Resepi Kek Keju Beri Biru Untuk Dikongsi Bersama Keluarga

Kredit: Gerald Lee

Malaysia sememangnya negara yang cukup kaya dengan kepelbagaian makanan dan satu jenis makanan yang seringkali menjadi idaman semua, tak kira masa ialah pencuci mulut. Dan, ingin saya ingatkan ya, saya tak maksudkan sebarangan pencuci mulut ya. Pencuci mulut yang saya maksudkan kali ini ialah kek keju.

Pasti anda terfikir, kek keju makanan Malaysiakah? Semestinya, tak. Tapi, kita perlu terima hakikat bahawa kek ini telah menjadi sebahagian daripada seleksi pilihan pencuci mulut kegemaran rakyat Malaysia. Lagipun, siapa yang tak sukakan keju?

Sejarah Kek Keju

Bila bercakap tentang asal-usul kek keju, ramai yang menyangkakan bahawa kek keju dicipta di New York. Sedikit sebanyak maklumat yang anda terima itu betul tapi resepi kek keju pertama yang disediakan adalah di Yunani. Perkara lebih menarik ialah, kek keju merupakan makanan yang dihidangkan semasa acara sukan Olimpik pertama pada 776 S.M. Hebat, bukan?

Kek keju kemudiannya mula dijadikan sebagai makanan komersial di New York oleh imigran dari Itali. Tapi, bezanya ialah, keju yang digunakan ialah krim keju dan bukannya keju ricotta ataupun feta seperti dalam resepi kuno. Sebab itulah ada banyak variasi resepi kek keju menurut negara dan pilihan keju yang digunakan.

Dalam resepi saya ini, saya menggabungkan resepi klasik kek keju ala New York dan Philadelphia yang menggunakan telur kuning untuk memberikan tekstur yang lebih pekat serta krim masam atau tairu yang berikan rasa lebih berlemak.

Nak Hilangkan Jelak?

Saya tahu ramai peminat kek keju pasti akan berasa jelak apabila makan terlalu banyak kek keju. Memanglah kerana rasa keju yang agak berat boleh membuatkan tekak kembang bila makan terlalu banyak.

Oleh itu, saya memutuskan untuk meletakkan jem beri biru untuk menyeimbangkan rasa lemak keju dengan rasa masam-masam manis buah beri biru. Tambahan pula, buah beri biru ada banyak khasiatnya. Nak tahu apa kelebihan makan buah beri biru? Bolehlah baca di sini.

Tak sabar pula nak sediakannya!

Bahan-Bahan:

a) Kerak

  • 100g biskut digestive
  • 2 sudu besar gula
  • 55g mentega asin, dicairkan

b) Krim

  • 1kg krim keju, disimpan pada suhu bilik
  • 170g gula kastor 
  • 3 sudu besar kanji jagung
  • 2 sudu teh ekstrak vanila
  • 2 sudu teh parutan kulit lemon
  • 3 biji telur besar
  • 1 kuning telur
  • 360gm tairu, dibahagikan
  • 2 sudu teh jus lemon

c) Jem Biru

  • 2 cawan beri biru
  • 1/2 biji lemon, jus saja
  • 1/3 cawan air
  • 50g gula kastor
  • 1/2 cawan beri biru, untuk hiasan

Cara-Cara:

a) Kerak

  1. Panaskan ketuhar pada suhu 170 darjah Celsius.
  2. Untuk menyediakan kerak untuk kek ini, masukkan serbuk biskut, gula dan mentega cair dalam dulang 9 inci yang tak diminyakkan. Gaul rata dan ditekan secara sekata di dalam dulang.
  3. Bakar selama 10 minit dan sejukkan. Minyakkan sisi dulang dengan sedikit mentega cair.’

b) Jem Beri Biru

  1. Panaskan kuali kecil atas api sederhana tinggi. Masukkan beri biru, air, gula, jus lemon dan air.
  2. Biarkan semua bahan mendidih dan kecilkan api.
  3. Biarkan sos mereneh hingga memekat danmelitupi bahagian belakang sudu besi.

c) Krim Kek

  1. Untuk membakar krim kek, naikkan suhu ketuhar ke 200 darjah Celsius.
  2. Dalam suatu mangkuk, pukul krim keju hingga ringan dan gebu. Masukkan gula sedikit demi sedikit, dan kerap mengaup di bahagian sisi dan dasar mangkuk.
  3. Masukkan kanji jagung, vanila dan parutan lemon.
  4. Masukkan telur satu per satu, pada kelajuan lebih perlahan. Kaup setiap kali telur dipukul. Kemudian, masukkan telur kuning.
  5. Pada kelajuan yang rendah, pukul 180g tairu hingga sebati. Tuang krim kek ke atas kerak yang sudah disejukkan.
  6. Bakar kek keju selama 10 minit pada suhu 200 darjah Celsius dan kurangkan suhu ke 105 darjah Celsius selama 25 minit. Padamkan ketuhar dan biarkan kek keju di dalam selama satu jam. Buka pintu ketuhar selang 30 minit. Sementara kek keju sedang dibakar, sediakan lapisan tairu.
  7. Masukkan baki 180g tairu di dalam mangkuk besar dengan baki 2 sudu besar gula dan jus lemon. Sapukan di atas kek keju sebaik saja dikeluarkan dari ketuhar.
  8. Benarkan kek keju untuk sejuk sepenuhnya ke suhu bilik, kemudian dengan hati-hati, larikan spatula di keliling kek keju untuk mudahkan kek dikeluarkan.
  9. Masukkan kek keju di dalam peti sejuk dan biarkan ia menyejuk sekurangnya selama 5 jam.
  10. Sapukan sos beri biru di atas.
  11. Hias kek dengan beri biru segar. Kek keju ini dapat disimpan dalam peti sejuk sehingga 5 hari.

Tambah Beri Biru Baru Sedap!

Ada kalanya, kek keju yang terlalu berlemak boleh membuatkan anda rasa jelak. Oleh itu, dengan penambahan jem biru ini, anda memberikan kerumitan perisa yang membuatkan kek keju anda laku dalam kalangan keluarga dan sahabat handai yang sememangnya hantu keju!

Jangan lupa untuk kongsi dengan saya kek keju kegemaran anda dan jika anda ada permintaan pencuci mulut yang anda ingin saya dan Butterkicap kongsikan. Kalau ada permintaannya, jangan lupa untuk mengikuti Butterkicap dan saya di laman Instagram. Senang untuk kami penuhi permintaan anda itu!

print
Justine Lim
Justine Lim

With love for the freshest and natural ingredients, Justine Lim aspires to recreate heritage Malaysian recipes into modern, elegant-looking delicacies. Catch more of her delicious creations on her Instagram profile, @justinescakesnkueh

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Something is wrong.
Instagram token error.
Load More