Tip Dapur: Cara Mengguna & Menyimpan Gula Melaka

Tinggal di Malaysia sememangnya boleh membuatkan kita rambang mata memilih makanan yang mahu dimakan. Hal ini demikian kerana kita dimanjakan dan dilambakkan dengan bermacam-macam jenis pilihan makanan yang lazat dan paling penting sekali, mudah untuk didapati di mana-mana pada setiap masa! Masyarakat Malaysia yang majmuk dan datang dari pelbagai lapisan kaum menjadikan pilihan makanan yang ada juga turut pelbagai. Sebagai contoh, jika pada waktu pagi anda sudah menjamu roti canai cicah kari dan teh tarik di kedai mamak, anda pasti boleh merubah selera dengan memilih nasi ayam yang dijual di kedai masakan Cina pada sebelah tengah hari pula. Ini belum dikira lagi kuih beraneka jenis atau makanan ringan yang boleh dipilih sebagai menu minum petang anda. faktor penting yang menjadikan makanan di Malaysia lebih unik adalah kebanyakan makanan dan bahan masakan di sini tiada atau mungkin sukar untuk didapati di tempat-tempat lain di dunia. Satu contoh bahan ‘rare‘ ini ialah gula Melaka.

 

Gula Melaka: Sifat & Cara Pembuatan

Tidak keterlaluan jika kami katakan gula Melaka adalah antara bahan utama yang penting dalam kebanyakan menu masakan Malaysia. Berasal daripada nira pohon kelapa, gula Melaka sememangnya merupakan suatu bahan makanan yang istimewa, bermula daripada proses pembuatannya sehinggalah ke proses penggunaannya. Terdapat pelbagai versi warna dan kondisi gula Melaka di Malaysia, bergantung pada bahan yang terdapat dalamnya dan cara pembuatannya,baik moden mahupun tradisional.

Secara umumnya, gula Melaka yang asli berwarna coklat keperangan dan mempunyai tekstur yang agak keras apabila telah disejukkan pada suhu bilik dan dibentuk dalam acuan silinder yang diperbuat daripada buluh ( ukuran diameter sekitar 3 inci). Namun begitu, terdapat juga gula Melaka yang diletakkan dalam acuan daripada mengkuang dan lebih nipis. Dari segi rasa pula, gula Melaka mempunyai rasa yang unik, iaitu agak manis (namun tidak keterlaluan jika dibandingkan dengan gula biasa), sedikit berkrim dan mempunyai aroma seperti dipanggang. Ada juga yang berpendapat bahawa gula mempunyai rasa seperti coklat, butterscotch dan karamel.

Bagi anda yang buntu dan tertanya-tanya bagaimana caranya gula Melaka boleh digunakan, di sini kami telah menyenaraikan beberapa cara untuk anda menikmatinya. Selamat mencuba!

 

  1. Digaul bersama kelapa parut


Kredit: .blogspot.com

Sukat kuantiti gula Melaka yang ingin digunakan dan dimasak atas api sederhana sehingga cair kemudian tambahkan kelapa yang telah diparut dan digaul sebati. Anda boleh tambahkan sedikit garam jika mahu bagi menjadikan rasanya lebih stabil. Campuran ini amat lazat jika anda ingin membuat inti bagi kuih-muih seperti kuih koci, kuih ketayap, kuih Puteri Mandi atau dimakan bersama pulut.

 

  1. Dimasak menjadi sirap

Panaskan gula Melaka di atas api sederhana di dalam periuk sehingga cair dan letakkan daun pandan ke dalam (jika mahu) bagi menambah aroma sirap gula Melaka tersebut agar lebih wangi. Masak sehingga mendidih kemudian sejukkan sebelum disimpan di dalam balang atau botol kedap udara. Anda boleh menjadikan sirap gula Melaka ini sebagai sos di atas penkek, dimakan bersama kuih lopis, dicicah bersama lemang, sebagai pemanis di dalam Ais Batu Campur (ABC) atau tambah sahaja ke dalam pencuci mulut kegemaran semua rakyat Malaysia iaitu cendol!

Teknik ini juga boleh digunakan bagi membuat salutan kuih keria gula Melaka. Bezanya, kuih keria yang telah siap digoreng akan dicelup atau digaul bersama gula Melaka yang telah cair ketika masih berada di atas kuali atau periuk tanpa perlu disejukkan terlebih dahulu.

 

  1. Dicairkan menjadi kuah atau air gula Melaka


Kredit: lh4.ggpht.com

Jika anda ke pasar malam atau melalui gerai-gerai menjual makanan di tepi jalan, tentu sekali anda biasa ternampak mereka yang menjual makanan yang dinamakan pati soya, atau nama ‘glamor’nya, Tau Fu Fah.  Anda mungkin biasa jumpa Tau Fu Fah yang dimakan bersama air gula biasa dan juga air gula Melaka tapi tahukah anda cara nak membuat air gula itu?

Nah, cara membuat kuah daripada gula Melaka tersebut senang sahaja! Anda cuma perlu masak gula Melaka yang dicampurkan bersama sukatan air yang banyak lalu diletakkan daun pandan ke dalam gula yang dicair itu. Sejukkan di dalam peti ais, kemudian bolehlah dihidang bersama pati soya ketika cuaca panas terik!

Air gula Melaka ini juga turut boleh dimakan bersama sejenis kuih yang dinamakan ‘Lompat Tikam’ yang berasal dari Kelantan. Kuih ini boleh dimakan bersama santan yang dimasak, pulut masak berwarna merah dengan adunan tepung kuih yang berwarna hijau dan putih.

 

  1. Bahan adunan aneka kuih-muih


Kredit: blogspot.com

Oleh sebab rasanya yang enak, gula Melaka banyak digunakan bagi melengkapkan adunan beraneka kuih-muih tradisional Malaysia. Apa yang boleh anda lakukan adalah menambahkan kuantiti gula Melaka mengikut sukatan yang diperlukan ke dalam adunan kuih yang ingin dimasak dan hasilnya, kuih-muih yang sedap dan warna yang menarik akan terhasil! Kami berikan contoh-contoh jenis kuih muih yang menggunakan gula Melaka:

  • Agar-agar santan
  • Talam ubi kayu
  • Nasi manis
  • Bingka gula Melaka
  • Kasui
  • Kuih gerodok telur
  • Tepung talam gula Melaka
  • Kuih bakul

Selain daripada contoh kuih muih yang diberikan di atas, terdapat banyak lagi jenis kuih yang boleh anda sediakan menggunakan gula Melaka.

 

  1. Pengat dan bubur


Kredit: blogspot.com

Bagi penggemar pengat dan bubur pula, anda perlu ketahui bahawa gula Melaka memainkan peranan penting bagi menyedapkan kuah pengat dan bubur. Bahan asas bagi membuat kuah pengat atau bubur ialah gula Melaka, santan dan air. Manakala bahan-bahan lain pula berbeza-beza mengikut bahan yang ingin anda masak. Sebagai contoh pengat boleh ditambah dengan ubi keladi, pisang mahupun ubi keledek.  Sementara itu, antara bahan-bahan yang popular untuk membuat bubur ialah kacang hijau, jagung, kacang merah dan sagu.

Apa jua bahan pengat atau bubur yang anda pilih, gula Melaka ialah bahan yang wajib untuk dimasukkan bagi menyedapkan lagi hidangan anda.

 

  1. Dijadikan kaya

Tahukah anda bahawa gula Melaka juga turut boleh dijbuat kaya? Apa yang perlu anda lakukan hanyalah dengan memasak gula Melaka tersebut bersama beberapa bahan yang lain iaitu santan, gula, daun pandan dan kuning telur menggunakan beberapa kaedah masakan dan hasilnya, kaya gula Melaka yang enak dan sihat tersedia!

 

Menyimpan Gula Melaka

Setelah siap menggunakan gula Melaka ke dalam masakan, anda perlu menyimpan baki yang ada dengan betul supaya ia masih boleh digunakan lagi pada masa hadapan. Berbeza dengan gula biasa, gula Melaka mempunyai tempoh hayat yang lebih pendek kerana ketahanan dan cara penyimpanan yang tidak sama. Hal ini demikian kerana, bahan yang digunakan untuk dijadikan gula Melaka menjadikannya lebih lembap berbanding gula biasa yang diproses sehingga menjadi butiran kering.

Namun begitu, cara untuk menyimpan gula Melaka tidaklah terlalu rumit. Tips yang perlu anda ikuti adalah dengan menyimpan gula Melaka tersebut di dalam bekas yang bertutup rapat dan kedap udara. Jika tidak, gula Melaka tersebut akan terdedah kepada udara dan menjadikannya cenderung untuk berkulat dan dihurung oleh semut. Kemudian, bekas berisi gula Melaka tersebut haruslah diletakkan di tempat yang kering dan bersuhu bilik (atau lebih rendah). Elakkan tempat yang lembap dan panas supaya gula Melaka tidak rosak dan menjadi cair atau melekit. Jika anda memasak gula Melaka untuk dijadikan sebagai sos atau dalam bentuk cecair, tuang baki cecair yang ada ke dalam botol atau bekas bertutup dan disimpan di dalam peti sejuk.

Akhir sekali, bagi memastikan baki gula Melaka yang ada supaya tahan lama, anda haruslah mengendalikan gula Melaka dengan menggunakan alat seperti pisau atau sekurang-kurangnya, memakai sarung tangan supaya tiada sentuhan secara langsung tangan anda. Anda perlu berhati-hati sehingga ke tahap ini bagi mengelakkan haba dari tangan anda terkena bongkah gula Melaka tersebut dan membuat bahan itu menjadi lebih cepat rosak berbanding biasa.

 

 

print
Bibi Mokrat

Fresh-from-the-oven writer who actually takes pride in the quote 'Women belongs in the kitchen' because that's exactly where she wants to be - most of the time

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.