8 Makanan untuk Kekal Sihat Semasa Musim Jerebu

Tiada yang lebih sihat daripada menghirup udara segar. Tapi, dalam keadaan berjerebu sekarang, harapan tinggal harapan untuk rasai bekalan oksigen mengalir dalam badan. Mana tidaknya? Ruang udara kita semakin lama semakin kelabu dan kabur dek jerebu yang tak akan menghilang dalam masa terdekat.

Hasilnya, badan rasa lemau, lemah dan malas. Tak bolehlah begitu! Kalau satu Malaysia rasa sakit dan lemah untuk ke pejabat, tak jalanlah kerja nanti. Oleh itu, penting untuk kita jaga kesihatan dan tak cepat jatuh sakit.

Lawan Melalui Makanan

Untuk kekal sihat dalam musim jerebu ini, ramai yang memilih untuk mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai topeng muka dan membataskan pergerakan di rumah,

Tetapi, semua ini takkan berkesan kalau badan anda sendiri tak dijaga. Pemakanan juga sedikit sebanyak dapat membuatkan badan anda lebih kuat dan mampu melawan penyakit malas, penat dan semestinya, batuk-batuk serta deman akibat ruang udara kita yang kelabu dan kotor.

Setelah berhempas pulas memikirkan apakah makanan yang ada dengan banyaknya di Malaysia dan paling penting sekali, berharga murah untuk anda masukkan dalam diet anda sehingga cuaca semakin baik.

Jadi, marilah kita sama-sama tengok apakah 8 makanan yang boleh tolong berikan nutrien yang diperlukan badan agar saluran pernafasan lebih lancar dan imunisasi kuat.

1. Brokoli

Bagi yang tak suka makan sayur, khususnya sayuran berwarna hijau, anda rugi besar kerana brokoli didapati boleh mengurangkan kerengsaan dalam hidung semasa terdedah pada udara tercemar. Satu kajian di Universiti California membuktikan bahawa B vitamin di dalam sayur ini mampu mengeluarkan toksin akibat terdedah di kawasan udara tercemar.

Kalau anda nak cuba cadangan pemakanan yang disyorkan dalam kajian ini, anda boleh cuba mengamalkan untuk minum jus brokoli setiap pagi dan malam. Tapi, bagi saya, itu agak ekstrem, betul tak? Cukuplah sekadar anda makan sayur tersebut dan cadangan saya ialah resepi brokoli panggang dan miso Butterkicap ini.

2. Kunyit

Bagi pendapat saya, kunyit merupakan satu rempah yang cukup dipandang enteng oleh masyarakat kita. Sabar, sabar, jangan marah bila saya kata begitu. Justifikasi saya mudah saja. Oleh sebab kunyit sentiasa digunakan dalam masakan Malaysia, baik dalam masakan Melayu, Cina mahupun India, kita sudah terbiasa hinggakan kita tak sedar bahawa kunyit juga mempunyai manfaat kesihatan yang pelbagai, khususnya dalam musim jerebu ini.

Kunyit mengandungi nutrien super yang dikenali sebagai kurkumin. Keistimewaan nutrien ini ialah ia satu ejen anti-kerengsaan khususnya di laluan pernafasan anda. Kurkumin meluaskan ruang udara untuk membolehkan lebih banyak oksigen diserap masuk ke dalam paru-paru. Dalam musim jerebu ini, kurkumin dilihat sebagai keperluan khususnya dalam kalangan individu yang mengalami sakit lelah atau kesesakan semasa bernafas.

Jadi, amalkanlah segelas smoothie mangga kunyit setiap pagi sebelum keluar. Melegakan dan sedap!

3. Halia

Siapa yang tak sukakan halia? Inilah bahan penting dalam masakan seperti nasi ayam, nasi lemak dan juga makanan kegemaran kita yang lain. Halia memberikan satu kemanisan dan kesegaran dalam masakan.

Sejak jerebu melanda, pernah tak anda rasa badan anda rasa sakit-sakit
dan lemah? Kalau ya, cubalah masukkan lebih banyak halia dalam diet anda. Halia, seperti kunyit mampu melegakan keradangan semasa bernafas dan menghilangkan rasa tercungap-cungap. Jadi, bolehlah anda bancuh teh halia dan minum banyak-banyak. Aduh, rasa teringin pula!

4. Madu

Madu merupakan satu lagi bahan semula jadi yang dilihat bagus dalam melancarkan pernafasan. Dengan ambil 2 sudu teh madu setiap malam, anda akan berasa segar kerana nafas anda tak tersekat-sekat dan yang paling penting sekali, dapat mengurangkan kebarangkalian untuk anda batuk. Anda pasti sudah masak dengan tanda-tanda badan anda sakit. dan simptom yang paling kerap berlaku ialah anda mula batuk.

Kalau anda nak kelegaan yang lebih pantas, khususnya setelah seharian
menjalankan aktiviti di luar dalam keadaan jerebu, anda boleh sediakan air madu kunyit. Caranya mudah saja. Dalam setengah cawan air panas, masukkan 1/2 sudu teh serbuk kunyit ataupun 1 hirisan kunyit hidup dan 1 sudu besar madu. Kacau hingga madu larut dan minum.

5. Ikan Keli

Menurut kajian yang dijalankan oleh ahli sains di Agensi Alam Sekitar Amerika Syarikat, ikan-ikan yang kaya dengan asid lemak omega 3 seperti ikan salmon dan sardin, boleh memberikan perlindungan penuh pada badan daripada keradangan akibat pencemaran. Menurut kajian yang dijalankan di Sekolah Perubatan Harvard, seseorang yang makan 2 hidangan ikan berlemak dalam seminggu dapat mengurangkan tekanan oksidatif dan keradangan antara 30-50%! Kalau beginilah, baik cepat-cepat beli ikan berlemak sebelum habis.

Oleh sebab ikan salmon agak mahal dan saya faham anda pasti ada bajet yang perlu diikuti, saya menemui pengganti terbaik untuk ikan salmon yang murah dan mudah untuk didapati di mana saja; ikan keli.

Ikan keli merupakan antara ikan tempatan yang mempunyai kandungan lemak omega tiga yang tinggi. Oleh itu, tak perlukan nak berkira-kira apabila nak makan ikan. Cari saja ikan keli!

6. Limau


Apabila partikel bertoksin dari ruang udara masuk ke dalam badan kita, partikel ini akan hasilkan molekul tak stabil yang bebas. Dan inilah punca keradangan di tekak dan saluran pernafasan hingga menyebabkan anda batuk, berhingus dan demam.

Anda ingat tak, kalau demam semasa kecil, ibu bapa kita akan paksa kita untuk makan buah oren ataupun limau. Pernah tak anda terfikir kenapa? Jawapannya ialah buah-buahan sitrus mengandungi antikoksidan yang dapat meneutralkan molekul yang menyebabkan keradangan.

Vitamin C merupakan antioksidan paling mujarab dalam badan kita. Setiap hari, seorang dewasa perlukan 40mg vitamin C dan perlu ditambah setiap hari kerana vitamin C akan diserap oleh badan setiap hari. Nak beli tablet vitamin C di pasaran memang agak mahal. Oleh itu, alternatif terbaik adalah dengan makan banyak buah-buahan yang kaya dengan vitamin ini seperti limau dan oren.

7. Bayam


Memang saya syorkan anda untuk makan makanan yang mengandungi Vitamin C tapi itu tak bermakna anda kena makan buah oren saja untuk kekal sihat dalam cuaca berjerebu ini.

Bagi yang tak suka makan sayur, sekali lagi anda terpaksa lupakan rasa benci anda pada sayur dan letakkan kepentingan untuk kekal sihat. Selain daripada vitamin C, badan kita juga memerlukan vitamin E.

Vitamin E merupakan antioksidan yang meningkatkan tahap imunisasi badan. Memang sesuailah dengan keadaan sekarang, betul tak? Vitamin E ada banyak dalam minyak zaitun, kekacang dan bijian tetapi, kalau anda tanya saya, saya akan cadangkan kepada anda pilihan yang lebih murah iaitu bayam. Jangan makan banyak sangat pula. Nanti jadi Popeye.

8. Bawang Putih

Manfaat kesihatan bawang putih sudah sekian lama diketahui oleh masyarakat Asia dan salah satu manfaatnya ialah memperbaiki keadaan sistem pernafasan kita.

Kalau anda mahu kesan yang lebih besar, anda boleh sediakan masakan berbawang putih dengan ginseng sekali. Bawang putih dan ginseng dapat melegakan kesan keradangan dan melegakan sakit lelah atau kesesakan nafas.

Anda tak begitu sukakan ginseng? Tak mengapa! Cubalah sediakan resepi bawang putih digoreng dalam minyak bijan. Setiap kali nak makan, anda boleh letakkan sebagai hidangan sampingan dan penambah rasa.

Kuatkan Diri

Walau apapun, ambil langkah berhati-hati dalam musim jerebu ini. Dengan keadaan cuaca yang semakin teruk, pasti ramai yang sudah mula berasa sakit. Cuba amalkan pemakanan seimbang dan kaya dengan bahan-bahan yang boleh buatkan anda bernafas lebih lancar, segar dan paling penting sekali, kuat untuk melawan virus-virus penyakit tular disebabkan jerebu.

print
Azrene Jasmine
Azrene Jasmine

Azrene Jasmine is a Penangite with a stomach of gold. Though currently she is in a love/hate relationship with the weighing scale, Azrene truly believes that every woman should choose a hunk of juicy steak over a bowl of salad on the first date because steaks are awesome and what man can resist a woman with a healthy appetite?

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Something is wrong.
Instagram token error.
Load More