10 Hidangan Sedap Dengan Hanya Tiga Bahan Sahaja

“Mak laparlah,” “Adik, boleh tak masak petang ini?” “Abang malas nak makan luar. Boleh tak ayang masak?” 

Setelah seharian bekerja, ketiga-tiga dialog inilah dialog terakhir anda nak dengar. Bukannya anda berasa malas nak masak. Anda cuma rasa penat. Apabila badan sudah penat, siapa ada masa nak ke dapur dan masak?

 

Saya Mendengar Keluhan Anda

Kredit: ottawalife.com

Sebagai seorang bujang dan bekerjaya, jujur saya cakap bahawa satu-satunya sebab saya asyik beli makanan di luar adalah kerana kepenatan setelah seharian bekerja hinggakan saya tak sanggup nak berdiri lebih lama untuk sediakan makanan untuk diri saya sendiri. Mungkin ada yang lebih kuat daripada saya dan berkata saya sekadar memberi alasan. Itu terpulang kepada anda.

Kadang kala, apabila timbul mood nak masak meskipun kepenatan, tidak banyak resepi mudah yang boleh ditemui di Internet. Apabila barang tiada nak masak, tidak kuasa untuk saya keluar membeli barang. Bila pula nak masak, kalau begitu?

 

Hanya 3 Bahan Sahaja!

Oleh sebab itulah, saya telah mengambil begitu lama untuk kumpul 10 resepi yang cukup sedap dan mengenyangkan yang hanya menggunakan 3 bahan sahaja. Ya, ada 10 sajian yang anda boleh sediakan menggunakan 3 bahan! Tak perlu lagi rasa malas apabila mood nak masak ada ataupun anda perlu mengeluh apabila anda diminta untuk masak.

Resepi-resepi ini, saya perlu ingatkan, menggunakan 3 bahan dan tidak termasuk bahan-bahan asas keperluan rumah yang sedia ada seperti garam, gula, tepung, air, minyak dan rempah ratus. Kalau rumah anda langsung tidak mempunyai bahan-bahan asas ini, janganlah bersemangat nak cuba resepi-resepi yang disenaraikan. Bagi yang cukup barang, jom kita mulakan!

 

1. Cucur Ikan Bilis

Bahan-Bahan:

  • 1 biji bawang besar,dicincang halus
  • 1 genggam ikan bilis,dikisar kasar
  • 3 cawan tepung gandum
  • 3 cawan air panas
  • 2 batang cili merah, dihiris halus

 

Cara-Cara:

  1.  Gaulkan tepung gandum bersama bawang, ikan bilis, cili merah dan garam di dalam mangkuk.
  2. Apabila tepung dan bahan-bahan lain telah digaul rata, tolakkan sedikit tepung di tepi bekas. Buatkan sedikit ruang kosong untuk menggaul tepung. Lebih elok menggunakan bekas atau besen yang besar. Tuangkan air panas sedikit demi sedikit. Apabila tepung masak dan pekat, tolak ketepi dan gaul lagi bahagian tepung yang belum digaulkan. Buat bahagian demi bahagian, buat sedikit-sedikit.
  3.  Apabila semua tepung telah digaulkan dengan air panas, keadaan tepung akan menjadi seperti doh. Pastikan gaul tepung ini dengan menggunakan sudu, bukan tangan.
  4. Setelah doh agak sejuk sedikit, cuci tapak tangan, letakkan sedikit minyak dan boleh bulat-bulatkan doh.
  5. Tunggu tepung sejuk sedikit, baru mula goreng.

 

Kalau anda mempunyai mood untuk masak dan mahu sediakan cucur ikan bilis yang lebih rumit, bolehlah cuba resepi cucur ikan bilis versi Butterkicap.

 

2. Capati

chapati
Sedia untuk dihidang!

Antara resepi yang memang ringkas dan saya pasti, sudah ada dalam koleksi resepi kecemasan anda ialah capati. Kalau anda masih lagi tidak mempunyai resepi capati yang mudah, inilah peluang anda kerana resepi capati yang ingin saya kongsi merupakan resepi yang kami belajar daripada cef yang menyediakan capati yang cukup enak di restoran masakan India, Tifin by Kumar’s. Hasilnya memang lembut dan enak!

Resepi capati ini juga menunjukkan cara langkah demi langkah untuk anda menyediakan capati dan dijamin memberikan hasil yang cantik walaupun ini kali pertama anda mencubanya. Betul!

 

3. Lempeng Kelapa

Kredit: http://meghanbirt.com

Bahan-Bahan:

  • 1 cawan tepung gandum
  • 1 cawan kelapa parut
  • 1 cawan air
  • 1 sudu teh garam
  • 1 sudu besar minyak

 

Cara-Cara:

  1. Campurkan tepung gandum, kelapa parut, garam dan air di dalam sebuah mangkuk lalu gaul sebati.
  2. . Panaskan kuali atas api sederhana besar dan sapu permukaan kuali dengan sedikit minyak.
  3. Letakkan adunan dan leperkan.
  4. Kecilkan api dan biar adunan masak selama 3 minit dan setelah garing atau masak di bahagian bawah, terbalikkan.
  5. Hidangkan bersama kuah cicah kegemaran anda.

 

4. Sup Kentang

Kredit: sparkrecipes

Bahan-Bahan:

  • 3 biji ubi kentang, cuci, dipotong 8
  • 2 biji bawang besar, dicincang kasar
  • 4 cawan stok sayuran

 

Cara-Cara:

  1. Panaskan periuk atas api sederhana besar dan masukkan stok sayuran. Tutup periuk dan tunggu selama 5 minit untuk stok mendidih.
  2. Masukkan ubi dan bawang besar. Kecilkan api dan kacau sesekali. Biar sup masak selama 20 minit.
  3. Padamkan api dan ketepikan sup agar sup menyejuk sedikit.
  4. Sebelum menghidang, kisar sedikit sup untuk dapatkan konsistensi lebih halus.

 

5. Ayam Goreng Kola

Kredit: NYT Cooking

Bahan-Bahan:

  • 8 ketul ayam, bahagian paha dan dada
  • 2 tin air berkarbonat kola
  • 1/4 cawan kicap masin
  • 1/4 cawan kicap manis

 

Cara-Cara:

  1. Letakkan ketulan ayam dalam periuk. Masukkan air kola dan kicap. Perap selama 40 minit.
  2. Dalam kuali, panaskan 3 sudu besar minyak atas api sederhana besar. Goreng setiap ketul ayam selama 3-5 minit.
  3. Dalam kuali berasingan, masukkan kuah perapan dan biar mendidih hingga memekat. Tuang atas ketulan ayam goreng dan sedia menghidang.

 

6. Kurma Bunga Kobis

Bahan-Bahan:

  • 1 paket kecil serbuk kari kurma
  • 1 cawan air
  • 1/2 biji bunga kobis, dipotong pada ketulan bunga
  • 1 biji bawang besar, dihiris bulat

 

Cara-Cara:

  1. Dalam mangkuk, masukkan serbuk kari kurma dan 1 cawan air. Kacau hingga sebati.
  2. Dalam periuk, panaskan 2 sudu besar minyak atas api sederhana besar. Masukkan bawang dan kacau hingga naik wangi.
  3. Masukkan bancuhan kari dan tutup periuk. Biar selama 15 minit hingga mendidih.
  4. Perasakan kuah dengan garam dan gula secukupnya. Masukkan bunga kobis dan tutup periuk selama 10 minit. Jika bunga kobis masih belum empuk, tutup periuk selama 5 minit lagi.

 

7. Bergedil

Kredit: Youtube.com

Bahan-Bahan:

  • 3 biji ubi kentang, dibuang kulit dan direbus hingga empuk
  • 2 batang cili merah, dihiris halus
  • 1 biji telur

 

Cara-Cara:

  1. Lenyekkan ubi kentang yang direbus hingga halus.Masukkan hirisan cili dan garam secukup rasa lalu kacau rata.
  2. Bentukkan adunan dan celup ke dalam telur yang dipecah dan dipukul lalu goreng dalam kuali berisi minyak yang dipanaskan atas api sederhana besar.

 

8. Donat

Kredit: marthastewart.com

Bahan-Bahan:

  • 1 paket yis
  • 2 sudu susu pekat
  • 1 cawan air suam
  • 2 sudu gula
  • 4 cawan tepung gandum
  • 1 sudu teh serbuk penaik
  • 2 sudu besar mentega
  • 1 sudu teh garam

 

Cara-Cara:

  1. Masukkan semua bahan basah iaitu air suam, yis, susu, dan gula ke dalam sebuah besen. Tunggu hingga kembang.
  2. Di dalam sebuah bekas lain, satukan mentega, tepung, garam, dan serbuk penaik.
  3. Kemudian, masukkan bancuhan bahan basah (yis yang telah kembang) dalam bancuhan bahan kering. Gaul rata dan tutupkan adunan dengan kain. Tunggu selama 1 jam.
  4. Bentukkan donat dan susun atas pinggan.
  5. Dalam kuali, isikan minyak hingga 1/4 kuali dan panaskan atas api sederhana besar.
  6. Masukkan donat, 3 pada satu masa dan goreng selama 5 minit hingga donat bertukar kuning keemasan.
  7. Taburkan gula atas donat yang sudah siap digoreng.

 

9. Puding Telur

Kredit: Youtube

Bahan-Bahan:

  • 150ml susu
  • 1 biji telur besar
  • 2 sudu besar gula
  • 2 sudu teh air

Bahan-Bahan:

  1. Dalam cawan, masukkan 1 sudu teh air dan 1 sudu besar gula dan panaskan dalam ketuhar mikro pada suhu 100 Celsius selama 2 minit 30 saat. Jika masih tidak bertukar warna, panaskan setiap 10 saat.
  2. Apabila air gula bertukar kuning keemasan, keluarkan cawan dan masukkan 1 sudu teh air dan kacau perlahan. Ketepikan selama 5 minit hingga karamel mengeras.
  3. Pecahkan telur dalam mangkuk. Masukkan susu dan gula lalu kacau rata.
  4. Tapis campuran puding dan masukkan ke dalam cawan berisi karamel.
  5. Tutup cawan dengan pembalut plastik dan masukkan ke dalam ketuhar mikro pada suhu 150 Celsius selama 2 minit 30 saat.
  6. Apabila permukaan puding sudah mengembang dan mengeras. Keluarkan cawan dan sejukkan.
  7. Terbalikkan cawan atas pinggan dan goncang perlahan-lahan untuk keluarkan puding.

 

10. Kaya

Membuat kaya memang mudah. Nak jadi kaya itu yang susah. Baiklah, lawak hambar diketepikan, anda perlu mengakui bahawa membuat kaya tidak susah langsung dan kebanyakan bahan yang anda perlukan untuk resepi kaya lazimnya sudah ada di dapur anda.

Resepi kaya Butterkicap memang sedap dan tahan lama. Anda boleh cuba pada hujung minggu ini ataupun apabila anda ingin membuat kuih raya (nantikan artikel kuih raya menggunakan kaya kami). Buat masa ini, jangan ketinggalan daripada mencuba resepi mudah ini. Saya jamin, anda tidak akan menyesal!

 

Tak Lebih, Tak Kurang

Adakah resepi 3-bahan yang saya senaraikan ini cukup menarik perhatian anda? Resepi-resepi ini sudah banyak membantu saya pada hari-hari saya ingin masak tapi tidak cukup bahan di rumah. Sedap itu, sedaplah tetapi jika anda ada masa lebih, bolehlah jadikan resepi-resepi yang saya senaraikan di sini lebih kompleks.

Jika anda merasakan senarai saya tidak cukup, bolehlah komen di bawah dan maklumkan saya tentang resepi-resepi 3-bahan yang anda suka. Selamat mencuba!

print
Azrene Jasmine
Azrene Jasmine

Azrene Jasmine is a Penangite with a stomach of gold. Though currently she is in a love/hate relationship with the weighing scale, Azrene truly believes that every woman should choose a hunk of juicy steak over a bowl of salad on the first date because steaks are awesome and what man can resist a woman with a healthy appetite?

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Something is wrong.
Instagram token error.
Load More