15 Variasi Cucur sebagai Kudapan Tika Lapar

Cucur merupakan snek yang cukup versatil. Senang nak dibuat, cucur ialah snek yang tak memerlukan bahan yang banyak untuk disediakan. Sebaliknya, lebih ringkas bahan yang digunakan, lebih enak cucur yang dihasilkan.

Di Malaysia, terdapat musim makan cucur sebenarnya. Kalau anda perasan, kedai atau gerai yang menjual cucur seringkali habis semasa musim cuti sekolah ataupun menjelangnya bulan Ramadan.

Keadaan ini memang sesuatu yang cukup memelikkan. Hal ini demikian kerana cucur bukannya suatu masakan yang rumit. Malangnya, ramai yang tak dapat menyediakannya dengan betul sebenarnya.

Petua Menyediakan Cucur Gebu dan Enak

Daripada anda terpaksa berebut-rebut cucur di gerai kegemaran anda, lebih baik anda sediakan cucur sendiri di rumah. Lebih murah, bersih dan enak.

Untuk pastikan cucur anda menjadi setiap kali anda menyediakannya, saya akan berkongsi beberapa petua mudah yang dapat menjamin hasil cucur yang lembut, gebu dan paling penting sekali, masak!

Tip #1 – Guna Tepung Beras

Lazimnya, kita menyediakan cucur menggunakan tepung gandum kerana hasilnya lebih lembut. Tapi kalau anda mahu kulit luar cucur anda lebih rangup, campurkan 1 cawan tepung beras untuk dua cawan tepung gandum.

Tip #2 – Serbuk Penaik untuk Cucur Gebu

Nak cucur yang lebih gebu dan ringan? Tambah sedikit, kira-kira 1/2 sudu teh serbuk penaik ke dalam adunan cucur.

Tip #3 – Penambah Rasa

Kalau mahu cucur anda lebih berperisa dan tak begitu kosong, masukkan sedikit serbuk stok ayam atau sayuran untuk rasa yang lebih lemak.

Dengan tiga tip mudah ini, saya pasti cucur anda akan menjadi lebih enak selepas ini. Sekarang, kita dah tahu tip, masa untuk tengok resepi pula!

Cucur Manis

Kredit: Hijab and Heels

Sebelum nak buat apa-apapun, kita kenalah mula dari bawah, betul? Begitu juga, untuk mahirkan diri anda dalam seni memasak cucur, anda perlu menguasai kemahiran menyediakan cucur manis. Ya. Inilah tahap satu dalam dunia masakan cucur. Kenapa anda perlu kuasai resepi cucur manis dulu? Agar anda dapat belajar tentang konsistensi, tekstur dan rasa cucur yang asas sebelum menambah bahan lain.

Resepi cucur manis yang tak pernah gagalkan saya ialah resepi yang dikongsi dalam blog norazlita aziz.

Cucur Jagung

Kredit: MamaMia Kitchen

Sudah kuasai resepi cucur manis? Sekarang tiba masa untuk belajar menyediakan cucur jagung pula. Untuk menyediakan cucur jagung yang enak, anda perlu memilih jagung yang manis. Kalau tak, memang tak berselera anda nak makan. Betul tak?

Resepi cucur jagung kegemaran saya ialah resepi yang dikongsi dalam Menu Dapo Zati. Memang mantap!

Cucur Udang

Bagi saya, cucur udang yang betul-betul enak boleh disimpan dan dibuat pasembur juga. Kenapa, anda tanya? Cucur udang, kalau disimpan, selalunya akan menjadi keras dan sedikit berpasir. Itu dah cukup untuk mematikan selera sesiapapun. Oleh itu, saya hanya berpegang pada satu resepi sahaja iaitu resepi cucur udang versi Butterkicap sendiri.

Resepi cucur udang ini begitu sempurna hinggakan cucur yang tak habis dimakan boleh dipanas dan dihidangkan sebagai pasembur atau dicampur dalam mee mamak. Paling penting sekali, rasanya tak seperti cucur lama!

Cucur Ikan Bilis

Kredit: Cornestible Beautitude

Nak tahu waktu yang sesuai untuk menikmati cucur ikan bilis? Pada waktu petang, apabila cuaca sedikit mendung dan angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Pekena dengan secawan teh panas, wah, memang rasa segar-bugar mata.

Resepi cucur ikan bilis yang saya akan kongsi di sini adalah resepi Butterkicap sendiri. Resepi ini, semenjak dihasilkan, tak pernah mengecewakan saya. Apa kata anda sendiri mencubanya.

Cucur Sayur

Kredit: Syima Yusof

Resepi cucur seterusnya yang akan dikongsi di sini ialah resepi cucur sayur. Tip untuk sediakan cucur sayur yang enak ialah sayur yang anda gunakan. Kalau boleh gunakan sayur yang akan menjadi rangup selepas digoreng. Tekstur sayur yang rangup menjadikan pengalaman menikmati cucur sayur lebih menyeronokkan.

Resepi cucur sayur kegemaran saya ialah resepi yang dikongsi oleh Qasey Honey. Mudah dan cepat!

Jemput-Jemput Pisang

Kredit: miss-crumbs-a-lot.com

Inilah cucur kegemaran saya semasa kecil. Saya pasti anda juga berasa begitu. Sementara kita sama-sama berada di sini, saya ada satu soalan nak tanya anda. Adakah anda anggap cekodok atau jemput pisang sebagai kuih ataupun cucur? Walau apapun jawapan anda, jangan lupa untuk kongsi bersama saya. Saya nak hilangkan kekeliruan saya ini!

Sementara anda fikir nak jawab apa, resepi cekodok ini mungkin akan membantu anda membuat keputusan yang betul.

Cucur Badak

Kredit: Diari Zaliedana

Penggemar cucur savouri pasti cukup menggemari cucur badak. Rasa kelapa parut yang pedas-pedas manis memang cukup memikat jiwa.

Bagi saya, cucur badak yang sempurna mestilah mempunyai kulit yang nipis dan rangup manakala inti di dalam cukup banyak serta sedikit kenyal semasa dikunyah. Wah, lapar pula perut ini tiba-tiba! Kalau anda sukakan cara cucur badak yang sama seperti saya, anda boleh cuba resepi yang dikongsi di blog hanizahomerecipes.

Cucur Ayam

Budak-budak memang sukakan makanan segera bergoreng seperti nuget dan kentang goreng. Tapi, makan makanan bergoreng segera seperti ini secara kerap tidak bagus untuk tumbesaran anak-anak. Oleh itu, cuba sediakan cucur ayam atau nuget buatan sendiri ini dan lihat perbezaan rasa dan teksturnya.

Resepi cucur ayam terbaik saya pernah cuba saya sudahpun kongsikan dalam perkongsian Butterkicap sebelum ini.

Cucur Bawang

Kredit: veganbell.com

Antara variasi cucur yang paling enak dan juga paling ringkas ialah cucur bawang. Rasa bawang yang manis menjadikan cucur ini cukup enak dimakan, tambah-tambah lagi apabila masih panas. Untuk resepi cucur bawang yang enak, anda boleh cuba resepi yang dikongsi dalam blog Dapur tanpa Sempadan.

Cucur Labu

Kredit: World Umami Recipes

Siapa di sini yang tak pernah cuba cucur labu, boleh tinggalkan komen nanti. Selama saya hidup, saya tak pernah cuba cucur labu ini dan apabila saya pertama kali cubanya, rasa menyesal yang datang menerpa ketika itu saya tak dapat halang daripada menyelubungi diri.

Bagaimana cucur yang begitu lemak manis begini saya tak pernah cuba sebelum ini? Untuk elakkan anda jadi seperti saya, saya kongsikan resepi cucur labu yang saya mula-mula cuba dulu. Resepi ini dikongsi dalam blog Secuit Rasa.

Cucur Cili Kucai

Kredit: Rasa

Cucur cili kucai ini merupakan cucur yang saya hanya akan sediakan apabila saya dah kehabisan barang dapur tapi malas nak keluar beli makanan. Kenyang tak makan? Memang kenyang dan boleh buat anda ketagih, tambah-tambah lagi kalau anda letak hirisan cili yang banyak. Memang sesuai dibuat sebagai snek semasa tengok drama kegemaran anda.

Resepi cucur cili kucai yang saya suka ialah resepi yang dikongsi oleh laman masakan Rasa. Memang terbaik!

Cucur Maggi

Kredit: Qasey Honey

Bagi geng bujang dan dara di luar sana, saya cadangkan simpan resepi cucur maggi ini. Pada mulanya, saya memang rasa agak was-was nak cuba jadikan maggi menjadi cucur tapi nasib baiklah saya beranikan diri juga. Rasanya memang unik dan menarik. Untuk rasa cucur yang lebih enak, gunakan maggi perisa kari. Memang puas makan!

Resepi cucur maggi terbaik yang saya cuba setakat ini ialah resepi yang dikongsi oleh Qasey Honey.

Pak Tongko

Kredit: Ilham Dapur

Pak Tongko, Cakoi, Youtiou. Apapun nama anda gelar cucur ini, apa yang pasti kita setuju bahawa cucur ini memang sedap. Ramai orang berasa keliru untuk panggil cakoi sebagai kuih ataupun cucur kerana bentuknya yang panjang-panjang. Itu bukan satu masalah besar pun, ikutlah pandangan masing-masing..

Apa yang patut kita bincangkan sekarang ialah resepi untuk sediakan cakoi yang enak. Nasib anda baik sebab saya ada satu resepi yang akan buat anda tak cari lain. Resepi cakoi yang dikongsi dalam blog Buat Orang Lapo ini memang terbaik!

Pakora

Kredit: thismuslimgirlbakes.blogspot.my

Saya memang kaki tengok cerita Bollywood. Saya tak tengok cerita Bollywood untuk melihat mereka menari-nari keliling pokok tapi untuk makanannya, khususnya pakora atau cucur yang digoreng panas-panas.

Pakora berbeza daripada cucur kerana teksturnya yang lebih padat dan kenyal. Saya tak begitu sukakan pakora yang tradisional kerana agak membosankan kerana tak begitu rangup. Cara untuk jadikan pakora lebih enak adalah dengan menggunakan adunan yang lebih nipis dan lebih banyak bahan di dalam.

Untuk resepi pakora yang enak, anda boleh cuba resepi yang dikongsi dalam blog mamawandiha.

Cucur Lobak

Resepi cucur seterusnya ialah cucur lobak merah atau karot. Kalau anda sedang cuba mencari jalan untuk buat anak anda makan lebih banyak sayur, cucur ini merupakan cara yang terbaik untuk buat anak anda mula jatuh cinta dengan sayur.

Resepi cucur karot yang enak dan rangup dikongsi dalam blog, The Writer’s Cooking.

Apa Lagi Variasi Cucur yang Ada?

Itu sahaja perkongsian cucur saya. Kalau ada yang tertinggal, jangan segan untuk beritahu saya. Kalau anda ada resepi cucur anda sendiri dan anda nak kongsi dengan Butterkicap, bolehlah hubungi kami terus di laman Instagram dan Facebook kami. Jika anda ada perkongsian lain yang anda ingin beri, maklumkan kami. Mudah saja!

print
Azrene Jasmine
Azrene Jasmine

Azrene Jasmine is a Penangite with a stomach of gold. Though currently she is in a love/hate relationship with the weighing scale, Azrene truly believes that every woman should choose a hunk of juicy steak over a bowl of salad on the first date because steaks are awesome and what man can resist a woman with a healthy appetite?

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Access Token is invalid, please get it again