10 Sajian Nasi India Anda Wajib Cuba di Rumah

Kredit: pepper.ph

Rakyat Malaysia dan nasi tidak dapat dipisahkan. Sehari kalau tidak makan nasi, hidup terasa tidak lengkap. Kenapa nasi sentiasa menjadi pilihan makanan berat utama kita? Jawapannya mudah sahaja.

Percaya atau tidak, nasi mempunyai kadar karbohidrat tertinggi, seperti jagung, berbanding bijirin-bijirin lain. Selain itu nasi juga boleh disediakan dalam pelbagai cara dan menggunakan bahan-bahan lain untuk memberikan kelainan pada rasa dan tekstur nasi.

Jadi, memang bertuah kita dapat makan nasi setiap hari dan bereksperimen dengannya.

 

Nasi Dalam Masyarakat India

Masyarakat India mempunyai keunikan tersendiri dengan menghasilkan sajian nasi yang ringkas tetapi kaya dengan perisa. Oleh itu, memang tidak menghairankan apabila saya menjumpai pelbagai resepi nasi masyarakat India yang menggunakan bahan harian yang mudah didapati di rumah. Paling penting ialah setiap resepi nasi yang dikongsikan mempunyai perisa yang cukup berbeza dan mengejutkan saya kerana walaupun ringkas, rasanya masih enak, baik dimakan kosong atau dengan kari.

Oleh itu, saya merasakan memang sudah tiba masanya untuk rakyat Malaysia didedahkan dengan kepelbagaian masakan nasi cara India. Ingat, masyarakat India bukan sekadar makan roti, naan, paratha dan capati saja! Ayuh kita lihat 10 jenis sajian nasi yang biasa disediakan dalam sebuah keluarga bangsa India.

1. Nasi Dadih

Kredit: Archana’s Kitchen

Mungkin bagi yang tak biasa melihat nasi ini, anda akan berasa pelik melihat nasi yang dibanjiri dadih masam.

Jangan rasa teragak-agak untuk makan kerana terdapat banyak manfaat termasuklah mengelakkan anda daripada terasa lesu pada musim panas dan merendahkan suhu badan. Sesuai sangat untuk dimakan pada waktu panas kering begini!

Bahan-Bahan:

  • 1 cawan beras
  • 2 cawan air
  • 2 cawan yogurt atau dadih
  • 1/2 cawan susu segar (opsyenal)
  • 1 sudu teh garam
  • 3 sudu besar parutan lobak merah
  • 2 sudu besar parutan timun
  • 2 sudu teh hirisan daun ketumbar (opsyenal)

Bahan tumis

  • 2 sudu teh minyak
  • 1 sudu teh jintan putih
  • 1 sudu teh biji sawi
  • 2 sudu teh kacang dal
  • 2 sudu teh kacang kuda (minapa pappu)
  • 2 batang cili merah, dihiris kasar
  • 2 tangkai daun kari
  • 1 sudu teh asafoetida
  • 1 sudu teh halia cincang
  • 2 batang cili hijau, dibelah tengah
  • 10 biji kacang gajus, dicincang kasar (opsyenal)

Cara-Cara:

  1. Masukkan beras ke dalam satu mangkuk dan cuci beberapa kali. Masukkan beras ke dalam periuk tekanan tinggi. Kemudian, tuang air dan garam.
  2. Tunggu hingga tiga kali siulan periuk tekanan tinggi untuk nasi masak.
  3. Apabila nasi sudah masak, keluarkan nasi dan lenyekkan sedikit. Anda boleh gebukan nasi kalau tidak suka nasi hancur. Biarkan nasi menyejuk selama 15-20 minit.
  4. Masukkan yogurt atau dadih dan kacau rata.
  5. Jika anda ingin tambah susu, tuang ke dalam nasi dan kacau. Tak perlu gunakan susu kalau anda menggunakan dadih segar dan akan hidangkan nasi dalam sejam.
  6. Masukkan lobak merah, timun dan daun ketumbar. Perasakan dengan garam jika masih tawar.

Menyediakan rempah nasi

  1. Panaskan minyak dalam kuali atas api sederhana besar. Masukkn jintan dan biji sawi.
  2. Apabila mula meletup, masukkan cili merah, kacang dal, kacang kuda dan kacang gajus. Goreng hingga kacang dal menjadi keemasan.
  3. Masukkan halia, cili hijau dan daun kari.
  4. Apabila daun kari menjadi rangup, masukkan asafoetida dan padamkan api.
  5. Tuang rempah yang ditumis ke dalam nasi dadih dan kacau.

 

2. Nasi Asam Jawa

Kredit: vegecravings.com

Asam jawa dalam nasi? Memang tak biasa dibuat dalam masakan Melayu.

Namun begitu, dalam kalangan masyarakat India, nasi asam jawa ini seringkali dijadikan sebagai persembahan dalam upacara Hindu ataupun untuk perayaan. Oleh itu, jangan pandang enteng pada nasi ringkas ini, ya.

Nasi ini memang sedap kalau dinikmati dengan masakan berkicap. Terangkat naik jari!

Bahan-Bahan:

  • 3 cawan beras
  • 3/4 cawan isi asam jawa
  • 1/2 sudu teh serbuk kunyit
  • 3/4 sudu teh serbuk asafoetida
  • 3/4 cawan kacang goreng, dibuang kulit (opsyenal)
  • 3/4 cawan minyak bijan
  • 2 1/2 sudu teh garam

Bahan Tumis:

  • 3/4 sudu teh  biji sawi
  • 3/4 sudu teh dal kacang kuda
  • 7 batang cili merah, dibelah dua
  • 2 tangkai daun kari

Cara-Cara:

  1. Masak nasi dalam 5 cawan air, nasi yang dimasak mestilah sebutir-sebutir. Ketepikan.
  2. Panaskan 2 sudu besar minyak dalam kuali atas api sederhana panas. Masukkan biji sawi dan tumis hingga biji sawi mula meletup.
  3. Masukkan dal kacang kuda, kacau selama 10 saat hingga bertukar menjadi keemasan.
  4. Masukkan cili dan goreng hingga menjadi berkilat dan rapuh, Masukkan kacang dan kacau selama 20 saat.
  5. Masukkan isi asam jawa, secawan air, serbuk kunyit, serbuk asafoetida dan garam. Tutup kuali dan biar mereneh selama 5-7 minit.
  6. Buka penutup dan biar masak hingga menjadi kuah pekat. Masukkan satu sudu besar minyak lagi dan padamkan api.
  7. Masukkan kuah asam jawa yang disediakan ke dalam nasi dan kacau rata tanpa menghancurkan nasi.
  8. Carik-carikkan daun kari ke dalam nasi. Kacau selama 5 saat. Hidang selepas 2 jam.
  9. Anda boleh tambahkan 3/4 sudu gula melaka untuk seimbangkan rasa pedas dan masam nasi asam jawa ini.

 

3. Vaangi Bath (Nasi Terung)

Kredit: The Take It Easy Chef

Nasi kaum India seterusnya yang anda patut cuba di rumah ialah nasi Vangi Bath ataupun nasi terung.

Hidangan ini merupakan hidangan India Selatan yang berasal dari Karnataka. Nasi ini lazimnya disediakan dalam rumah penganut hindu berkasta Brahmin.Rasanya memang sedap dan lain dari yang lain.

Kalau anda ingin latihkan anak anda untuk makan lebih banyak sayur, resepi nasi ini memang cukup sesuai untuk mereka!

Bahan-Bahan:

  • 2 biji terung hijau panjang, dipotong menjadi ketulan 2 inci panjang dan direndam.
  • 1 cawan nasi
  • 1/2 sudu teh biji sawi
  • 1 sudu teh kacang dal
  • 1 sudu teh kacang dal urad
  • 5-6 biji kacang gajus
  • 5-6 helai daun kari
  • 2 sudu besar asam jawa, direndam dalam 1 cawan air
  • 1 sudu teh gula melaka (opsyenal)
  • 1/4 sudu teh serbuk kunyit
  • Garam secukup rasa
  • 8 sudu teh minyak masak

Rempah Vangi Bath

  • 3-4 batang cili merah
  • 2 sudu teh kacang kuda
  • 2 sudu teh kacang dal urad
  • 2 sudu teh biji ketumbar
  • 1/2 batang kayu manis.
  • 5 biji cengkih
  • 1 biji bunga lawang
  • 2 sudu besar kelapa parut
  • 1/2 sudu teh minyak masak

Cara-Cara:

a. Menyediakan rempah Vangi Bath

  1. Untuk menyediakan nasi vangi bath, sediakan rempah masala vangi bath, tumis darat bahan-bahan yang dinytakan di atas.
  2. Mula-mula, panaskan 1/2 sudu teh minyak dan tumis cili merah, kacang dal urad dan biji ketumbar hingga agak perang atas api sederhana besar.
  3. Masukkan kayu manis, bunga lawang dan biji popi. Tumis darat semuanya hingga dal menjadi perang.
  4. Akhir sekali, masukkan kelapa parut, goreng selama 2 minit dan padamkan api. Tunggu hingga sejuk dan kisar halus dan ketepikan.

b. Menyediakan Vangi Bath

  1. Dalam satu periuk, panaskan minyak atas api sederhana besar. Masukkan biji sawi, kacang dal gram, dal urad dan kacang gajus.
  2. Goreng hingga biji sawi meletup dn kacang dal menjadi keperangan. Jangan biar sampai hangit. Masukkan daun kari dan kecilkan api.
  3. Masukkan ketulan terung dengan memicit keluar air lebihan dahulu. Goreng terung selama 1 minit atas api besar.
  4. Masukkan serbuk kunyit dan goreng selama 2 minit lagi atas api sederhana besar. Masukkan garam.
  5. Masukkan air asam jawa. Anda boleh masukkan gula melaka jika mahu.
  6. Tutup periuk dan biar terung masak selama 5 minit atas api kecil.
  7. Sekarang, masukkan 2 sudu besar rempah vangi bath. Kacau rata.
  8. Goreng selama 2 minit lagi dan padamkan api. Masukkan nasi dan kacau rata.

 

4. Nasi Brinji

Kredit: spiceindiaonline.com

Satu lagi hidangan nasi masyarakat India yang anda wajib cuba ialah nasi brinji. Nasi ini, secara lazimnya, kelihatan seperti nasi briyani atau pulao tetapi sebenarnya tidak.

Nasi Brinji ini dikatakan dibawa oleh pedagang Iran ke Tamil Nadu. Nasi Birnji ini sesuai untuk dinikmati golongan vegetarian.

Bahan-Bahan:

  • 1 cawan beras basmati

Perapan:

  • 1/2 cawan lobak merah, dipotong dadu
  • 1/2 cawan ubi kentang, dipotong dadu
  • 1/2 cawan daun pudina, dihiris
  • 1 sudu teh serbuk cili merah
  • 1/2 sudu teh serbuk lada hitam
  • 1/2 cawan pes kelapa (1/4 cawan kelapa parut yang ditumbuk bersama 1/4 cawan air hingga pes halus terhasil)
  • 2 sudu besar pes bawang putih-halia (6 ulas bawang putih dan 1 inci halia ditumbuk dengan sedikit air)
  • 1 sudu teh garam

Rempah:

  • 2 sudu teh minyak sapi
  • 3 helai daun bay, dicarik
  • 2 biji bawang besar, dicincang
  • 1 biji tomato, dipotong dadu
  • 1/3 cawan santan cair
  • 2/3 cawan air

Cara-Cara:

  1. Letakkan semua bahan perapan dalam satu mangkuk. Kacau rata. Biar bahan diperap selama sejam.
  2. Cuci dan rendam beras basmati dalam air selama sejam.
  3. Dalam periuk tekanan tinggi, masukkan minyak sapi. Masukkan bawang besar dan tomato dipotong dadu.
  4. Masukkan separuh daripada sayuran yang diperap bersama jus yang terhasil.
  5. Toskan beras basmati dan letakkan di atas sayuran diperap untuk menghasilkan satu lapisan rata.
  6. Masukkan baki sayuran.
  7. Biar periuk masak atas api sederhana besar selama 2 siulan.
  8. Padamkan api dan angkat periuk dari dapur.
  9. Biar tekanan dikeluarkan perlahan-lahan. Tunggu selama 20 minit.
  10. Buka tudung periuk dan gebukan nasi.

 

5. Bagara Annam

Kredit: craftlog.com

Bagara Annam atau Bagara Khana merupakan nasi berempah yang terkenal di Hyderabad dan Telangana di India Selatan.

Hidangan nasi ini diberi nama sebegitu kerana nasi ini merupakan nasi kosong yang disediakan tanya apa-apa sayuran atau serbuk rempah.

Jadi, apa keistimewaan hidangan nasi ini? Anda kena cuba baru tahu, khususnya kalau anda sediakan ayam masak merah juga. Memang sedap!

Bahan-Bahan:

  • 4 cawan beras basmati, dicuci dan dibersihkan
  • 2 sudu besar minyak masak
  • 1 sudu besar minyak sapi
  • 4 biji cengkih
  • 4 biji buah pelaga
  • 1 inci kayu manis
  • 1 sudu teh jintan hitam
  • 1 sudu besar dagar phool (rempah black stone flower)
  • 4 helai daun bay
  • 1 selaput biji pala (mace)
  • 1 biji bunga lawang
  • 1 pucuk kekabu (opsyenal)
  • 5 batang cili hijau, dibelah tengah
  • 1 biji bawang besar, dihiris nipis
  • 1 sudu besar pes bawang putih dan halia
  • 2 genggam daun pudina
  • 2 sudu teh garam
  • 6 cawan air

Cara-Cara:

  1. Panaskan periuk tekanan tinggi atas api kecil, masukkan minyak sapi dan minyak masak, masukkan semua rempah lalu goreng seketika.
  2. Msukkan cili hijau dan kacau rata.
  3. Masukkan bawang dan goreng hingga agak keemasan, masukkan pes bawang putih dan halia serta daun pudina. Goreng selama 5 minit.
  4. Masukkan beras yang sudah dicuci ke dalam. Perlahan-lahan kacau untuk selaputi rempah pada nasi apabila air mengering.
  5. Masukkan air dan garam dan kacau perlahan-lahan.
  6. Tutup periuk, naikkan api ke sederhana-rendah dan biar masak hingga periuk berbunyi satu kali dan padamkan api.
  7. Apabila tekanan mengurang, buka penutup dan gebukan dengan garfu.

 

6. Karuvapellai Satham (Nasi Daun Kari)

Kredit: archana’s kitchen

Selalunya, bila kita memasak menggunakan daun kari, kita gunakan sebagai bahan aromatik ataupun hiasan.

Tapi, pernah tak anda bayang menyediakan nasi menggunakan daun kari? Memang menarik, bukan?

Cubalah resepi masakan nasi daun kari kaum India ini. Gerenti anda nak ulang lagi.

Bahan-Bahan:

  • 1 1/2 cawan nasi basmati
  • 1 cawan daun kari, padat
  • 2 sudu besar kacang kuda
  • 2 sudu besar kacang dal
  • 2 sudu teh jintan putih
  • 2 sudu teh lada hitam
  • 2 sudu besar biji ketumbar
  • 6 batang cili merah
  • 2 sudu teh minyak

Bahan perasa:

  • 1 sudu besar minyak sapi
  • 1 sudu teh biji sawi
  • 2 sudu teh kacang gram hitam
  • 2 batang cili hijau
  • 6 biji kacang gajus

Cara-Cara:

  1. Ambil nasi yang sudah dimasak dan gaul dengan satu sudu teh minyak bijan lalu ketepikan.
  2. Tumis darat semua bahan rempah kecuali daun kari. Tumis hingga kacang kuda menjadi keemasan.
  3. Masukkan daun kari dan padamkan api. Gaul rata dan biar di atas dapur. Apabila sudah sejuk, daun kari akan menjadi rangup agar mudah untuk dijadikan serbuk.
  4. Msukkan semua bahan yang ditumis darat dan kisar hingga halus.
  5. Tumis semua bahan dalam bahagian perasa dan campur ke dalam nasi. Gaul rata.
  6. Masukkan serbuk rempah daun kari yang dikisar ke dalam nasi. Gaul rata.

 

7. Nasi Lemon

Kalau terasa bosan makan nasi biasa, apa kata anda sediakan nasi lemon?Menyegarkan, sedikit masam, penuh dengan rasa, memang rugi kalau tak cuba. Nasi lemon ini cukup sesuai untuk menarik perhatian anak-anak anda untuk cuba makan. Memang sedap walau makan kosong begitu!

Bahan-Bahan:

  • 3 cawan nasi
  • 2 sudu besar jus lemon
  • 1 sudu teh kacang dal urad
  • 2 batang cili kering
  • 2 batang cili hijau, dihiris
  • 15 helai daun kari
  • 1 cubit asafoetida
  • 1/2 sudu teh serbuk kunyit
  • 1 sudu besar kacang gajus, dicincang kasar
  • 1/4 cawan kacang (opsyenal)
  • 3 sudu besar minyak bijan (opsyenal)
  • Garam secukup rasa

Cara-Cara:

  1. Dalam kuali kecil, panaskan 1 hingga 2 sudu besar minyak bijan. Goreng kacang hingga rangup dan ketepikan.
  2. Dalam minyak yang sama goreng kacang gajus hingga keemasan, angkat dan ketepikan.
  3. Masukkan 1 sudu besar minyak bijan dalam kuali sama.
  4. Masukkan biji sawi dan biar meletup. Apabila biji sawi mula meleting, masukkan kacang dal urad.
  5. Tumis hingga kacang dal urad hingga bertukar keemasan. Tumis segalanya atas api kecil agar rempah tak hangit.
  6. Masukkan cili merah, hirisan cili hijau dan daun kari. Kacau selama beberapa saat hingga cili merah bertukar warna.
  7. Padamkan api dan masukkan asafoetida dan serbuk kunyit. Kacau rata.
  8. Kacau dan terus masukkan bahan tumis ke dalam nasi.
  9. Tambah kacang goreng, kacang gajus, jus lemon dan garam. kacau rata.
  10. Simpan nasi lemon selama 4-5 minit untuk pastikan semua perisa meresap ke dalam nasi.

 

8. Nasi Bijan

Kredit: steemitimages

Nasi-nasi yang digemari masyarakat India sememangnya unik kerana menggunakan bahan-bahan yang luar biasa. Sebagai contoh, nasi bijan ini. 

Rasa ingin tahu jika sajian ini sedap memang kuat. Oleh itu, apa kata anda sertai saya dan kita sama-sama cuba resepi nasi ini.

 

Bahan-Bahan:

  • 2 1/2 sudu besar bijan putih atau hitam
  • 1 cawan nasi
  • 6 batang cili merah
  • 1 sudu teh kacang dal urad
  • 1 sudu besar minyak bijan
  • Garam secukup rasa

 

Bahan rempah:

  • 1 sudu teh minyak
  • 3/4 sudu teh biji sawi
  • 1 sudu teh kacang dal urad
  • 1 tangkai daun kari

 

Cara-Cara:

  1. Ambil nasi yang sudah dimasak dan gebukan dengan garfu. Gaul nasi dengan garam dan minyak bijan. Gaul perlahan-lahan dan sejukkan nasi.
  2. Atas api sederhana, panaskan kuali. Tumis kacang dal urad dan cili merah dalam 1 sudu teh minyak. 
  3. Kemudian, masukkan bijan dan goreng hingga bijan meletup. Apabila bijan mula meletup, kecilkan api dan terus mengacau. Keluarkan bijan setelah berhenti meletup.
  4. Biar semua bahan menyejuk. Kisar cili merah dah kacang dal urad secara kasar. Kemudian, masukkan bijan ke dalam dan kisar kasar.
  5. Masukkan bahan yang dikisar ke dalam nasi dan gaul rata.

 

9. Bisi Bele Bath (Nasi Kacang Dal)

Kredit: Archana’s Kitchen

Bagi penduduk di Pulau Pinang, anda pasti sudah biasa makan nasi dal ini. Rasanya memang cukup lemak dan sedap. Letak ayam goreng dah cukup. 

Memang susah nak cari nasi dal sekarang, khususnya yang betul-betul sedap. Daripada penat-penat mencari, lebih baik buat sendiri.

Bahan-Bahan:

a) Rempah Bisi Bele Bath

  • 4 batang cili merah
  • 1 inci kayu manis
  • 2 biji cengkih
  • 1 sudu teh jintan putih
  • 1 sudu teh kacang dal urad
  • 1 sudu teh kacang kuda
  • 2 cubit biji halba
  • 1 1/2 sudu besar biji ketumbar
  • 1 sudu teh biji kekabu
  • 1 sudu besar kelapa parut

 

b) Bahan Perasa

  • 1 sudu besar minyak sapi
  • 1 tangkai daun kari
  • 10 biji kacang gajus, dicincang kasar
  • 1 cubit asafoetida
  • 1/2 sudu teh biji sawi
  • 1 cili merah, dicincang dan dibuang biji

 

c) Bahan Lain

  • 3/4 cawan nasi 
  • 2 sudu besar kacang dal
  • 8 biji bawang merah
  • Secubit asam jawa, direndam dalam 1/2 cawan air
  • 1 1/2 sudu teh gula melaka
  • 1/2 sudu teh garam
  • 1 sudu teh minyak sapi
  • 1/4 cawan kacang pis
  • 5 batang kacang buncis
  • 1/2 cawan lobak merah, dipotong dadu

 

Cara-Cara:

a) Menyediakan rempah Bisi Bele Bath

  1. Atas api kecil, tumis darat cili merah, kacang kuda dan kacang dal urad hingga keemasan. Masukkan biji ketumbar, cengkih, kayu manis dan biji kekabu. Apabila sudah wangi, angkat dan letak dalam pinggan.
  2. Dalam kuali yang sama, panggang halba. Apabila sudah wangi, masukkan jintan dan kelapa parut. Apabila semua bahan wangi padamkan api dan biar semua rempah menyejuk. 
  3. Masukkan semua rempah ke dalam pengisar dan kisar hingga halus.

b) Menyediakan Bisi Bele Bath

  1. Cuci kacang dal beberapa kali. Tuang 1 cawan air ke dalam periuk tekanan tinggi dan masukkan kacang dal. Masak selama 3 siulan hingga kacang lembut.
  2. Tapis air asam jawa yang disediakan. Masukkan serbuk rempah bisi bele bath, gula melaka dan garam dalam air asam jawa. Kacau rata dan keluarkan biji-biji. Ketepikan.
  3. Bila kacang dal sudah masak, tapis air dan lenyekkan kacang dal hingga halus. Masukkan ke dalam nasi. Gaul rata.
  4. Panaskan kuali atas api sederhana besar. Masukkan 1 sudu teh minyak sapi dan masukkan sayur yang digunakan. Goreng selama 4 minit
  5. Tuang secawan air dan biar sayur mereneh hingga sedikit lembut. 
  6. Masukkan campuran air asam jawa. Biarkan kuah mereneh selama 3 minit.
  7. Masukkan campuran nasi dan kacang dal. Kacau rata. Jika terlalu kering, masukkan 3/4 cawan air dan kacau rata. Biarkan selama 4-6 minit untuk nasi mendidih atas api sederhana.
  8. Tunggu hingga mencapai kepekatan yang anda mahu.

 

c) Menyediakan Bahan Perasa

  1. Panaskan 1 sudu besar minyak masak dalam kuali atas api sederhana. Masukkan kacang gajus dan goreng hingga sedikit keemasan. 
  2. Masukkan biji sawi dan cili merah. Bila biji sawi mula meletup, masukkan daun kari. Kacau selama 1 minit hingga daun kari rangup. Masukkan asafoetida pula. Kacau rata.
  3. Tuang bahan perasa ke atas nasi dal yang disediakan tadi.

 

10. Nasi Kelapa

Kredit: noble.org

Akhirnya, resepi nasi masyarakat India yang terakhir saya akan kongsi dalam artikel ini ialah nasi kelapa.

Nasi kelapa ini memang menyegarkan dan kaya dengan tenaga untuk anda mulakan hari anda selepas menikmati sajian ini.

 

Bahan-Bahan

  • 1 cawan nasi
  • 1 1/2 cawan kelapa parut
  • 2 batang cili hijau, dihiris
  • 1 batang cili merah, dibelah tengah dan dibuang biji
  • 2 sudu besar minyak sapi
  • 1/2 sudu teh biji swi
  • 1/2 udu teh jintan
  • 1 cubit asafoetida
  • 1 sudu besar kacang kuda
  • 1/2 sudu besar kacang dal urad
  • 1 inci halia, dihiris
  • 12 biji kacang gajus

 

Cara-Cara:

  1. Rendam kacang kuda dan kacang dal selama 30 minit dalam air panas. Tapis air dan ketepikan.
  2. Panaskan minyak sapi dalam kuali atas api sederhana besar. 
  3. Masukkan biji sawi, kacang kuda dan kacang dal urad dan kacang gajus. 
  4. Apabila kacang kuda dan kacang dal urad menjadi keemasan, masukkan halia, cili hijau, daun kari dan cili merah. Tabur sedikit asafoetida.
  5. Masukkan kelapa parut dan garam. Masukkan nasi. Padamkan api dan kacau rata.

Sedapnya Makan dengan Kari!

Bagaimana? Adakah anda mendapati artikel ini sangat bermanfaat dan membuka mata anda? Harap-harapnya begitulah. Rakyat Malaysia sebenarnya begitu bertuah kerana terdapat pelbagai hidangan baru yang kita dapat pelajari termasuklah masakan-masakan harian bangsa lain.

Saya berharap anda dapat mencuba resepi-resepi nasi ini di rumah dan jangan lupa untuk berkongsi hasil masakan anda di media sosial dengan meletakkan hashtag #butterkicap. Saya pun teringin nak tengok. Jika ada apa-apa resepi menarik lain anda ingin saya kongsi, jangan lupa komen dan kongsi artikel ini dengan semua rakan, ahli keluarga dan saudara-mara anda!

print
Azrene Jasmine

A true blue Penangite, Azrene Jasmine favourite thing to do is, well, eating. Though currently in a love/hate relationship with the weighing scale, she truly believes that every woman should choose a hunk of juicy steak over a bowl of salad on the first date because steaks are awesome and what man can resist a woman with a healthy appetite?

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.