Resepi Kuih Bulan Telur Asin dan Keladi ala Teochew

Kredit: Gerald Lee

Semasa kecil, saya sering kali berasa teruja setiap kali perayaan besar kunjung tiba. Mana tidaknya? Semasa perayaanlah pelbagai kuih-muih dan manisan tradisional akan disediakan. Rindu betul saat-saat itu!

Nasib baik saya tak perlu tunggu terlalu lama kerana sambutan perayaan kuih bulan bakal menjelang. Sejarah di sebalik perayaan ini sememangnya cukup menarik untuk diceritakan.

Namun begitu, saya kesuntukan masa dan tidak mahu memberikan ringkasan sahaja. Kalau anda nak tahu kisah di sebalik perayaan ini, bacalah nukilan khas Butterkicap tentang perayaan kuih bulan di sini.

Keenakan Perisa Kuih Bulan

Sudah baca tentang sejarah kuih bulan? Kalau ya, baguslah kerana anda berjaya tingkatkan pengetahuan anda tentang perayaan istimewa ini. Jika tidak, tak mengapa!

Anda boleh terus sediakan resepi kuih bulan yang saya nak kongsi di sini. Lebih mudah untuk cerna informasi baru bila ada kudapan, betul tak?

Secara tradisionalnya, hanya terdapat beberapa perisa klasik kuih bulan seperti keladi, biji teratai, dan telur asin tetapi dengan peredaran masa, semakin banyak perisa moden yang boleh didapati sehinggakan perisa-perisa klasik dilupakan. Saya tak nak cakap panjang-panjang tentang kesemua perisa kuih bulan yang boleh didapati sekarang di pasaran. Anda boleh baca tentang topik tersebut di sini.

Oleh sebab itulah, saya terasa tergerak hati untuk berkongsi satu resepi perisa kuih bulan yang cukup disukai oleh saya iaitu gabungan keladi dan telur kuning asing. Bagi saya, tiada perisa yang lebih klasik daripada perisa tersebut dan setiap kali saya menikmatinya, nostalgia zaman kanak-kanak pasti kembali bermain dalam fikiran.

Resepi ini cukup sesuai untuk dicuba oleh masyarakat Melayu yang beragama Islam dan golongan vegetarian kerana semua bahan yang digunakan adalah yang berasaskan sayur-sayuran sahaja. Apa kata kita mula memasak?

Bahan-Bahan:

a) Inti

  • 800g keladi, dikupas dan dipotong kepada hirisan sederhana tebal
  • 1 sudu teh garam
  • 180g gula kastor
  • 80g minyak masak
  • 30g kanji gandum
  • 12 biji telur itik masin

b) Doh Minyak

  • 180g Tepung Kek
  • 100g lelemak sayuran

c) Doh Air

  • 100g tepung kek
  • 100g tepung gandum
  • 50g lelemak sayuran
  • 30g gula kastor
  • 1/2 cawan air
  • 1/2 sudu teh jus lemon

Cara-Cara:

a) Doh Air

  1. Masukkan semua bahan ke dalam mangkuk dan uli hingga halus dan rata. Uli doh seperti menguli doh roti.
  2. Bahagi doh pada 3 bahagian sama rata. Biar rehat selama 20 minit. Pastikan anda letakkan label agar tidak keliru.

b) Doh Minyak

  1. Masukkan semua bahan ke dalam mangkuk dan uli hingga halus dan rata. Uli doh seperti menguli doh roti.
  2. Bahagi doh pada 3 bahagian sama rata. Biar rehat selama 20 minit.  

c) Inti Telur Kuning Asin

  1. Kukus selama 10 hingga 15 minit atas api sederhana besar.
  2. Pastikan anda lapikkan dulang dengan kertas bakar sebelum masukkan telur asin untuk mengelakkannya melekat atas dulang selepas dikukus. Hal ini boleh menyebabkan telur kuning pecah semasa mengeluarkannya dari dulang.

d) Pes Keladi

  1. Kupas kulit keladi, cuci dan hiris menjadi hirisan sederhana tebal.
  2. Tabur 1 sudu teh garam atas hirisan keladi.
  3. Kukus selama 20 minit atas api sederhana besar.
  4. Lenyek hingga halus menggunakan pelenyek atau pemproses makanan semasa masih panas.
  5. Masukkan separuh minyak masak ke dalam kuali tak lekat dan panaskan atas api kecil.
  6. Masukkan pes keladi dan kacau hingga pes menyerap kesemua minyak agar pes tak melekat atas kuali.
  7. Padamkan api. Masukkan gula kastor, kanji gandum dan baki minyak. Kacau rata semasa pes keladi masih panas.
  8. Selepas sudah sejuk, bahagian doh keladi pada bahagian-bahagian kecil seberat 70g.

e) Menyediakan Inti Keladi dan Telur Asin

  1. Canaikan setiap doh keladi.
  2. Letakkan telur kuning asin yang dikukus di tengah dan tutup doh hingga menjadi bola. Ulang langkah ini hingga semua doh dan telur kuning asin habis.

f) Menyatukan Doh Minyak dan Air

  1. Ambil satu bahagian doh air, bulatkan doh dan canaikan. Letakkan satu bahagian doh minyak di atas doh air. Kelim sekeliling doh dan bulatkan. Canaikan doh menjadi bentuk segi empat tepat menggunakan kayu canai senipis yang boleh. Pastikan kenipisan doh adalah sekata. Gulung doh seperti nak sediakan kek gulung (swiss roll).
  2. Pusingkan bahagian doh yang lebih pendek menghala ke arah anda. Gunakan kayu canai untuk ratakan doh sekali lagi hingga menjadi bentuk segi empat tepat dan senipis yang boleh. Gulung doh seperti sediakan kek gulung (swiss roll).
  3. Potong doh menjadi 4 bahagian sama rata. Lakukan yang sama dengan bahagian doh lain hingga anda mendapat 12 doh gulung. 
  4. Ambil satu bahagian doh gulung dengan corak pusaran menghadap anda, gunakan kayu canai dan ratakan doh senipis yang boleh.
  5. Letakkan pes keladi di tengah-tengah corak pusaran, kelim bahagian penjuru doh dan bulatkan doh sebaik mungkin. Buang doh lebihan.
  6. Bakar doh kek bulan dalam ketuhar yang dipanaskan terlebih dahulu pada suhu 180 Selsius selama 30 minit pada tetapan rak tengah atau hingga mencapai warna perang keemasan. Jika kek bulan masih tak bertukar perang keemasan, letakkan dulang bakar di rak yang lebih tinggi. Anda juga boleh menggoreng kek bulan atas api sederhana hingga perang keemasan. Biarkan sejuk sempenuhnya sebelum potong dan hidang.

Sedapnya Kuih Bulan!

Saya berharap perkongsian kali ini cukup bermanfaat kepada anda dalam mengenali dengan lebih mendalam lagi tentang perayaan kuih bulan. Jangan lupa untuk meletakkan hashtag #butterkicap dan tag saya di @justinescakesandkueh

Selamat mencuba dan makan banyak-banyak!

print
Justine Lim

With love for the freshest and natural ingredients, Justine Lim aspires to recreate heritage Malaysian recipes into modern, elegant-looking delicacies. Catch more of her delicious creations on her Instagram profile, @justinescakesnkueh

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.