10 Resepi ‘One Pot Meals’ Anda Patut Simpan

Kredit: curiousnut.com

‘One Pot Meals’ atau masakan satu periuk menjadi kegilaan ramai di luar negara. Mana tidaknya? Masakan ‘One Pot Meals’ ini sangat menyenangkan, memudahkan dan paling penting, membantu anda menyediakan makanan yang enak tatkala anda berasa malas nak masuk ke dapur.

Bagi anda yang tak pernah tahu tentang konsep masakan ‘One Pot Meals’, biar saya tolong jelaskan kepada anda. Masakan ‘One Pot Meals’ bererti sajian lengkap yang dimasak dalam satu periuk dan tak memerlukan banyak langkah atau proses yang rumit untuk sediakannya.

Ada Resepi ‘One Pot Meals’ Tempatan Tak?

Kalau anda mencari ‘One Pot Meals di internet, rata-rata resepi yang dijumpai ialah resepi-resepi dari negara Barat. Sekali-sekala, tak apalah kalau kita nak tukar selera dan cuba resepi pasta tapi kalau dah dari kecil makan nasi, kalau boleh, kita nak cubalah resepi ‘One Pot Meal’ tempatan. Malangnya, di Malaysia, tak banyak masakan ‘One Pot Meals’ tempatan yang dijumpai khususnya dalam masakan Melayu. Hal ini mungkin berlaku kerana masyarakat Melayu suka menyediakan lauk yang ‘gu’ dan pelbagai agar menepati citarasa semua. Oleh sebab itulah, di kebanyakan rumah di Malaysia, sekurangnya dua atau tiga jenis lauk disediakan.

Namun begitu, itu tak bermakna tiada langsung resepi ‘One Pot Meals’ tempatan. Setelah berhempas-pulas membuat penyelidikan dan pencarian, akhirnya saya berjaya temui 10 resepi ‘One Pot Meals’ tempatan yang cukup enak dan senang.

Nasi Daging Utara

Kredit: Resepi Che Nom

Nasi daging utara merupakan resepi ‘One Pot Meals’ pertama saya kongsikan. Resepi nasi ini memang cukup versatil kerana boleh dimakan begitu saja ataupun ditambah lauk lain. Resepi nasi daging yang saya akan kongsikan memberikan hasil nasi yang wangi, lembap dan cukup berperisa. Makan sekali memang tak puas! Resepi nasi daging utara ini adalah seperti yang dikongsikan dalam blog, Resepi Che Nom.

Bahan-Bahan:

a) Nasi

i) Bahan Rebusan Daging

  • 1 sudu besar rempah kurma
  • 2 inci halia, dihiris nipis
  • 7-8 cawan air

ii) Bahan Tumis

  • 1 biji bawang besar, dihiris nipis
  • 5 ulas bawang putih, dihiris nipis
  • 3 kuntum bunga lawang
  • 2 batang kayu manis
  • 4 kuntum bunga cengkih
  • 6 biji buah pelaga

iii) Bahan Lain

  • 4 cawan beras basmathi, rendam selama 30 minit dan tos
  • 500 gram daging, potong kiub besar anggaran 3″x 4″
  • 5 cawan air rebusan daging
  • 1 cawan sudu cair
  • 1 helai daun pandan, carik dan simpul
  • 2 1/2 sudu besar rempah kurma
  • 1 batang serai, dititik
  • 3 sudu besar minyak sapi
  • 1 -2 sudu besar minyak sayuran
  • 1/2 cawan tomato sup atau 1/4 cawan tomato puri
  • Sedikit kismis hitam

b) Air Asam

  • 1 biji bawang besar, hiris nipis
  • 2 biji tomato, potong kecil
  • 6 biji cili merah, potong kecil
  • 1 inci belacan, dibakar di atas api sehingga wangi
  • 1 mangkuk kecil air perahan asam jawa yang pekat
  • 2 sudu besar sos ikan
  • 3 sudu besar gula
  • 1-2 sudu teh garam
  • 1 sudu besar kerisik
  • Sedikit perahan jus limau nipis

Cara-Cara:

a) Nasi

  1. Rebus daging bersama air, halia dan rempah kurma sehingga empuk. Angkat dan ketepikan.
  2. Panaskan minyak sapi dan minyak sayuran di dalam periuk. Tumis bahan tumis bersama 3 sudu besar serbuk kurma, serai dan daun pandan.
  3. Kacau sehingga naik bau dan kemudian masukkan beras yang telah ditos. Kacau lagi beras selama 1-2 minit.
  4. Masukkan air rebusan daging bersama susu cair, tomato sup, kismis, daging yang direbus tadi dan juga garam secukup rasa. Kacau sedikit supaya sebati dan tutup. Masak di atas api sederhana. Kaedah yang sama jika anda menggunakan periuk nasi. Pindah ke tapak periuk elektrik pada tahap ini dan biarkan nasi masak. Setelah masak, perlahan-lahan gemburkan nasi.

Nasi Briyani Ayam

Kredit: dearnestle.com.my

Nasi briyani merupakan antara masakan ‘one pot meals’ terawal yang dicipta di dunia. Pasti ramai yang baru sedar tentang kenyataan ini, betul? Nasi briyani merupakan nasi yang ditanak dalam renehan rempah ratus yang wangi dan berperisa. Oleh sebab itu, nasi briyani sentiasa menjadi menu pilihan untuk majlis perkahwinan, jamuan makan mahupun menu hujung minggu untuk dinikmati bersama keluarga. Resepi briyani ayam yang saya akan kongsi ialah resepi yang dikongsi oleh Archana Munde dalam blog beliau, ministryofcurry.com.

Bahan:

a) Perapan

  • 2 sudu teh garam masala, tambah satu sudu teh lagi kalau nak lebih pedas
  • 1 sudu besar halia, diparut
  • 1 sudu besar bawang putih, dicincang
  • 1 sudu besar serbuk cili merah
  • 1/2 sudu teh serbuk kunyit
  • ¼ cawan daun pudina
  • ¼ cawan daun ketumbar, dihiris
  • 2 sudu besar jus lemon
  • 3/4 cawan yogurt kosong
  • 2 sudu teh garam
  • 1 ekor ayam, dibuang kulit dan dipotong 14

b) Bahan Lain

  • 3 cawan beras Basmati panjang, dicuci
  • 3 sudu besar minyak sapi, dibahagikan
  • 2 biji bawang besar, dihiris nipis
  • 2 helai daun bay
  • 2 sudu teh garam
  • 1 sudu teh safron, dicampur 1 sudu besar susu panas (opsyenal)
  • 6 biji telur rebus, dibuang kulit (opsyenal)
  • 2 biji cili hijau, dihiris serong

Cara-Cara:

  1. Sediakan perapan dengan campurkan garam masala, halia, bawang putih, serbuk cili merah, kunyit, daun pudina, daun ketumbar, jus lemon, yogurt dan garam. Masukkan ayam dan gaul hingga rata. Simpan di dalam peti sejuk sekurangnya 30 minit.
  2. Sementara ayam diperap, cuci dan rendam beras basmati di dalam air. Biarkan selama 20 minit.
  3. Dalam periuk, masukkan 2 sudu besar minyak sapi dan panaskan atas api sederhana besar. Masukkan hirisan bawang besar. Kacau selama 10 minit atau hingga bawang bertukar perang keemasan dan lembut. Keluarkan separuh bawang.
  4. Masukkan 1 sudu besar minyak sapi. Kalau anda nak briyani yang lebih pedas, masukkan hirisan cili hijau. Masukkan daun bay dan separuh ayam yang diperap tadi serta sedikit campuran perapan ke dalam periuk. Gaul rata hingga rempah tersalut pada ayam dengan sekata. Masukkan baki ayam.
  5. Tapis beras dan masukkan ke dalam periuk. Masukkan 2 sudu teh garam dan 3 cawan air. Tutup periuk dan biar masak. Buka tudung periuk untuk periksa air dan nasi. Biar masak hingga nasi menjadi gebu. Jika anda menggunakan periuk nasi, masak sebanyak dua kali. Selepas nasi masak untuk pertama kali, kacau nasi dan tekan sekali lagi.
  6. Selepas nasi masak, gunakan spatula plastik untuk gaul nasi dan ayam.
  7. Hias dengan bawang digoreng tadi bersama hirisan daun ketumbar serta telur rebus.

Bubur Lambuk

Credit: spicejourney.blogspot.com

Resepi ‘one pot meal’ setiap orang tertunggu-tunggu sepanjang bulan Ramadan ialah bubur lambuk. Rahsia untuk menghasilkan bubur lambuk yang enak ialah keseimbangan rasa lemak santan dan perisa rempah ratus yang digunakan. Untuk dapatkan bubur lambuk sentiasa ‘jadi’, anda boleh mencuba resepi bubur lambuk yang dikongsi di tumis.my.

Mee Goreng Mamak

Mee goreng mamak merupakan antara masakan ‘one pot meal’ yang sentiasa menjadi permintaan ramai. Baik sebagai hidangan sarapan. tengah hari, minum petang mahupun malam, mee goreng mamak merupakan hidangan yang seimbang, sihat dan semestinya sangat mudah untuk disediakan. Kalau anda teringin nak makan mee goreng mamak yang anda idamkan, anda boleh cuba resepi mee goreng mamak ala Butterkicap ini.

Nasi Ayam Halia

Kredit: Mingguan Wanita

Siapa peminat tegar nasi ayam halia Old Town White Coffee? Rasa nasi yang dikukus bersama hirisan halia, bawang putih dan ayam ini memang cukup menyegarkan dan berbeza. Resepi nasi ayam halia yang saya nak kongsi di sini merupakan antara resepi ‘One Pot Meals’ kegemaran saya. Pada hari jadual saya padat dan sibuk, inilah sajian yang saya akan sediakan. Kenyang hingga malam!

Untuk resepi nasi ayam halia yang mudah, anda boleh cuba resepi yang dikongsi di blogmakkintan, Rasanya memang sama seperti yang dijual di Old Town.

Kari Ikan

Oleh sebab saya anak jati Pulau Pinang, kari dan saya berpisah tiada. Boleh dikatakan juga bahawa seluruh hidup saya dipenuhi memori indah menikmati hidangan ‘one pot meal’ kegemaran saya ini. Kari Ikan merupakan salah satu resepi yang cukup mudah untuk disediakan khususnya apabila anda mempunyai periuk tekanan tinggi di rumah.

Untuk resepi kari ikan yang disediakan menggunakan periuk tekanan tinggi, anda boleh cuba resepi kari kepala ikan Butterkicap. Memang macam yang dijual di restoran nasi kandar!

Sup Ayam

Sup ayam ialah masakan ‘one pot meal’ saya akan sediakan bila saya rindukan rumah atau semasa saya sakit. Kehangatan rempah dan perisa ayam yang halus membuatkan selera naik meskipun demam. Ada pelbagai resepi sup ayam yang memang enak tetapi resepi sup ayam yang dikongsi oleh Butterkicap memang lain dari yang lain. Rasanya yang sedikit kemasaman boleh membuatkan anda bertambah makan meskipun sakit.

Mi Tomato

Kredit: tumis.my

Kalau di Barat mereka mempunyai resepi masakan ‘one pot meal’ menggunakan pasta, kita juga tak kurang juga. Resepi mee tomato merupakan salah satu masakan ‘one pot meal’ yang patut diberikan lebih banyak pengiktirafan. Rasa masam-manis kuah tomato yang pekat, ditambah pula hirisan cili padi yang pedas membuatkan sesiapa sahaja menjadi peminat tegar sajian ‘one pot meal’ ini, khususnya resepi yang dikongsi di blog makanapaaje.

Singgang Ikan

Kredit: Buat Orang Lapo

Selain menjadi makanan pantang dan makanan diet yang sihat, singgang merupakan makanan ‘one pot meal’ yang cukup menyelerakan. Rasa kuahnya yang masam memang cukup menyegarkan. Terdapat pelbagai resepi dan variasi masakan singgang anda boleh dapati di luar sana tetapi resepi singgang yang saya pegang kuat hingga sekarang ialah resepi yang dikongsi oleh Nieyla Nadia.

Nasi Kicap Ayam

Kredit: Tara’s Multicultural Table

Resepi ‘one pot meal’ seterusnya merupakan resepi yang diinspirasi daripada masakan Nasi Ayam Claypot ala Cina. Resepi nasi ayam kicap ini memang cukup sesuai untuk anak-anak kecil yang tak tahan pedas dan sukakan perisa yang tak begitu kompleks. Nasi Ayam Kicap ini memang cukup mudah untuk disediakan sepertimana yang dikongsi dalam blog resepisenang.com.

Resepi ‘One Pot Meal’ untuk Memudahkan Anda

Saya harap resepi-resepi ‘One Pot Meal’ ini akan dapat memudahkan hidup anda sepertimana resepi-resepi ini memudahkan saya. Meskipun masakan ‘one pot meal’ yang saya kongsi tidak banyak seperti masakan ‘one pot meal’ di Barat, saya yakin pasti ada antara anda yang mempunyai resepi ‘one pot meal’ kegemaran anda sendiri.

Kalau anda ada resepi ‘one pot meal’ tempatan yang anda teringin nak berkongsi bersama saya dan geng Butterkicap, anda bolehlah hubungi kami terus di laman Instagram dan Facebook kami. Jika anda ada perkongsian lain yang anda ingin beri, maklumkan kami. Mudah saja!

print
Azrene Jasmine
Azrene Jasmine

Azrene Jasmine is a Penangite with a stomach of gold. Though currently she is in a love/hate relationship with the weighing scale, Azrene truly believes that every woman should choose a hunk of juicy steak over a bowl of salad on the first date because steaks are awesome and what man can resist a woman with a healthy appetite?

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Access Token is invalid, please get it again