Nasi Goreng Nyonya Pasti Memikat Hati Ibu Mertua

Kredit: Gerard Lee

Nasi Goreng Nyonya merupakan sajian kegemaran saya dari kecil. Kalau mak saya sediakan nasi goreng ini sebagai sarapan, sayalah orang pertama yang akan turun dan duduk di meja makan. Mana tidaknya? Bau belacan yang tajam sudah cukup untuk mengejutkan lena sesiapapun, apatah lagi kalau digoreng sekali dengan petai. Wah, memang bertambah-tambah selera!

Dalam banyak-banyak masakan Nyonya, masakan nasi goreng inilah, bagi pendapat saya, yang paling menyenangkan hati, baik si tukang masak mahupun orang yang makan. Oleh itu, setiap kali rakan-rakan saya yang baru berkahwin dan ingin sediakan juadah santapan keluarga mertua buat kali pertama, saya akan syorkan mereka untuk sediakan nasi goreng ini. Anda pasti terfikir, ‘kenapa sajian nasi goreng Nyonya ini yang disyorkan?’ Jawapannya mudah saja. Gabungan perisa klasik nasi goreng ini ‘kena’ dengan selera orang tua-tua. Kesegalaran hirisan ulam-ulaman dan sayur-sayuran yang digunakan menyeimbangkan rasa belacan yang kuat serta memberi kepedasan yang mencukupi untuk membuatkan ibu mertua segarang Nyonya Mansor pun mengangguk-angguk tanda setuju.

Kalaulah Kassim Selamat belajar resepi nasi goreng ini, Nyonya Mansor pasti takkan begitu menentang perkahwinannya dengan Sabariah, walaupun dia sekadar seorang ahli muzik, betul tak? Kalau anda pun sedang mencari resepi mudah dan enak untuk memujuk seseorang, tak perlu cari jauh-jauh, resepi Nasi Goreng Nyonya ini sedia membantu anda!

Bahan-Bahan:

a) Nasi Goreng

  • 3/4 cawan udang kering, direndam dalam air mendidih, ditapis, dikisar kasar
  • 160g udang, dibuang kulit, dibuang urat dan dipotong menjadi ketulan kecil
  • 1 cawan beras, dicuci, ditanak dan disimpan dalam peti sejuk semalaman
  • 2 sudu besar kicap cair
  • 1 sudu teh garam
  • sudu teh gula
  • 2 biji telur, dipukul
  • lada sulah

b) Kerabu

  • 1 biji timun saiz sederhana, dibelah 4, dibuang biji, dihiris serong dengan ketebalan 2-3 mm
  • 1 biji mangga muda saiz kecil, dikupas kulit dan diparut halus
  • 1 biji lobak merah, dibuang kulit dan diparut halus
  • 1 biji bawang merah, dihiris
  • 1/2 cili merah segar, dibuang kulit dan dicincang
  • 1 sudu besar gula
  • 1 sudu teh garam atau sos ikan
  • 1 sudu teh udang kering, dicincang dan digoreng
  • 1 sudu teh kacang goreng tumbuk
  • 2 sudu besar jus limau
  • 1 sudu teh cuka

c) Rempah

  • 8 tangkai cili kering, dibuang biji, direndam dalam air mendidih hingga lembut. Tapi dan hiris
  • 3 ulas bawang putih, dikupas kulit dan dihiris
  • 4-5 biji bawang merah saiz kecil atau 1 biji bawang Sepanyol, dikupas kulit dan dihiris
  • 1/3 can minyak sayuran

Cara-Cara:

  1. Untuk menyediakan rempah, kisar semua bahan rempah hingga menjadi kes kasar.
  2. Panaskan minyak dalam kuali atas api sederhana besar. Masukkan pes rempah dan tumis selama 7-10 minit hingga wangi dan garing. Anda akan tahu pes ini sudah siap dimasak apabila kepulan asap kecil naik dari kuali dan warna pes rempah menjadi lebih gelap. Masukkan udang kering ditumbuk dan goreng selama seminit atau hingga wangi dan sedikt garing.
  3. Masukkan udang dan goreng hingga cukup masak. Masukkan nasi, kicap, lada sulah dan gula. Goreng nasi hingga nasi menjadi sebiji-sebiji dan lembut. Hasilkan kawah di tengah-tengah dan masukkan 2 biji telur. Biar teluar masak sebentar agak dasar telur masak. Gunakan sudip dan terbalikkan telur. Kemudian, hancurkan telur untuk pastikan telur masak..
  4. Cedok nasi dan hias dengan hirisan timun dan kerabu mangga. Anda boleh goreng keropok lekor juga. Jika anda mahu nasi goreng anda lebih pedas, anda boleh menikmati nasi goreng ini dengan sambal belacan.

Ibu Mertua Segarang Nyonya Mansor Pun Cair!

Memang betul kata orang, nak memikat hati, kenalah melalui perut. Baik suami mahupun mak mertua segarang Nyonya Mansor, sesiapapun boleh cair kalau anda sediakan hidangan Nasi Goreng Nyonya ini. Saya yakin, tiada resepi semudah dan seenak ini untuk anda hidangkan buat kali pertama kepada ibu mertua anda.

Jangan lupa untuk kongsi dengan saya masakan Nyonya kegemaran anda dan jika anda ada permintaan masakan yang anda ingin saya dan Butterkicap kongsikan.Kalau ada permintaannya, jangan lupa untuk mengikuti Butterkicap dan saya di laman Instagram. Senang untuk kami penuhi permintaan anda itu!

print
Justine Lim

With love for the freshest and natural ingredients, Justine Lim aspires to recreate heritage Malaysian recipes into modern, elegant-looking delicacies. Catch more of her delicious creations on her Instagram profile, @justinescakesnkueh

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.