Tips untuk Elakkan Daging Jadi Liat ketika Masak

Apabila tiba musim perayaan seperti hari raya Aidiladha, sudah pastinya daging korban banyak dan macam-macam masakan akan anda lakukan. Dalam memastikan masakan tersebut sempurna, anda pasti inginkan daging yang masak dengan sempurna dan cara yang betul bagi mengelakkan daging menjadi liat.

Dalam penyediaan daging, anda harus berhati-hati dan gunakan teknik yang betul bermula daripada pemotongan daging sehinggalah ke proses memasak daging tersebut. Dalam memasak daging, anda mesti nakkan daging yang mudah dikunyah dan lembut untuk dimakan.

Jadi, kami ingin berkongsi beberapa tip yang anda boleh praktikkan untuk elakkan daging menjadi liat ketika masak.

 

Tip 1: Tambahkan biji kurma dalam masakan

Related image

Buah kurma kebiasaannya mudah didapati apabila tiba bulan Ramadhan. Untuk pengetahuan anda, biji kurma sangat berguna dalam masakan. Jadi, anda bolehlah menyimpan biji kurma untuk kegunaan masakan. Selalunya anda buang terus, sekarang jangan buang terus, simpan! Kandungan gula tinggi dalam kurma dapat membantu memberikan pemanis semula jadi kepada masakan tanpa menambah perasa manis lain.

Caranya sangat mudah dilakukan. Anda juga boleh pilih sama ada gunakan buah kurma atau masukkan bijinya sahaja. Kedua-dua teknik masih berkesan bagi memastikan daging lembut dan tidak liat semasa memasak. Anda hanya perlu memasukkan beberapa biji buah kurma atau beberapa butir biji kurma ke dalam masakan. Tetapi, anda diingatkan kuantitinya jangan terlalu banyak. Kalau tak, daging anda bukannya lembut, tetapi hancur.

Ia berupaya mempercepatkan proses melembutkan daging dan mengelakkan daging liat. Ia juga akan memberikan rasa manis kepada masakan secara semula jadi tanpa menambah pemanis tambahan lain. Ia sesuai dipraktikkan jika anda ingin memasak masakan berkuah atau sup. Gunakan 5 butir biji kurma sudah memadai untuk proses ini. Apabila selesai memasak, keluarkan biji kurma tersebut sebelum menghidangkan sajian tersebut.

Tip 2: Daun nangka elak daging liat

Image result for daun nangka

Tip yang lain yang boleh anda lakukan dalam memastikan daging tidak liat semasa memasak dengan menggunakan daun buah nangka. Caranya mudah untuk dilakukan jika anda ada menanam pokok nangka. Bagi yang sukar untuk mendapatkannya, anda boleh pilih untuk gunakan tips yang lain.

Jika anda ingin menggunakan daun nangka, anda hanya perlu memasukkan beberapa daun nangka bersama nangka ke dalam masakan daging atau air rebusan daging tersebut. Bagi menjaga kebersihan, anda hendaklah membasuh daun tersebut sehingga bersih terlebih dahulu sebelum memasukkan ke dalam periuk.

Ia juga boleh dipraktikkan dalam masakan menggunakan ayam kampung atau hutan. Ia dapat membantu mengempukkan daging dan tidak akan liat untuk dimakan. Seeloknya, keringkan getah yang ada pada daun nangka tersebut sebelum digunakan. Gunakan sekurang-kurangnya sebanyak 4-5 helai daun nangka dan ia diyakini berkesan dalam mengelakkan daging menjadi liat semasa proses memasak.

Tip 3: Perap dahulu sebelum masak

Teknik seterusnya jika anda ingin elak daging liat semasa masak ialah dengan memerap daging terlebih dahulu sebelum memasak. Daging yang telah dipotong dan hendak dimasak perlu diperap selama lebih kurang 15 minit bersama sedikit cuka. Kemudian, toskan daging sehingga kering dan masak seperti biasa.

Semasa proses memasak daging, anda perlu pastikan api berada dalam tahap sederhana ketika daging hampir menggelegak. Anda akan mendapat hasil yang memuaskan apabila daging akan cepat masak dan empuk dengan rasa yang lebih enak. Anda tidak perlu gusar untuk daging menjadi liat dan susah untuk digigit.

Ada juga teknik pemerapan yang memerlukan lebih lama bagi memastikan daging bertambah lembut. Ia selalunya dilakukan selama dua hingga 24 jam ataupun semalaman. Dengan menggunakan sumber makanan yang mampu melembutkan tisu otot dan bahagian daging yang keras secara semula jadi. Asid yang terhasil daripada proses perapan akan membantu fiber otot menjadi lembut dan lebih enak untuk dimakan kerana mudah untuk dikunyah.

Antara bahan pemerapan yang anda boleh gunakan untuk proses pemerapan daging ialah jus daripada sitrus seperti lemon dan limau nipis, bahan makanan berasid seperti cuka dan yogurt serta makanan yang diperkaya dengan kandungan enzim seperti halia dan kiwi. Anda boleh gunakan satu sumber perapan sahaja atau menggabungkan semua bersama.

Tip 4: Ketuk daging untuk jadikan ia lembut

Teknik seterusnya dalam mengelakkan daging menjadi liat semasa masak ialah mengetuk daging. Alatan mengetuk daging yang anda boleh gunakan ialah mallet, meat tenderizer atau pengetuk daging. Anda hanya perlu ketuk bahagian lembut daging secara perlahan dan ketuk secara kuat pada bahagian keras daging.

Teknik ini bertujuan melembutkan otot-otot fiber daging yang keras. Setelah itu, ia tidak lagi liat dan mudah lembut serta cepat empuk semasa masak. Ia akan menjadikan tekstur daging mudah terungkai dan daging menjadi lembut. Anda perlu melakukan teknik ini sebelum memasak daging tersebut.

Apabila sudah selesai mengetuk daging tersebut, anda boleh teruskan proses memasak daging tersebut dengan memotong daging kecil-kecil mengikut saiz yang anda mahukan.

Tip 5: Elakkan daging liat guna sudu besi

Image result for sudu besi

Salah satu teknik tradisional yang sering digunakan oleh generasi dahulu dalam memastikan daging tidak liat ialah dengan sebatang sudu ataupun garfu kecil. Ada yang menggunakan sudu tembaga, ada juga yang menggunakan sudu besi.

Semasa merebus atau memasak daging tersebut, masukkan sudu tersebut ke dalam periuk. Ia dikatakan berupaya menyerap lebih haba dan kepanasan yang berpotensi membantu proses melembutkan daging. Pastikan daging menjadi empuk dan lembut kemudian baru keluarkan sudu tersebut.

Secara saintifik, sudu adalah bahan logam pengalir haba terbaik dan tujuan penggunaan sudu dalam masakan bagi meningkatkan haba sedia ada dalam periuk sekaligus dapat mempercepat proses daging menjadi lembut. Kebiasaannya ia digunakan untuk masakan sup dan berkuah bagi mengelakkan daging menjadi liat dan keras.

Tip 6: Daun betik kurangkan liat daging

Image result for daun betik

Selain itu, anda juga boleh menggunakan betik dalam memasak daging. Petua yang kebiasaan digunakan boleh memilih sama ada anda hendak menggunakan daun betik ataupun buah betik muda. Kedua-duanya berupaya menjadi agen pelembut daging dan mengelakkan daging menjadi liat semasa masak.

Bagi daun, anda boleh mengambil beberapa tangkai daun betik dan masukkan dalam masakan. Biarkan sehingga daging menjadi lembut dan empuk lalu tutup api. Jika tiada daun betik, anda boleh gantikan dengan buah betik muda. Sebelum menggunakannya, anda perlu kupaskan kulitnya terlebih dahulu dan buang biji serta bersihkan lalu dimasukkan kedalam masakan berasaskan daging.

Tip 7: Cuci daging dengan nenas

Image result for hirisan buah nenas

Anda boleh menggunakan parutan buah nenas muda. Ini kerana buah nenas mengandungi enzim yang boleh meleraikan serat daging sehingga memudahkan ia lebih empuk ketika dipotong dan dapat dimasak dengan baik dan sempurna. Ia sama seperti teknik pemerapan yang menggunakan cuka ataupun lemon.

Anda hanya perlu memerap daging yang telah dicuci bersih dengan nenas yang telah dikisar halus selama 30 minit. Kemudian, anda bersihkan daging tersebut dengan air bersih. Biarkan seketika sebelum dimasak. Perapan yang dilakukan berpotensi melembutkan bahagian daging yang keras dan liat.

Tip 8: Rendamkan ubi kayu dalam masakan

Related image

Anda hanya perlu menggunakan batang ubi kayu untuk dimasukkan ke dalam masakan daging. Cara ini berupaya membantu anda mengelakkan daging menjadi liat semasa memasak. Anda perlu memotong batang ubi kayu tersebut menjadi satu keratan yang kecil dan muat untuk diletakkan dalam periuk. Jangan terlalu panjang, kalau tak batang tersebut tidak muat ke dalam periuk.

Jadi, dalam memastikan daging tidak menjadi liat semasa masak, anda juga boleh cuba gunakan keratan batang ubi kayu. Tetapi sebelum itu, anda perlu pastikan batang ubi kayu itu dibersihkan terlebih dahulu sebelum digunakan. Kemudian, anda boleh masukkan batang ubi kayu ke dalam periuk yang sedang mendidih dan biarkan ia selama 10 hingga 15 minit sehingga daging betul-betul masak dan empuk. Apabila ia sudah masak, angkat dan asingkan batang ubi kayu daripada rebusan daging tadi.

Tip 9: Biji pinang melembutkan daging

Image result for biji pinang

Jika di rumah anda terdapat pokok pinang, anda boleh menggunakan biji pinang dalam masakan daging. Ia berupaya membantu melembutkan daging dan mengelakkan daging menjadi liat semasa masak. Tetapi, anda diingatkan jangan masukkan dalam kuantiti yang terlalu banyak. Masukkan sedikit sahaja supaya membantu melembutkan daging sahaja.

Caranya mudah, anda hanya perlu mengambil buah pinang tua yang telah luruh sendiri dan mengupas buah tersebut. Setelah itu, keluarkan bijinya dan masukkan ke dalam masakan daging. Ia mudah dilakukan bagi menjadikan daging mudah masak dan lembut untuk dikunyah.

Tip 10: Gula-gula hacks bantu elak daging liat

Image result for ubi kayu melembutkan daging

Teknik yang terakhir yang anda boleh praktikkan dalam membuat masakan daging ialah gunakan gula-gula hacks. Anda hanya perlu masukkan gula-gula hacks sebanyak 2 biji ke dalam masakan tersebut. Tetapi ia bergantung kepada kuantiti daging yang dimasak. Jika ingin daging cepat masak dan empuk, masukkan sahaja hacks ikut kadar yang anda mahukan.

Petua sebaiknya untuk sekilo daging, anda boleh sahaja letakkan 2 biji hacks. Ia juga bergantung kepada citarasa anda. Jangan risau, bau dan rasa gula-gula tersebut tidak akan tertinggal pada daging. Ia masih mengekalkan rasa asli daging dan ia hanya membantu melembutkan daging dan cepat masak sahaja.

 

 

Kesimpulannya, daging akan lebih mudah dimasak dan cepat empuk jika anda menggunakan teknik-teknik di atas. Ia akan berpotensi melembutkan daging secara semula jadi tanpa menggunakan bahan tambahan yang berbahaya kepada anda. Ini kerana, kebiasaannya daging memerlukan masa yang lama untuk dimasak dan akan menjadi liat jika cara memotong dan memasak salah.

Sebelum anda memasak daging, anda perlu pastikan cara anda memotong daging adalah betul dan ia akan menentukan daging anda keras dan liat atau tidak. Teknik dalam memotong daging dengan betul perlu anda ketahui. Sebelum anda memotong daging, anda seharusnya membuang lemak atau selaput keras yang melekat pada daging tersebut.

Cara potong daging juga perlu tepat di mana anda harus memotong mengikut arah menegak atas urat daging, iaitu melintang urat dan jangan ikut urat daging. Kalau tidak, daging akan menjadi liat dan sukar empuk ketika masak walaupun dalam tempoh lama. Anda perlu melihat  terlebih dahulu jalur-jalur urat daging, lalu meletakkan pisau bertentangan dengan urat daging dan potong mengikut saiz yang anda mahukan.

Image result for cara betul potong daging

Pada beberapa bahagian daging yang mempunyai lebih daripada satu otot, misalnya ada 5 otot. Maka, setiap otot tersebut harus dibuang terlebih dahulu mengikut selaput pembahagian setiap otot kemudian daging dapat dipotong dengan mudah dan daging tidak akan liat ketika dimasak.

Selamat mencuba setiap tips yang telah dikongsikan diatas. Jika anda ada tip lain yang berkesan dalam menyediakan masakan berasaskan daging, anda boleh kongsikan bersama kami. Segala tip ini berkesan dalam memastikan daging anda tidak akan menjadi liat ketika dimasak dan mudah empuk supaya lebih lazat untuk disajikan kepada ahli keluarga. Selamat mencuba!

print
Sakinah Ahmad

Everyday we start a day with positive minds and ends it in peaceful. Just be yourself and treat people good if we want people treat us well. Just love yourself and care the others and also love fooooooddddddd! Chill yo! ;)

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.