Resepi Pasta Masak Lemak Pasti Memikat Hati

Tanggal 14 Februari, setiap restoran, kedai bunga dan pasar raya akan dipenuhi pasangan kekasih mahupun suami isteri yang mengambil peluang untuk meraikan rasa cinta dan kasih yang ada untuk satu sama lain.

Siapa yang tidak mahu dimanja-manjakan dan ditunjukkan penghargaan oleh individu yang paling bermakna dalam hidup mereka, betul?

Namun begitu, segala perancangan romantis seperti keluar makan berdua di restoran mewah, jambakan bunga besar dan kotak-kotak berisi coklat istimewa memerlukan bajet yang agak besar dan tidak semestinya semua orang dapat memberikan semua ini kepada pasangan masing-masing.

Meskipun begitu, itu tidak bererti anda tidak sayangkan pasangan anda. Anda cuma perlu mencari cara yang terbaik untuk anda pastikan Hari Kekasih kali ini cukup bermakna bagi anda dan juga pasangan serta tidak membuatkan anda gigit jari sehingga hari gaji seterusnya.

 

Jadi, apakah pilihan yang ada?

 

Dari mata turun ke perut

 

Dari zaman dahulu lagi, nenek moyang kita berpegang pada satu prinsip sahaja dalam memastikan perhubungan kita berkekalan adalah melalui makanan. Jadi, jika anda kesuntukan idea atau wang untuk menjadikan sambutan Hari Kekasih anda tahun ini lebih bermakna, apa kata anda sendiri sediakan hidangan istimewa untuk dinikmati pada malam 14 Februari nanti bersama orang yang dicintai.

Hidangan Kemenangan

Pasta Masak Lemak ini merupakan salah satu resepi kegemaran saya kerana hidangan ini bukan sahaja enak malah cepat dan mudah untuk disediakan. Anda juga tidak perlu keluarkan bajet yang besar untuk menyediakan hidangan ini kerana hidangan pasta ini menggunakan bahan tempatan yang sering kali digunakan dalam masakan tempatan seperti masak lemak.

Jadi, apa lagi yang anda tunggu? Lekas kita belajar resepi pasta masak lemak ini!

 

Bahan-Bahan

  • 200g pasta linguine
  • 4 keping bakon daging salai
  • 2 biji telur kuning itik (diasingkan)
  • 1 batang serai
  • 1 helai daun kunyit (dihiris nipis)
  • 2 helai daun limau purut
  • 3 sudu besar minyak
  • Garam laut (secukup rasa)
  • Gula perang (secukup rasa)
  • 1/2 cawan air suam
  • 1 cawan santan

Bahan kisar

  • 6 biji cili padi
  • 1 biji cili merah
  • 1 cm halia muda
  • 1 cm kunyit hidup
  • 2 biji bawang merah sederhana besar
  • 4 ulas bawang putih
  • 1 cm lengkuas

Cara-Cara

Menyediakan Pes
  1. Masukkan cili padi, cili merah, halia, bawang besar, kunyit hidup, bawang merah, bawang putih ke dalam pengisar.
  2. Masukkan ¼ cawan air ke dalam pengisar. Kisar semua bahan sehingga halus dan ketepikan.

 

Merebus pasta
  1. Rebus pasta sepertimana yang ditunjukkan di belakang kotak pasta. Lazimnya, pasta dimasak selama 3-5 minit pada suhu sederhana tinggi.
  2. Setelah masak, tapis air rebusan tetapi simpan sedikit air rebusan pasta untuk digunakan kemudian.
Menyediakan sos
  1. Panaskan kuali dengan 1 sudu besar minyak pada suhu sederhana panas.
  2. Apabila minyak sudah mula panas, masukkan kepingan bakon daging, dua keping pada satu masa. Goreng bakon sehingga rangup. Proses ini akan mengambil masa kira-kira 3-5 minit.
  3. Apabila sudah rangup, angkat bakon dan letakkan di atas pinggan untuk disejukkan. Apabila sudah sejuk, potong bakon pada ketulan kecil dan ketepikan.
  4. Tuang sedikit minyak sayuran di dalam kuali yang sama dan tunggu selama 2 minit bagi minyak untuk panas. Masukkan bahan kisar dan tumis selama 3-5 minit sehingga wangi.
  5. Setelah bahan kisar menjadi lebih gelap, masukkan serai dan tumis selama 2 minit lagi.
  6. Masukkan ¼ cawan air ke dalam bahan tumisan jika kering. Tumis selama 5 minit lagi sehingga pecah minyak.
  7. Masukkan santan dan kacau rata. Biar sos masak sehingga mendidih dan padamkan api. Jika sos terlalu pekat, masukkan ¼ cawan air. Perasakan sos dan rasa.
Menghidangkan pasta
  1. Ambil sesenduk pasta dan gaul dengan sos.
  2. Gunakan garfu dan gulung pasta lalu hidangkan di atas pinggan lain. Tabur ketulan bakon daging bersama-sama telur kuning itik.

 

Tip Ili

  1. Air ditambah ketika mengisar untuk melancarkan proses kisar dan memastikan hasil kisar adalah halus.
  2. Tambah sedikit minyak zaitun untuk mengelakkan pasta daripada melekat.
  3. Semasa merebus pasta, masukkan satu sudu teh garam laut ke dalam air rebusan untuk perasakan pasta.
  4. Untuk tahu pasta anda sudah masak atau tidak, anda boleh gunakan garfu untuk mencucuk pasta. Jika sudah lembut, pasta akan terpotong dengan mudah. Cara alternatif adalah membaling pasta ke dinding. Jika pasta anda melekat, maksudnya pasta anda sudah masak. Cara ini agak ekstrem dan hanya membazir pasta yang anda penat sediakan.
  5. Kuali sama yang digunakan untuk goreng bakon daging digunakan untuk menumis bahan kisar agar minyak yang keluar daripada bakon tersebut akan memberikan rasa yang lebih lemak pada sos pasta.

 

Jadi, bagaimana? Adakah pasangan anda tersenyum puas dengan menu istimewa Hari Kekasih anda ini? Walau apapun hasilnya, jangan biarkan kekasih anda berasa dihargai pada Hari Kekasih sahaja.

Kalau boleh jadikanlah hari-hari anda bersama adalah istimewa walaupun dalam keadaan anda berbajet dan kesuntukan wang. Rasa cinta ditunjukkan bukan dengan harta benda tetapi dengan niat yang ikhlas dan suci.

Kalau anda sukakan resepi pasta masak lemak ini, jangan terhadkan peluang untuk anda nikmati hidangan pasta ala Asia ini pada hari istimewa seperti Hari Kekasih sahaja. Anda boleh hidangkan sajian ini pada bila-bila masa dengan mudah. Kalau beginilah hidangan anda sediakan setiap hari kepada orang tersayang, semakin sayanglah mereka kepada anda!

Akhir kata, kalau anda mencuba resepi pasta masak lemak ini atau hidangan pasta yang lain, jangan lupa untuk berkongsi gambar hidangan anda bersama Butterkicap dengan hashtag #butterkicap!

print
Ili Sulaiman
Ili Sulaiman

Bubbly and friendly, this Malaysian celebrity cook was the winner of the 2015’s Food Hero Asia competition on Asian Food Channel and has appeared on a few shows on television such as ‘Diari Mangkuk Tingkat’, which features some of her own delicious recipes.

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Something is wrong.
Instagram token error.
Load More