Resepi Puri: Roti Goreng Ringkas yang Pasti Enak!

puri
Sedapnya puri – anda perlu cuba membuatnya!

Rakyat Malaysia memang suka makanan goreng. Dari ayam goreng ke ikan goreng, sotong goreng, telur goreng dan segala macam makanan yang bergoreng lagi, selagi makanan tersebut sedap dimakan selepas digoreng, kita akan masukannya ke dalam kuali. Roti goreng bukanlah sesuatu makanan yang ganjil bagi rakyat Malaysia. Kita ada man tao goreng yang cukup sedap dimakan dengan ketam berkuah. Tetapi jika terasa nak menonton Rajnikanth di kaca televisyen, purilah menjadi pilihan. Tambahan pula, puri mudah didapati di kedai-kedai India Selatan di seluruh Malaysia.

Kecil, gebu dan berwarna emas keperangan apabila digoreng sempurna, puri ialah hidangan yang sering kali dijadikan santapan ketika waktu sarapan pagi. Di Malaysia, tiada peraturan yang mengatakan bahawa makanan sarapan hanya boleh dinikmati semasa waktu pagi sahaja, jadi anda boleh makannya dari pagi hingga ke malam. Dan bahagian yang paling syok sekali ialah ia sedap dimakan dengan pelbagai kuah, baik dal, kari ataupun yogurt… memang menjilat jari!

Bahan-bahan untuk menyediakan hidangan ini cukup ringkas. Yang anda betul-betul perlu kuasai ialah teknik penyediaannya. Meskipun begitu, puri boleh dianggap sebagai hidangan roti India yang paling senang untuk dibuat. Jika anda akan cuba menyediakannya untuk pertama kali, jangan risau kalau hasil masakan anda tidak segebu pipi bayi yang comei-lote. Cuba dan cuba lagi!

Bahan-Bahan
  • 200g tepung atta Pillsbury
  • ½ sudu kecil garam
  • 150ml air suam
  • minyak masak
  • tepung atta lebih, minyak masak atau minyak sapi untuk menguli
Opsyenal
  • 1 sudu besar minyak sapi

Hasil: 25 keping kecil

Cara-cara: menyediakan doh puri
  1. Dalam satu mangkuk, masukkan tepung atta dan garam. Gunakan jari anda (pastikan bersih dan kering) untuk gaul kedua-dua bahan.
Tepung atta dan garam
  1. Jika menggunakan minyak sapi, masukkannya dan gunakan jari untuk gaul minyak sapi dan tepung sehingga sebati.
  2. Masukkan air sedikit demi sedikit, kira-kira 25 hingga 30ml, dan terus gaul dengan tangan. Anda akan mahu doh yang lembap secara sekata, tetapi jangan uli terlalu lama.
Masukkan air sedikit demi sedikit. Dohnya agak kering pada peringkat awal ini
Doh mula melekat
  1. Teruskan masuk air sedikit demi sedikit ke dalam doh sehingga doh sebati. Bergantung pada jenis atau jenama tepung yang digunakan (ataupun tuaian yang digunakan untuk jenama yang sama), anda mungkin perlukan sukatan air berbeza. Jadi, tumpu perhatian semasa menguli. Anda mahu doh anda licin dan sederhana lembut. Jika doh terasa melekit dan sangat lembut, anda gunakan terlalu banyak air. Jika terlalu keras dan mudah berkecai, tambahkan air sedikit lagi.
Doh yang agak licin, tidak melekit dan sederhana lembut
  1. Jangan terlebih uli tepung kerana ia akan menghasilkan doh yang terlalu keras. Seluruh proses ini sepatutnya memakan masa selama 3-5 minit.
  2. Biarkan doh yang sudah diuli di dalam mangkuk dan tutup dengan kain lembap. Rehatkan untuk 30 minit.
  3. Selepas 30 minit, minyakkan tangan dengan sedikit minyak sapi atau minyak masak dan uli doh untuk beberapa saat sebelum dileperkan.
Uli, uli dan uli lagi
  1. Cubit sebahagian kecil doh dan gelek sehingga menjadi bebola bulat dan halus. Buang ‘kelim’ yang boleh dilihat. Kami cadangkan anda menyediakan bebola seberat 15g untuk membuat puri yang kecil dan comel, tetapi anda boleh membuat bebola yang lebih besar atau lebih kecil bergantung pada kesukaan anda.
  2. Jika anda menggunakan permukaan berkayu, tepungkan papan anda. Anda boleh gunakan minyak sapi atau minyak cair jika menggunakan permukaan seperti marmar, konkrit atau logam untuk menggelek doh anda. Letakkan sesuku sudu kecil minyak sahaja untuk setiap puri, bergantung pada saiz yang dibuat. .
  3. Ambil satu bola doh dan leperkan dengan tapak tangan. Kemudian guna jari dan tekan sedikit bahagian tepi doh untuk memeteraikan tepinya.
Leperkan doh dengan tapak tangan. Kami mengguna papan berkayu, jadi telah menabur tepung ke atas permukaannya supaya doh tidak melekat
Tekan tepi-tepi doh
  1. Gunakan penggelek untuk ratakan doh. Gelek dari tengah ke depan untuk membentuk doh yang bulat dan cantik. Jangan bimbang jika anda tidak dapat membentuk bulatan sempurna pertama kali – ia perlu agak banyak latihan juga! Leperkan sehingga doh menjadi kira-kira 1.5 hingga 2mm tebal, dan kira-kira 7cm lebar jika menggunakan doh seberat 15g.
  2. Doh anda sedia untuk digoreng.
Sebulat mungkin!
Menggoreng
  1. Sediakan satu pinggan atau bekas yang dlapik dengan tisu dapur.
  2. Gunakan kuali, periuk tebal atau kuali panci untuk panaskan minyak masak di atas api besar sehingga capai suhu menggoreng, kira-kira  175°C hingga 190°C. Anda tak perlukan minyak yang banyak, kira-kira 2cm hingga 3cm dalam sudah memadai.
  3. Tiada termometer memasak? Ambil secubit doh dan masukkan ke dalam minyak. Jika doh mengambil masa yang lama untuk naik ke permukaan, minyak anda tidak cukup panas. Jika doh mula hangit, minyak terlalu panas. Kecilkan api.
  4. Jika menggunakan kuali panci atau periuk kecil, goreng kepingan doh satu per satu.
  5. Masukkan doh yang telah dileperkan dengan hati-hati ke dalam minyak panas.
Masukkan doh yang telah dileperkan
  1. Apabila sudah timbul (langkah ini akan mengambil masa beberapa saat sahaja), sendukkan minyak panas ke atas puri atau tekan tepinya ke dalam minyak sehingga ia mengembang. Anda juga boleh tekan puri masuk ke dalam minyak sedikit dan putar-putarkan di dalam periuk. Langkah-langkah ini memastikan minyak panas menyentuh permukaannya supaya ia akan mengembang.
Kami gunakan cara berputar
  1. Apabila sudah mengembang, terbalikkan dan masak untuk beberapa saat lagi. Anda mahu puri yang berwarna perang keemasan.
Kembang dengan sempurna!
Warna perang keemasan yang cantik sekali
  1. Apabila sudah masak, letakkan puri di atas tisu dapur untuk menyerap minyak berlebihan.
  2. Goreng puri seterusnya! Jika minyak terlalu panas, kecilkan api (atau besarkan jika perlu). Simpah sedikit doh lebihan untuk membantu anda mengenalpasti suhu minyak jika anda tidak memiliki termometer memasak.
  3. Hidangkan ketika masih panas.
Tip tambahan
  1. Anda boleh menggunakan apa-apa jenama tepung atta untuk menyediakan puri. Kami sukakan tepung Pillsbury kerana tepungnya dikisar halus.
  2. Minyak sapi mengayakan lagi rasa puri anda. Tetapi, bahan ini cuma satu opsyen sahaja. Kalau anda seorang vegan, lupakan tip ini.
  3. Untuk mengelakkan doh menjadi kering, anda boleh:
    1. Leperkan dan goreng puri satu demi satu.
    2. Leperkan semua doh dan tutup dengan kain lembap sebelum menggoreng.
    3. Atau, leperkan satu puri, goreng puri itu dan leperkan satu lagi doh ketika anda menggoreng puri pertama. Cara ini memerlukan kemahiran multitugas kerana anda perlu pantas meleperkan doh sambil memantau puri yang sedang digoreng. Secara alternatif,  dapatkan bantuan untuk meleperkan  puri semasa anda menggoreng!
  4. Tutupakan doh yang tidak diguna dengan kain lembap supaya tidak kering.
  5. Jika puri anda tidak mengembang, periksa suhu minyak. Jika suhu ideal, leperan doh mungkin terlalu nipis atau terlalu tebal. Ia rangup? Ini bermaksud doh terlalu nipis. Jika puri yang masak terasa tebal, doh tidak diuli cukup nipis. Puri sempurna akan kekal lembut dan kenyal walaupun mengembang.
Tak terlalu nipis, tak terlalu tebal, dan kembang dengan sempurna!
  1. Puri mungkin mengempis selepas masak, khususnya yang bersaiz besar. Jangan risau jika itu berlaku.
  2. Sepertimana dengan kebanyakan resipi di luar sana, terdapat beberapa cara berbeza untuk menyediakan puri. Ada yang mengatakan anda perlu menggunakan air suam, sementara ada yang mengatakan anda perlu menggunakan air panas. Tepung atta juga ada kadangkalanya digantikan dengan jenis tepung lain atau dicampur dengan tepung suji. Bereksperimenlah! Jika anda tidak pasti dari mana untuk bermula, mula dengan resipi kami dulu.
Sudah bersedia?

Puri sebenarnya sangat mudah untuk disediakan apabila anda sudah biasa membuat hidangan ini. Masalahnya, oleh sebab ia sangat mudah untuk disediakan dan memang sangat enak, anda pasti tergoda untuk menyediakannya berkali-kali. Kami tidak cadang anda untuk berbuat begitu kerana puri bukanlah satu hidangan yang menyihatkan. Mestilah, ia kan digoreng dalam minyak yang banyak! Jadi, sediakannya untuk hari-hari istimewa seperti Deepavali, Onam, sambutan hari lahir atau sebab-sebab lain yang anda pasti boleh tentukan. Hidanginya dengan beberapa masakan India kegemaran anda untuk menikmati puri yang sedap ini!

Jadi, bagi yang sudah eksperimen, apa hasilnya? Adakah puri anda bulat dan mengembang? Jika ya, kongsi gambar dan pengalaman anda dengan tag kami di #butterkicap!

Selamat mencuba dan makan!

 


Artikel lain:

Turn Your Dull Day Around With This Amazing Dalca Recipe

Sodhi: Resepi Kari Bersantan Enak tapi Ringkas

Resepi Dhokla dan Cutni Hijau: Sedap dan Berkhasiat!

print
Butterkicap Team

We're just a small group of friends who love food, culture and Malaysia. We saw the rise of mediocre food, deteriorating relationships and missed the good old days of Malaysia where food was good, homes were warmer and full of friends and family. So we rolled up our sleeves, and made Butterkicap with the hope that it will bring people and flavors home.

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.