10 Masakan Masak Merah Setiap Orang Perlu Tahu

Siapa yang tak suka ayam masak merah? Hidangan masak bersambal dengan ayam atau daging ini memang cukup sedap dengan sepinggan nasi putih mahupun roti.

Di negeri-negeri di utara semenanjung, masakan masak merah dilihat sebagai sajian atau masakan istimewa yang lazimnya disediakan untuk kenduri-kendara dan majlis keluarga, khususnya kenduri kahwin.

Kalau saya ada di Pulau Pinang dan ada jemputan kenduri kahwin, saya pasti akan pergi kerana masakan masak merah di utara mempunyai rasa yang berbeza dan lebih sedap  Namun begitu, itu tidak bermakna anda tidak dapat menikmatinya pada hari hujung minggu untuk makan tengah hari atau malam.

 

Semuanya Boleh Dimasak Merah!

Selalunya, kalau disebut tentang masakan masak merah, hanya ayam dan daging sahaja yang datang ke ingatan kita. Mana tidaknya? Rata-rata masyarakat Malaysia memang suka makan daging, khususnya ayam.

Jadi, memang tidak menghairankanlah jika anda tidak tahu masakan masak merah lain yang disenaraikan di sini.

 

Cuba Masak Tak Perlu Baca

Saya tahu, anda tidak perlu saya tulis panjang-panjang dan berusaha untuk yakinkan anda untuk cuba kerana saya tahu resepi-resepi yang saya sertakan di bawah sudah cukup untuk membuatkan anda berasa sedikit teruja untuk mencubanya. Jadi, tak perlu tunggu saya habiskan perenggan ini.

Anda boleh terus ke resepi yang anda nak cuba ya sebab masakan masak merah yang mana yang tidak sedap, betul tak?

1. Ayam Masak Merah

Ayam Masak Merah

Ya, kalau saya tak sertakan masakan ayam masak merah sebagai butir pertama dalam senarai saya ini, memang tidak lengkaplah artikel ini.

Peminat sajian masak merah klasik ini pasti berasa gembira untuk ketahui satu lagi variasi resepi ayam masak merah untuk dicuba. Sejujurnya, setiap orang mempunyai resepi ayam masak merah yang mereka percayai dan pegang. Namun begitu, sekali-sekala anda ingin menginovasi dan mengubah resepi.

Cubalah resepi ayam masak merah versi Butterkicap ini.  Kalau nak tahu, Cef Nik Michael Imranlah yang menyumbang resepi ini kepada kami. Memang takkan menyesal ambil masa sediakan.

 

2. Daging Masak Merah

Kredit: anissdairy.blogspot.com

 

Bahan-Bahan:

  • 350g daging lembu, dipotong menjadi ketulan kecil
  • 5 sudu besar cili boh
  • 1 biji bawang besar, dikisar
  • 2 ulas bawang putih, dikisar
  • 1 inci halia, dikisar
  • 1/2 sudu teh jintan halus, dikisar
  • 1/2 sudu teh jintan kasar, dikisar
  • 1  daun sup, dihiris
  • 1 daun bawang, dihiris
  • 1/2 batang lobak, dibelah empat
  • 1 biji tomato, dibelah empat
  • 3/4 tin kecil tomato puri
  • 2 sudu besar sos tomato
  • 1/4 tin susu cair (opsyenal)
  • garam dan gula secukupnya

 

Cara-Cara:

  1. Cuci daging yang dipotong sebersih-bersihnya dan tos hingga kering.
  2. Kisar semua bahan kisar.
  3. Panaskan minyak atas api sederhana besar dan tumis bahan-bahan kisar hingga naik bau.
  4. Masukkan daging dan tutup kuali. Kecilkan api. Biar daging mereneh selama 5 minit hingga air daging keluar dan menjadi sedikit kering.
  5. Jika daging masih belum empuk, masukkan 50ml (1/4 cawan air) dan biarkan daging mereneh selama 5 minit lagi hingga daging menjadi 3/4 empuk.
  6. Masukkan tomato puri, sos tomato, buah tomato, lobak, daun sup dan daun bawang.
  7. Masak hingga kuah pekat dan daging empuk.
  8. Anda boleh masukkan susu cair jika mahu kuah yang lebih lemak.
  9. Perasakan masakan dengan garam dan gula secukupnya.

3. Udang Masak Merah

Kredit: Salju Kuih

Bahan-Bahan:

  • 500g udang, dibersihkan dan dicuci
  • 2 sudu besar cili boh
  • 3 biji bawang merah, dikisar
  • 2 ulas bawang putih, dikisar
  • 1 inci halia, dikisar
  • 1/2 inci lengkuas, dikisar
  • 1 batang serai, dikisar (opsyenal)
  • 1 biji bawang besar, dihiris
  • 1 biji cili merah, dihiris serong
  • 2 sudu besar sos cili
  • 1 sudu besar sos tomato
  • 1/2 sudu besar kicap masin
  • 1/2 sudu besar sos tiram
  • garam dan gula secukupnya

 

Cara-Cara:

  1. Atas api sederhana besar, panaskan kuali berisi minyak. Apabila minyak sudah panas, tumiskan bahan kisar hingga naik wangi.
  2. Masukkan sos tiram, sos cili, kicap dan sos tomato. Tambahkan 20ml air dan kacau perlahan.
  3. Masukkan udang, bawang besar, cili merah dan sedikit air. Kacau rata.
  4. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya.

 

4. Sotong Masak Merah

Kredit: dapuqzaila

Bahan-Bahan:

  • 6 ekor sotong, dipotong bulat-bulat
  • 2 biji bawang besar, dikisar
  • 2 biji bawang merah, dikisar
  • 4 ulas bawang putih, dikisar
  • 4 sudu besar cili boh
  • 2 sudu besar gula melaka
  • 120ml air asam jawa
  • 2 sudu teh garam

 

Cara-Cara:

  1. Kisar semua bahan kisar.
  2. Dalam kuali panas tanpa minyak, goreng kering sotong selama 3 minit atas api sederhana besar hingga sotong 3/4 empuk. Angkat dan ketepikan.
  3. Dalam kuali yang sama, masukkan minyak dan masukkan bahan kisar. Tumis hingga wangi.
  4. Masukkan cili boh dan biar mereneh hingga masak. Masukkan 1/4 cawan air dan kacau hingga sedikit kering untuk pastikan cili boh betul-betul masak.
  5. Masukkan asam jawa, gula dan garam. Kacau rata. Jika masih tawar, perasakan mengikut citarasa anda.
  6. Masukkan sotong dan kacau rata selama 2 minit.Masukkan sotong dalam kuali dan semua bahan (kecuali minyak masak) dan gaul sehingga sebati. Masak sotong ini menggunakan api sederhana.

 

5. Terung Masak Merah

Kredit: syeda_rahim98

Bahan-Bahan:

  • 2 biji terung panjang, dibelah enam dan digaul dengan garam
  • 1 biji bawang besar, dikisar
  • 3 biji bawang merah, dikisar
  • 5 ulas bawang putih, dikisar
  • 3 sudu besar cili boh
  • 1 sudu besar sos cili
  • 1/4 tin tomato puri
  • 2 sudu besar sos tiram
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 120ml (1/2 cawan) air

 

Cara-Cara:

  1. Panaskan kuali berisi minyak atas api sederhana besar, tumiskan bahan kisar hingga naik bau.
  2. Masukkan cili boh dan 50ml (1/4 cawan) air dan biar mereneh hingga cili betul-betul masak dan sedikit mengering.
  3. Masukkan puri tomato, sos cili dan sos tiram. Kacau rata. Perasakan dengan garam dan gula lalu masukkan terung.
  4. Tutup kuali selama 5 minit hingga terung menjadi empuk. Masukkan 50ml air sebelum menutup kuali agar kuah tidak mengering.

 

 

6. Ikan Masak Merah

Kredit: blogopsi

Bahan-Bahan:

  • 6 potong ikan
  • 1 sudu teh serbuk kunyit
  • 5 biji bawang merah, dikisar
  • 3 ulas bawang putih, dikisar
  • 1/2 inci halia, dikisar
  • 2 biji bawang besar, dikisar
  • 4 sudu besar cili boh
  • 1 batang serai, dikisar
  • 1 sudu teh pes asam jawa
  • 3 sudu besar puri tomato
  • 250ml (1 cawan) air
  • 120ml (1/2 cawan) santan
  • garam dan gula secukup rasa

Cara-Cara:

  1. Sapu serbuk kunyit dan garam pada ikan dan biarkan selama 15 minit.
  2. Kisar bahan kisar hingga halus.
  3. Panaskan minyak di dalam kuali atas api sederhana. Apabila minyak panas, goreng ikan hingga perang keemasan. Angkat dan letakkan ikan di atas pinggan dilapik tisu.
  4. Dalam kuali yang sama, tumis bahan kisar hingga naik wangi selama 2 minit.
  5. Masukkan cili boh dan terus mengacau selama 10 minit hingga bau rempah hilang.
  6. Masukkan puri tomato, air, pes asam jawa dan garam.
  7. Biarkan kuah mereneh dan memekat sedikit. Jika anda nak lebih kuah, masukkan 1/4 cawan air lagi.
  8. Masukkan ikan goreng dan kacau rata. Mereneh selama 2 minit dan rasa jika semua perasa cukup.

 

7. Hati Masak Merah

Kredit: hellosehat.com

Bahan-Bahan:

  • 300g hati ayam
  • 3 sudu besar cili boh
  • 1 biji bawang besar
  • 4 ulas bawang merah, dikisar
  • 2 ulas bawang putih, dikisar
  • 1/2 inci halia, dikisar
  • 2 biji cili merah, dipotong serong
  • 1 biji cili hijau, dipotong serong
  • 1 biji tomato, dibelah 4
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 2 sudu besar sos cili
  • 1 sudu besar hirisan daun bawang
  • garam secukup rasa
  • gula secukup rasa

 

Cara-Cara:

  1. Gaul hati ayam dengan sedikit garam dan serbuk kunyit dan ketepikan selama 10 minit.
  2. Dalam kuali, panaskan minyak di atas api sederhana besar. Masukkan hati yang diperap dan goreng selama 5-10 minit. Setelah masak, angkat dan ketepikan.
  3. Kisarkan bawang besar, bawang merah, bawang putih dan halia hingga halus.
  4. Keluarkan separuh minyak masak dari kuali dan masukkan bahan kisar. Tumis selama 3 minit hingga naik bau.
  5. Masukkan cili kisar,tumiskan lagi sehingga sebati dengan bawang tadi. Masukkan 1/4 cawan air dan kacau hingga cili menjadi masak.
  6. Masukkan sos tiram,sos cili, cili merah dan cili hijau yang telah dihiris.Masukkan hati ayam yang telah digoreng tadi.
  7. Akhir sekali perasakan dengan garam dan gula.

 

8. Kambing Masak Merah

Kredit: Resepi Ummi

Bahan-Bahan:

  • 500g daging kambing, dipotong menjadi ketulan kecil
  • 50g tepung gandum
  • 2 inci halia, diketuk
  • 500ml air
  • 4 sudu besar cili boh
  • 4 ulas bawang putih, dikisar
  • 3 ulas bawang merah, dikisar
  • 1 biji bawang besar, dikisar
  • 2 inci halia, dikisar
  • 2 batang serai, dititik
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 3 biji cenglih
  • 3 sudu besar minyak sapi
  • 1/4 sudu besar garam
  • 1/4 sudu besar gula
  • 1 sudu teh gula melaka
  • 3 sudu besar sos tomato
  • 2 sudu besar sos cili
  • 1/4 tin puri tomato
  • 1/4 tin susu cair
  • 2 biji tomato, dibelah 4
  • 2 sudu besar hirisan daun bawang

 

Cara-Cara:

  1. Cuci ketulan daging kambing dan toskan. Masukkan ke dalam bekas dan gaul bersama tepung gandum. Perap selama 30 minit. Selepas habis perap, cuci bersih dan toskan daging hingga kering.
  2. Masukkan ketulan daging kambing ke dalam periuk bersama halia yang diketuk. Masukkan 1/2 cawan air dan rebus atas api sederhana besar selama 15 minit hingga air turun 1/4 dari sukatan asal.
  3. Tapis daging dan simpan air rebusan daging. Ketepikan.
  4. Dalam kuali, panaskan minyak sapi atas api sederhana besar dan masukkan kulit kayu manis. Kacau seketika.
  5. Masukkan bunga lawang, buah pelaga dan cengkih. Kacau sebentar.
  6. Masukkan serai yang telah dititik dan kacau hingga serai bertukar kekuningan.
  7. Masukkan bahan kisar dan garam. Tumis semua bahan hingga garing. Proses ini mengambil masa selama 3-5 minit.
  8. Kecilkan api dan masukkan puri tomato, sos cili, dan sos tomato. Kacau rata.
  9. Masukkan susu cair dan kacau lagi.
  10. Masukkan air rebusan kambing tadi dan kacau.
  11. Masukkan gula melaka dan gula pasir. Didihkan selama 3 minit di atas api sederhana besar.
  12. Masukkan ketulan daging kambing yang telah direbus tadi dan ratakan.
  13. Reneh selama 3 minit lagi hingga kuah pekat. Rasa dan masukkan sedikit garam jika perlu.
  14. Tabur hirisan daun bawang dan kacau rata selama 2 minit lagi lalu padamkan api.

 

9. Ketam Masak Merah

Kredit: SriRasa BiDara

Bahan-Bahan:

  • 6 ekor ketam, dibersihkan dan direbus bersama garam dan serai ketuk hingga 3/4 masak & toskan
  • 2 sudu besar cili boh
  • 2 sudu besar sos cili
  • 1 sudu besar sos ikan
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 1/2 sudu besar kicap manis
  • 3 helai daun limau purut
  • 120ml (1/2 cawan) air asam jawa
  • 1 sudu teh garam
  • 1 sudu teh gula
  • 1 sudu besar hirisan daun sup
  • 4 biji bawang merah, dikisar
  • 1 biji bawang besar, dikisar
  • 3 ulas bawang putih, dikisar
  • 1 batang serai, dikisar
  • 1 inci halia, dikisar
  • 1/2 inci lengkuas, dikisar

 

Cara-Cara:
  1. Panaskan minyak di dalam kuali atas api sederhana besar. Tumis bahan kisar hingga wangi. Kemudian, masukkan cili boh dan tumis hingga pecah minyak.
  2. Masukkan sos cili, sos tiram, sos ikan dan kicap manis. Kacau sebati. Kemudian masukkan air secukupnya.
  3. Apabila sudah mendidih, masukkan ketam, daun limau purut, garam, gula dan air asam jawa. Kacau rata.
  4. Biar mereneh selama 15 minit dan taburkan daun sup.
    Kacau rata dan tutupkan api.

 

10. Lala Masak Merah

Kredit: Masam Manis

Bahan-Bahan:

  • 500g lala, dicuci bersih
  • 3 biji bawang merah, dikisar
  • 3 ulas bawang putih, dikisar
  • 1 inci halia, dikisar
  • 4 sudu besar cili boh
  • 1 sudu besar sos cili
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 2 helai daun limau purut
  • 1 batang serai, dititik
  • 100ml air
  • 1 batang cili merah, dihiris serong
  • 1 tangkai daun bawang, dihiris kasar
  • garam dan gula secukup rasa

Cara-Cara:

  1. Dalam kuali, panaskan minyak atas api sederhana besar, tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
  2. Masukkan sos tomato, sos tiram dan serai, tumis lagi selama 3 minit hingga garing.
  3. Tuangkan sedikit air dan masukkan daun limau perut. Biarkan hingga mendidih selama 10 minit.
  4. Tambahkan garam dan gula secukup rasa.
  5. Biar selama 5 minit sehingga kuah agak pekat.
  6. Masukkan lala, besarkan api dan tutup kuali. Biarkan selama 5 minit.
  7. Buka kuali dan kacau sebati. Akhir sekali, masukkan cili hiris dan daun bawang.

 

Sudah Cukup Atau Nak Lagi?

Bagaimana? Anda sudah rasa cukup dengan resepi-resepi masak merah ini atau nak lagi? Saya sudah ketandusan idea yang nak dimasak merahkan lagi tetapi jika anda nak mencadangkan kepada saya bahan-bahan lain yang boleh dimasak merah, silalah komen di bawah atau dm kami di Facebook atau Instagram kami.

print
Azrene Jasmine
Azrene Jasmine

Azrene Jasmine is a Penangite with a stomach of gold. Though currently she is in a love/hate relationship with the weighing scale, Azrene truly believes that every woman should choose a hunk of juicy steak over a bowl of salad on the first date because steaks are awesome and what man can resist a woman with a healthy appetite?

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Something is wrong.
Instagram token error.
Load More