hate relationship with the weighing scale, she truly believes that every woman should choose a hunk of juicy steak over a bowl of salad on the first date because steaks are awesome and what man can resist a woman with a healthy appetite?

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.