Kuih Bulan Shanghai: Resepi Tradisi Dilupakan

Kredit: Gerald Lee

Kuih Bulan Shanghai? Adakah kuih bulan macam itu? Tak nampak macam yang dijual di luar?

Bagi individu bukan masyarakat Cina pasti tidak mengetahui bahawa kuih bulan yang dijual secara komersial di luar sana merupakan salah satu variasi kuih bulan yang ada dalam masyarakat Cina. Mungkin ini sesuatu yang sudah diketahui oleh anda tetapi jika anda tidak mengetahuinya, anda boleh merujuk maklumat lebih lanjut lagi tentang jenis-jenis kuih bulan di sini.

Kuih bulan merupakan manisan yang sering kali disediakan dan dihidang sewaktu masyarakat Cina menyambut perayaan Musim Luruh tetapi simbol dan makna di sebalik penyediaan kuih bulan tersebut adalah bersifat peribadi dan berorientasikan keluarga. Oleh itu, tidak menghairankanlah wilayah-wilayah berbeza di China mempunyai cara mereka tersendiri untuk menyediakan kuih bulan.

Kuih Bulan Shanghai yang Disisihkan

Kuih bulan Shanghai mempunyai rupa yang lebih ringkas dan tidak begitu menarik seperti kuih bulan Kantonis iaitu kuih bulan yang dijual secara komersial di Malaysia. Lazimnya, kuih bulan Shanghai mempunyai kulit pastri yang berkelopak seakan-akan kulit pastri Perancis dan berintikan pes manis seperti bunga teratai atau kacang merah. Keunikan kuih bulan Shanghai ini ialah kuih ini merupakan lambang kesatuan kekeluargaan yang ditunjukkan melalui lapisan kulit dan inti di dalam. Dalam erti kata lain, peranan atau sumbangan setiap ahli keluarga untuk menjaga keharmonian keluarga. Itulah keindahan makna di sebalik kuih bulan Shanghai yang ringkas ini. Memang unik, kan?

Jika anda mempunyai masa terluang dan ingin mencuba sendiri menyediakan kuih bulan Shanghai ini, anda boleh mencuba resepi keluarga saya yang mudah.

Bahan-Bahan:

  • 350g tepung kek atau tepung ros
  • 60g serbuk susu
  • 1 sudu teh garam
  • 160g mentega, pada suhu bilik
  • 100g marjerin
  • 70g gula aising
  • 2 biji telur, dipukul
  • 360g pes teratai, bahagi pada 12 bahagian, 80g setiap satu. Anda boleh membeli pes ini di kedai bahan kek. Anda boleh gantikan pes ini dengan pes lain.
  • 12 biji telur kuning asin, ditapis, diasingkan dan dikukus
  • Kuaci
  • Sapuan telur, 2 telur kuning dan 1 suduh besar susu

Cara-Cara:

  1. Asingkan telur kuning, bilas dan tapis. Kukus telur kuning selama 5 minit.
  2. Panggang kuaci pada suhu rendah selama 5 minit.
  3. Pukul telur kuning dan tapis.
  4. Dalam sebuah mangkuk, masukkan tepung, serbuk susu dan garam.
  5. Masukkan mentega, marjerin dan gula aising. Pukul menggunakan kelajuan sederhana sehingga ringan dan gebu.
  6. Tambah telur sikit demi sikit, pukul sehingga sebati.
  7. Masukkan adunan tepung dalam 3 bahagian dan kacau rata.
  8. Balut doh kulit kuih bulan dengan plastik. Simpan dalam peti sejuk selama 60 minit.
  9. Masukkan kuaci ke dalam pes teratai, selaputi telur kuning dengan pes, dan betukkan menjadi bebola.
  10. Balut pes dengan doh kulit kuih bulan dan bentukkan menjadi bebola.
  11. Bakar dalam ketuhar yang dipanaskan pada 175°C selama 25 minit. Keluarkan dari ketuhar. Tunggu kuih sejuk dan sapu telur di atas kuih.
  12. Bakar sekali lagi pada suhu 175°C selama 15 minit, sehinggan perang keemasan.
  13. Tunggu kuih sejuk dulu sebelum menghidang. Anda boleh simpan kuih ini di dalam peti sejuk selama 2 minggu dan dipanaskan semula dalam ketuhar selama 8 minit pada suhu 175°C sebelum menghidang. 

Langsungkan Tradisi yang Dilupakan

Tak kenal maka tak cinta. Itulah pandangan saya terhadap kuih bulan Shanghai ini. Walaupun saya sendiri berketurunan Cina, saya merasakan sangat rugi kerana tidak berpeluang untuk belajar tentang pelbagai variasi kuih bulan, khususnya versi Shangai ini lebih awal lagi. Apabila saya mendapat tahu bahawa tidak ramai menyediakan kuih bulan ini lagi, saya terus memasang niat untuk berkongsi resepi ini bersama anda agar kita sama-sama dapat langsungkan penyediaan kuih tradisi ini, tanpa mengira bangsa dan agama.

Tambahan pula, dalam keadaan yang tidak menentu ini, perkara sekecil-kecil kuih bulan ini yang membawa makna perpaduan ini sesuai untuk dijadikan sebagai simbol harapan dan solidariti kita agar sama-sama dapat mengharungi saat-saat sukar bersama.

Saya berharap perkongsian kali ini cukup bermanfaat kepada anda dalam mengenali dengan lebih mendalam lagi tentang perayaan kuih bulan. Jangan lupa untuk meletakkan hashtag #butterkicap dan tag saya di @justinescakesandkueh

print
Justine Lim

With love for the freshest and natural ingredients, Justine Lim aspires to recreate heritage Malaysian recipes into modern, elegant-looking delicacies. Catch more of her delicious creations on her Instagram profile, @justinescakesnkueh

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.