Resepi Ayam Masak Merah Nyonya Memukau Jiwa

Kredit: Gerald Lee

Ayam masak merah dan rakyat Malaysia memang berpisah tiada. Kalau kita mahu sediakan suatu yang istimewa tetapi tidak begitu merenyahkan dan mengambil masa yang lama untuk disediakan, semestinya, ayam masak merahlah yang menjadi pilihan hati.

Apabila kita melihat dari segi asal-usul ciptaan sajian ini, mungkin kita tidak akan dapat memberi jawapan yang tepat ataupun sama. Ada yang mengatakan bahawa ayam masak merah ialah masakan Melayu. Ada juga yang mengatakan bahawa masakan ayam masak merah ini wujud akibat pertembungan budaya masyarakat Jawi Peranakan di Pulau Pinang dan ada juga yang mengatakan bahawa ayam masak merah ialah masakan nyonya.

Walau apapun asal-usul sajian ini, apa yang pasti kita semua cukup menyukai sajian ayam ini tambah-tambah lagi jika dihidangkan sewaktu kenduri-kendara mahupun jamuan.

Ayam Masak Merah Nyonya: Satu Variasi atau Tidak?

Saya tahu terdapat pelbagai variasi resepi masakan ayam masak merah yang boleh didapati di luar sana dan salah satunya ialah resepi ayam masak merah ala nyonya. Dari kecil lagi, saya sentiasa melihat mak menyediakan ayam masak merah sebagai lauk sampingan nasi lemak. Oleh itu, untuk beberapa tahun, saya menganggap bahawa masakan ini merupakan lauk sarapan dan bukannya lauk istimewa kenduri-kendara bagi masyarakat Melayu.

Kalau nak dilihat pada perbezaan resepi ayam masak merah mak dan juga ayam masak merah Melayu, apa yang saya boleh katakan ialah resepi ayam masak merah mak lebih masam manis berbanding ayam masak merah Melayu yang agak pedas dan agak berlemak. Mungkin, semua variasi resepi yang ada di luar sana bukanlah berbeza dari segi bahan digunakan tetapi dari segi perisa dan kadar kepedasannya. Apapun, ini cuma pendapat saya sendiri. Kalau anda, bersetuju atau ada pendapat lain, kongsilah dengan saya ya.

Tetapi sebelum itu, apa kata anda cuba dulu resepi ayam masak merah versi saya ini dan barulah anda membuat keputusan.

Bahan-Bahan:

a) Bahan kisar

  • 10 tangkai cili kering
  • 2cm halia, dikupas kulit
  • 4 ulas bawang putih
  • 2 biji bawang merah
  • 2 biji tomato, dihiris

b) Bahan lain

  • Seekor ayam, dipotong 14 dan dicuci
  • 3 sudu besar serbuk kunyit
  • 2 sudu teh garam
  • 2 sudu besar air asam jawa, campurkan 1 sudu besar pes asam jawa dengan 2 sudu besar air suam)
  • 2 sudu besar gula melaka, diparut
  • Gula dan garam secukup rasa
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 3 sudu besar pes tomato
  • 1 tangkai daun kari
  • 2 biji bawang besar, dihiris
  • 1 ulas bawang putih, dicincang
  • 4 sudu besar minyak gorengan ayam

c) Hiasan

  • 2 biji bawang besar, dihiris

Cara-Cara:

  1. a) Ayam
  1. Cuci dan bersihkan ketulan ayam. Masukkan ayam dalam besen besar.
  2. Masukkan serbuk kunyit dan 2 sudu besar garam. Gaul hingga setiap ketulan ayam dilumur perapan ini.
  3. Masukkan 1 cawan minyak di dalam kuali dan panaskan atas api sederhana besar. Apabila sudah cukup panas, goreng ayam selama 15 minit atau hingga ayam masak.
  4. Ketepikan. Jangan lupa untuk toskan ayam agar tidak begitu berminyak.

b) Kuah

  1. Kisar semua bahan rempah.
  2. Dalam kuali lain, masukkan 4 sudu besar minyak gorengan ayam dan panaskan atas api sederhana besar.
  3. Tumis daun kari dan bawang selama 1 minit.
  4. Masukkan bawang putih cincang.
  5. Masukkan rempah yang dikisar dan tumis hingga pecah minyak. Untuk ketahui sama ada kuah sudah pecah minyak, terdapat lopakan-lopakan minyak kemerahan di permukaan.
  6. Masukkan sos tiram, gula melaka, garam dan lada hitam.
  7. Masukkan pes tomato.
  8. Masukkan air asam jawa.
  9. Masukkan 3 sudu besar air dan biar kuah mereneh selama 1 minit.
  10. Masukkan potongan tomato dan ayam goreng. Kacau rata dan biar kuah mereneh selama 5 minit atas api sederhana kecil. Tutupkan kuali untuk mempercepatkan proses renehan.
  11. Masukkan hirisan bawang dan kacau rata. Padamkan api.

Lauk Ayam Diminati Semua Lapisan Umur

Resepi ayam masak merah ini tidak begitu pedas. Jadi, memang sesuai untuk dinikmati oleh keluarga yang mempunyai orang tua dan kanak-kanak kecil di rumah. Jika anda nak hasil masakan anda sedikit pedas, anda boleh tambahkan sukatan cili kering yang digunakan ataupun, masukkan cili merah dalam bahan kisar nanti.

Kalau anda nak berkongsi resepi nostalgia anda, anda boleh mesej saya di profil media sosial Butterkicap, baik di Instagram ataupun Facebook. Untuk mencuba hasil air tangan saya, anda boleh kunjungi profil Instagram saya dan buat tempahan. Mana tahu, saya boleh buat anda jatuh cinta dengan masakan Nyonya nanti. Apapun, selamat memasak dan moga resepi ini menceriakan hari anda dan keluarga!

print
Justine Lim

With love for the freshest and natural ingredients, Justine Lim aspires to recreate heritage Malaysian recipes into modern, elegant-looking delicacies. Catch more of her delicious creations on her Instagram profile, @justinescakesnkueh

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.