Pek Nga Tradisi Pulau Mutiara Mudah & Enak

Pek Nga atau lempeng pisang merupakan sajian sarapan kegemaran saya. Sejak kecil, saya masih ingat lagi bagaimana saya dan adik-beradik saya yang lain akan berebut-rebut bangun untuk berada di meja makan dulu setiap kali ibu sediakan pek nga.

Meskipun ringkas, tetapi rasa pek nga ibu memang cukup berperisa. Tekstur pek nga yang nipis dan gebu, dengan haruman pisang dan kelapa semerbak di dalam mulut bagai satu nikmat yang saya tak dapat ungkapkan. Apa yang pasti, meja makan tidak riuh seperti selalu kerana masing-masing melayan keenakan pek nga ini.

Pek Nga dalam Sejarah

Bagi yang tak pernah dengar nama ‘Pek Nga’ ini, pasti anda tertanya-tanya dari mana datangnya nama ‘Pek Nga’ ini. Sejujurnya, saya pun tidak mempunyai pengetahuan mendalam tentang sajian kampung ini tetapi apa yang saya boleh kongsi dengan anda ialah Pek Nga berasal dari negeri Kedah. Pek Nga popular sebagai pengalas perut dalam kalangan petani dan nelayan di sana semasa kerja.

Meskipun ringkas dan ‘kosong’, Pek Nga memang cukup mengenyangkan, tambah-tambah lagi kalau dicicah bersama sambal ikan bilis. Memang padu!

Bahan-Bahan :

  • 6 biji pisang berangan, masak ranum
  • 10 sudu besar gula perang
  • 1/4 cawan kelapa parut putih, gaul dengan sedikit garam untuk menaikkan lagi rasa lemak kelapa
  • 1/2 sudu teh garam
  • 3/4 cawan tepung gandum
  • Sedikit air, jika perlu
  • Daun pisang
  • Sedikit minyak masak untuk disapu atas daun pisang

Cara-Cara:

  1. Lecek pisang tadi hingga lumat. Masukkan garam, dan gula kemudian  gaul hingga sebati.
  2. Kemudian, masukkan tepung dan gaul sebati. Jika adunan terlalu pekat, masukkan 1/4 cawan air sedikit demi sedikit agar konsistensi yang anda mahu dicapai.
  3. Letakkan sesenduk kecil adunan tadi di atas daun pisang yang telah dilsapu sedikit minyak. Ratakan adunan dan tabur sesudu kelapa parut di atas.
  4. Panaskan kuali tidak melekat (non-stick pan) atas api sederhana besar dan letakkan daun pisang yang diletakkan adunan tadi dan panggang sambil balik-balikkan pek nga hingga menjadi perang keemasan.
  5. Boleh dihidang bersama kelapa parut.

Pek Nga Makanan Warisan Negeri di Utara

Saya berharap perkongsian saya ini sedikit sebanyak dapat membawa anda lebih dekat lagi dengan masakan-masakan kampung negeri-negeri di Utara agar kita sama-sama dapat menghargai keunikan rasa walaupun dalam hidangan seringkas ini.

Jika anda menyukai resepi ini dan ingin belajar atau cuba resepi-resepi klasik Utara yang lain, anda boleh sampaikan permintaan anda di laman Instagram atau Facebook Butterkicap. InshaAllah, saya dapat buat perkongsian resepi lain bersama anda.

Jika anda berada di kawasan Pulau Pinang, anda bolehlah ke restoran saya, Locs and Thyme Cafe, untuk mencuba sendiri juadah klasik Utara yang semakin sukar untuk ditemui ataupun sekadar untuk berbual. Apapun, selamat mencuba dan jaga diri!

print
Aunty Zaa
Aunty Zaa

Just a mother who loves to spoil her two daughters and 'anak bulu' with food made with love

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Access Token is invalid, please get it again