Resepi Gulai Daging Kawah Untuk Dinikmati Aidiladha Ini

Kredit: Koldran Tol

Siapa yang tak seronok menantikan sambutan Hari Raya Aidiladha? Kemeriahannya mungkin tidak semeriah sambutan Hari Raya Aidilfitri tetapi kedatangannya cukup dialu-alukan.

Meskipun sambutan Hari Raya Aidiladha sudah berlalu, tetapi daging-daging korban masih tak tercuit lagi pun (jika anda terima atau buat korbanlah). Jadi, sebelum kesibukan anda kembali kerja membuatkan anda terlupa tentang daging korban yang disimpan rapi dalam peti beku anda, apa kata anda rancang hujung minggu anda untuk sediakan sajian gulai kawah sebagai santapan keluarga?

Keenakan Gulai Kawah

Gulai kawah merupakan satu sajian yang cukup popular di negeri-negeri di sebelah Utara tanah air sebagai hidangan kenduri wajib. Keistimewaan hidangan ini adalah melalui cara masakannya. Hirisan daging ditumis dan direneh dalam pes rempah yang disediakan untuk menjadikan daging lebih empuk dan berperisa hingga kuah yang terhasil begitu lemak sekali.

Perkara yang lebih menarik lagi ialah sajian gulai kawah mempunyai sedikit rasa salai kerana kawah atau kuali besar yang digunakan telah ‘diperasa’ atau season, bak kata orang putih, hingga memberikan rasa salai tersebut pada gulai daging yang dibiar mereneh lama. Terliur pula tiba-tiba!

Namun begitu, saya tidak menasihatkan anda untuk kerap makan sajian gulai kawah ini disebabkan kelemakannya. Kalau anda merasakan anda dapat mengawal diri anda daripada makan berlebihan, silakan. Jika anda tidak pernah merasai gulai kawah sebelum ini, inilah masa untuk anda cuba dan alami sendiri keunikan rasa sajian gulai kawah.

Variasi Mana Pilihan Hati?

Memang terdapat banyak variasi gulai kawah yang anda boleh cuba. Lazimnya, variasi ini adalah disebabkan penggunaan bahan-bahan masakan yang berbeza. Dengan cara itulah, anda dapat membezakan variasi gulai kawah bagi setiap negeri menerusi bahan-bahan yang digunakan. Sebagai contoh, di negeri Kedah, gulai kawah seringkali dimasak sekali bersama batang pisang.

Walau apapun variasi resepi yang anda nak cuba, pasti anda tertanya-tanya bagaimana anda nak sediakan sajian gulai kawah tetapi anda tidak miliki kuali kawah ataupun mempunyai ruang di dapur anda untuk masak sajian ini secara tradisional?

Jangan risau! Resepi yang saya nak kongsikan langsung tak memerlukan anda masak dalam kawah mahupun menggunakan bara api. Resepi ini lebih praktikal untuk anda dan pada masa yang sama, memberikan hasil yang sama seperti anda harapkan. Sebagai seorang anak Utara, resepi pilihan yang ingin saya kongsikan ialah resepi gulai kawah daging batang pisang sebagai tanda pengubat hati kerinduan saya terhadap kampung halaman.

Bahan-Bahan:

  • 250g daging, dipotong menjadi ketulan kecil dan tidak dibuang lemak.
  • 250g empulur batang pisang awak- dipotong 1 inci panjang, dibuang tali dan direndam
  • 1/2 cawan santan pekat
  • 1 1/2 cawan air
  • 1/2 sudu besar kerisik
  • 1/2 paket kecil rempah kari daging
  • 1 tangkai daun kari

Bahan Tumbuk:

  • 1 inci halia
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 biji bawang besar

Cara-Cara:

  1. Panaskan 2 sudu besar minyak dalam periuk atas api sederhana besar. Apabila minyak sudah naik wap, masukkan bahan tumbuk dan tumis selama 3-5 minit hingga wangi.
  2. Masukkan daun kari dan rempah kari yang sudah dicampurkan dengan 2 sudu besar santan hingga menjadi pes. Tumis selama 10 minit hingga pecah minyak.
  3. Masukkan daging, gaul rata dan masak selama 15 minit hingga daging keluarkan air.
  4. Masukkan santan, air, batang pisang dan kerisik. Gaul rata dan biarkan masak selama 10-15 minit hingga daging empuk.
  5. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Kacau rata.
  6. Biarkan gulai mereneh selama 10 minit lagi sebelum padamkan api.

Enak Dimakan Nasi Panas!

Tengok? Sekejap saja sudah siap! Saya cadangkan anda nikmati sajian gulai kawah ini dengan nasi panas dan ulam-ulaman segar berserta sambal belacan. Kalau nak lebih ‘kick’ lagi, nikmati gulai ini begitu sahaja dengan nasi. Barulah terserlah keenakan gulai kawah itu. Ringkas dan cukup menyelerakan!

Jangan lupa untuk berkongsi gambar hasil masakan anda bersama kami dengan meletakkan hashtag #butterkicap. Jika anda mempunyai apa-apa persoalan atau pertanyaan ataupun nak berkongsi resepi anda, bolehlah hubungi kami di mana-mana platform media sosial kami baik di Instagram, Facebook ataupun Twitter.

Selamat memasak!

print
Azrene Jasmine

A true blue Penangite, Azrene Jasmine favourite thing to do is, well, eating. Though currently in a love/hate relationship with the weighing scale, she truly believes that every woman should choose a hunk of juicy steak over a bowl of salad on the first date because steaks are awesome and what man can resist a woman with a healthy appetite?

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.