9 Tips Terbaik untuk Makanan Tahan Lama

Apabila membeli belah barangan dapur atau makanan, anda pasti menghadapi masalah dalam penyimpanan bahan basah dan sayuran kerana ia sukar kekal segar. Kebiasaannya kita akan menggunakan peti sejuk untuk menyimpan bahan makanan tersebut. Tetapi, ada masanya, ia tidak mampu membuat makanan anda tahan lama dan mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan.

Malahan, makanan menjadi mudah rosak dan basi walaupun disimpan dalam peti sejuk. Ia berpunca daripada bakteria yang membiak akibat daripada keadaan peti sejuk yang tidak dijaga dengan baik dan tidak dibersihkan dengan sempurna. Bagi memastikan makanan anda tahan lama dan selamat untuk dimakan, anda hanya perlu memastikan peti sejuk anda berada pada suhu yang bersesuaian iaitu antara 0 hingga 4 darjah celsius.

Selain itu, ruangan sejuk beku berada pada suhu 18 darjah celsius atau lebih rendah dan pastikan pintu peti sejuk sentiasa ditutup serta hanya dibuka apabila perlu mengambil barangan. Elakkan ia terdedah terlalu lama, ia akan menyebabkkan suhu terganggu lantas merosakkan makanan yang ada. Jangan penuhkan peti sejuk terlalu padat sehingga menganggu pengaliran udara di dalamnya. Jika ia terjadi, ia akan menyebabkan peti sejuk tidak lagi berfungsi dengan baik.

Beberapa tips Butterkicap dapat dikongsi bersama dengan anda jika anda ingin makanan anda tahan lama. Ia akan memberi anda sedikit info menarik dalam usaha anda untuk mengekalkan kesegaran pada makanan anda.

Tips 1: Menyimpan sayur-sayuran tahan lebih lama

Terdapat tips lain dalam menyimpan sayuran agar tahan lama sehingga tempoh dua minggu dan ia masih kekal segar untuk digunakan. Kebiasaannya, apabila anda menyimpan sayuran dalam peti sejuk, ia akan bertukar warna kekuningan dan menjadi layu walaupun baru lagi anda membelinya. Terdapat beberapa tips yang boleh diamalkan bagi mengekalkan kesegaran dan menjadikan sayur-sayuran lebih tahan lama.

Sayur-sayuran yang jenis mudah rosak dan cepat layu seperti bayam, brokoli, sawi dan sebagainya seeloknya disimpan terlebih dahulu dalam plastik sebelum anda memasuknya dalam peti sejuk. Bagi sayur-sayuran yang telah dibersihkan, anda perlu menyimpannya dalam satu bekas kedap udara dan diletakkan dalam peti sejuk. Ia akan mengekalkan kesegaran sayur tersebut dan ia akan tahan lebih lama.

Bagi sayuran yang hendak dibungkus dengan ‘paper towel’, anda perlu mencucinya terlebih dahulu sehingga bersih bagi membuang pasir atau kekotoran pada sayuran. Kemudian anda bungkuskan sayuran tersebut dengan ‘paper towel’, ia bertujuan mengurangkan kelembapan pada sayuran supaya ia lebih tahan lama dan masih segar digunakan untuk tempoh yang panjang sedikit.

Salah satu petua yang boleh dilakukan untuk tujuan penyimpanan sayur-sayuran lebih tahan lama ialah dengan cara berikut:

 

Merendam sayur-sayuran

Langkah pertama, anda perlu merendamkan sayuran selama lima hingga 10 minit. Kemudian, biarkan sehingga sayur-sayuran tersebut tenggelam. Bagi sayuran seperti kangkung dan bayam kebiasanya akan diasingkan kerana ia berpasir. Kekalkan akarnya dan jangan potong. Ia hanya boleh dipotong apabila anda ingin memasak sayur tersebut dan bersihkan sekali lagi sebelum menggunakannya.

 

Tambahkan garam

Selain itu, anda boleh taburkan secubit garam ketika mencuci sayur-sayuran tersebut. Garam berfungsi untuk menghilangkan segala sisa-sisa bahan kimia atau racun serangga yang masih terlekat pada sayur-sayuran tersebut. Anda hanya perlu rendamkan seketika dalam rendaman air garam selama lebih kurang 10 minit sebelum digunakan.

Apabila sayuran tersebut siap untuk digunakan, toskan sayuran dan biarkan dahulu selama 5 minit.

 

Simpankan dalam bekas

Bagi sayuran yang tidak digunakan dan ingin disimpan dahulu, sediakan satu bekas kedap udara dan susunkan sayur-sayuran tersebut ke dalamnya. Kalau anda ingin menjimatkan ruangan dalam peti sejuk, anda boleh juga menggunakan plastik kedap udara atau anda gunakan sahaja ‘ziplock bag’. Walaupun ia sudah 2 minggu dibeli, sayur-sayuran tersebut akan kekal segar seperti baru dibeli dari pasar.

Selain itu, bagi sayuran seperti daun bawang, anda boleh mengekalkan kesegarannya dengan menyimpan dalam botol plastik. Anda hanya perlu memotong daun bawang kecil-kecil dan jemurkan seketika. Kemudian, masukkan potongan daun bawang tersebut dalam botol plastik dan letakkan ia dalam peti sejuk.

Cara mudah yang lain untuk menyimpan sayuran lebih tahan lama ialah dengan membungkuskan sayur-sayuran tersebut dalam kertas aluminium foil. Ia akan menjamin ketahanan sayuran selama dua hingga tiga minggu jika disimpan rapi dalam peti sejuk. Tips ini sesuai digunakan bagi mengekalkan kesegaran daun saderi, brokoli, dan salad.

Kebiasaannya, ruangan untuk sayuran dalam peti sejuk di bahagian paling bawah. Sayur-sayuran akan mudah layu dan jika anda ingin mengekalkan kesegaran dengan cara membungkuskan sayuran dalam plastik atau surat khabar yang telah dilembabkan dengan rapi. Anda diingatkan supaya tidak meletakkan sayuran dalam ruangan dingin beku kerana ia akan menyebabkan sayur-sayuran lebih cepat layu dan rosak. Pastikan suhu yang digunakan untuk menyimpan sayur-sayuran bersesuaian.

Bagi sayuran yang memerlukan suhu yang sejuk seperti jagung, buahan beri, dan cendawan, ia perlu disimpan dalam plastik dan dibalutkan dalam kertas dengan rapi. Bagi sayuran yang perlu mengekalkan kelembapan, ia hendaklah disimpan dengan baik dalam ruangan laci untuk sayuran dalam plastik atau bekas kedap udara yang sesuai. Contoh sayuran seperti lobak merah, timun, sayuran hijau, sayuran kekacang dan sayur asparagus.

Bagi mengekalkan kesegaran dan kerapuhan sayuran jenis ulam-ulaman, anda hanya perlu merendam ulam-ulam dalam air yang dicampurkan dengan sedikit cuka dan perahan limu nipis. Kemudian biarkan seketika dan tos ulam-ulaman tersebut. Ulam-ulaman tersebut akan kekal segar dan rangup walaupun dibiarkan lama sebelum dimakan.

Tips 2: Penyimpanan bawang supaya tidak berbau

Tips seterusnya ialah tips penyimpanan bawang untuk kekal segar dan tidak cepat berbau busuk. Salah satu cara yang anda boleh gunakan adalah dengan menyimpan bawang dalam plastik berbentuk jaringan seperti stokin, jangan tidak percaya yang tips ini sebenarnya berguna untuk mengelakkan bawang menjadi busuk. Ia akan membuatkan bawang bertahan untuk tempoh berbulan lamanya.

Anda juga boleh menyimpan bawang dalam beg kertas dan letakkan di tempat yang kering. Anda tidak digalakkan untuk menyimpan bawang dalam karung atau beg plastik kerana ia akan mempercepatkan pertumbuhan kulat dan menjadikan bawang mudah rosak.

Jika anda ingin menyimpan bawang yang telah dipotong dalam peti sejuk, anda perlu memastikan bekas tersebut ditutup dengan rapi dan kemas supaya ia tidak berwap. Ini kerana, bawang yang telah dipotong jika dibiarkan terdedah boleh menjadi kawasan pembiakan bakteria dan anda akan mengalami keracunan makanan.

Elakkan menyimpan bawang bersama kentang. Ia akan menyebabkan bawang mudah rosak dan berbau. Untuk mengelakkan kesegaran dan bawang lebih tahan lama, anda perlu menyimpannya di tempat yang kering dan bersuhu sederhana. Ia akan mampu bertahan sehingga lebih 2-3 bulan.

Selain itu, anda mesti sedia maklum bahawa bawang merupakan antara makanan yang mudah rosak dan berbau busuk jika diletakkan ditempat yang lembab atau basah. Anda perlu memastikan suhu yang digunakan bersesuian dan ruangan yang kering untuk mendapat pengudaraan yang baik untuk bawang. Sebaiknya anda menyimpan bawang dalam karung kertas, ia akan berfungsi menyerap kelembapan berlebihan yang ada pada bawang.

Bagi bawang kisar untuk tahan lama, anda hanya perlu mengisarkan bawang bersama minyak bagi menggantikan penggunaan air. Kemudian, masukkan ke dalam bekas kedap udara dan simpankan dalam peti sejuk untuk kegunaan dalam tempoh masa yang lama.

 

Tips 3: Kentang kekal segar

Bagi tips untuk kentang tahan lama, ia kebiasaannya dilakukan sekiranya anda membeli kentang dalam kuantiti yang banyak. Anda perlu lebih peka dan bijak dalam memastikan kentang tidak mudah rosak dan busuk. Antara saranan yang boleh diamalkan dalam penyimpanan kentang adalah menyimpannya bersama buah epal dalam satu bekas yang sama.

Ia dikatakan dapat mencegah pertumbuhan tunas kentang dan ia dapat mengelakkan kerosakan pada kentang. Selain itu, ia juga diamalkan bagi mengelakkan pertumbuhan kulat pada kentang dan menyebabkan ia berbau busuk. Ia sama keadaan seperti bawang sekiranya ia diletakkan di kawasan yang lembab dan basah.

Anda juga perlu pastikan kentang juga mendapat pengudaraan yang baik supaya ia mampu bertahan untuk tempoh masa yang lama antara 2-3 minggu.

Tips 4: Ikan tahan lama tanpa bahan pengawet

Ikan adalah makanan yang mudah rosak dan harus disimpan segera dalam peti sejuk. Sekiranya ikan masih baru ditangkap daripada laut atau sungai, elakkan terus menyimpan ikan tersebut ke dalam beg plastik. Bagi memastikan ikan tahan lama dan kekal segar untuk tempoh masa 2-3 hari, anda perlu memasukkannya ke dalam bekas atau kotak yang berisi ais batu.

Selain itu, ada satu tips boleh diamalkan ketika penyimpanan ikan. Terlebih dahulu, anda hanya perlu menyiang ikan tersebut, buang perut dan potong dalam potong yang bersesuaian sekiranya ikan mempunyai saiz yang besar. Tetapi, anda diingatkan supaya jangan membasuh ikan tersebut.

Ia bertujuan untuk mengekalkan kesegaran ikan tersebut. Anda terus menyimpan ikan yang telah disiang itu tadi ke dalam bekas kedap udara dan simpankan dalam peti sejuk. Anda tidak perlu khuatir tentang rasa dan kesegaran ikan tersebut serta tidak akan menjejaskan teksturnya. Bau ikan juga tidak akan melekat pada bekas apabila disimpan dalam peti sejuk.

Ada juga yang berpendapat ikan perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum disimpan ke dalam peti sejuk. Lakukan langkah yang sama seperti tips sebelum ini dengan membuang insang, isi perut dan sisik. Kemudian bersihkan dengan rapi dan bungkus ikan kemas-kemas lalu disimpan dalam ruang sejuk beku dalam peti sejuk.

Bagi mengekalkan rasa manis pada ikan, amalkan tips yang telah diberikan dengan menyimpan ikan tanpa membasuhnya terlebih dahulu, hanya membuang isi perut ikan dan lain bahagian yang tidak diperlukan sahaja. Bungkuskan ikan dalam surat khabar lalu disimpan ke dalam peti sejuk. Apabila anda ingin memasak ikan, anda hanya perlu membasuh ikan sehingga bersih. Cara ini akan dapat mengekalkan rasa manis ikan.

Cara dalam mengekalkan kesegaran ikan, anda boleh lakukan dengan cara menyusun ikan dalam satu bekas kedap udara dan isikan bekas dengan air sehingga menutupi ikan. Kemudian, anda simpan bekas tersebut di bahagian sejuk beku peti sejuk anda. Tips ini bertujuan mengekalkan kesegaran ikan untuk tempoh masa beberapa hari selepas penyimpanannya.

 

Tips 5: Kekalkan kesedapan dan kemanisan udang

Bagi memastikan udang tahan lama, mudah sahaja cara dan tips yang anda boleh lakukan di rumah. Pertama sekali, anda hanya perlu mencuci udang sehingga bersih dan sejatkan airnya sehingga kering. Kemudian, gaulkan udang bersama secubit gula lalu disimpankan ke dalam bekas kedap udara dan ditutup rapi supaya ia kekal segar.

Anda diingatkan supaya mengelakkan daripada menyimpan udang untuk tempoh yang sangat lama, ia akan menyebabkan udang menjadi berbau busuk dan kurang enak untuk dimakan. Jika anda tidak mahu menggunakan gula, anda boleh juga merendamkan udang dalam bekas berisi air dan simpankan begitu sahaja dalam peti sejuk.

Dalam cara yang dinyatakan di atas, anda boleh membuang kulit udang terlebih dahulu dan juga kepalanya, jika mahu. Tetapi, jangan dibuang begitu sahaja kulit dan kepala udang tersebut. Ia boleh digunakan sebagai stok udang dan menjadi bahan dalam masakan berasaskan udang.

Air rebusan tersebut boleh digunakan untuk membuat menu masakan seperti mee udang, mee rebus atau char kuew teow atau lain-lain masakan lagi. Ia pasti lebih menyelerakan dan menambahkan keenakan  masakan tersebut.

Bagi penyediaan air rebusan udang itu tadi, Langkah pertama, anda harus bersihkan kulit udang tersebut dengan air bersih terlebih dahulu. Kemudian, udang tersebut direbus begitu sahaja bersama air biasa dalam kuali atau periuk. Rebuskan sehingga mendidih atau sehingga kelihatan sudah masak, lalu ditutup api. Selepas itu, tapiskan kulit tersebut untuk mendapakan air rebusannya.

Cara lain boleh digunakan dengan menggunakan kulit udang dikisar dengan sedikit air lalu ditapis bagi mendapatkan pati kulit udang itu tadi. Ia adalah terpulang kepada keselesaan dan citarasa anda untuk menggunakan teknik yang anda suka.

Apabila anda sudah selesai melakukan langkah tersebut, anda perlu biarkan seketika sehingga air rebusan sejuk dan simpan dalam peti sejuk seperti biasa. Apabila hendak digunakan dalam masakan, anda hanya perlu keluarkan sedikit dan simpan kembali untuk kegunaan masakan seterusnya.

 

Tips 6: Sotong tahan lebih lama dan kekal manis

Cara penyimpanan sotong adalah sama seperti penyimpanan udang dan mana-mana makanan laut yang lain. Langkah pertama yang perlu diambil ialah mencuci sotong terlebih dahulu dengan air sehingga bersih. Kemudian, potong secara serata sotong tersebut dan tidak terlalu halus, sesuai mengikut saiz yang anda mahukan.

Setelah sotong siap dipotong, gaulkan sotong tadi bersama sedikit gula atau bergantung kepada kuantiti sotong yang ada. Gula yang diletakkan berupaya mengekalkan kesegaran sotong dan memastikan isinya akan tetap lembut apabila dimasak.

Pastikan gaulan antara gula dan sotong menjadi sebati dan letakkan dalam satu bekas kedap udara dan simpankan dalam peti sejuk di bahagian sejuk beku. Sebelum digunakan dalam masakan, bersihkan semula sotong tersebut. Ia tidak akan menjejaskan rasa sotong dan rasa masakan tersebut.

Selain itu, anda juga boleh masukkan sotong atau mana-mana makanan laut ke dalam satu bekas yang tertutup. Isikan makanan tersebut dengan air sehingga ia tenggelam. Tutupkan bekas dan simpankan dalam peti sejuk dengan rapi. Ia mampu bertahan untuk tempoh sehingga 2 bulan dan isinya masih kekal segar dan manis.

 

Tips 7: Cendawan kekal elok dan tahan lama

Untuk pengetahuan anda, cendawan jika tidak disimpan dengan cara yang betul, ia akan mudah rosak dan berbau busuk. Langkah terbaik untuk mengekalkan kesegaran cendawan adalah dengan cara meletakkan cendawan dalam beg plastik yang telah ditebuk lubang sedikit bagi memudahkan pengaliran udara.

Ataupun seeloknya bagi sayuran yang memerlukan suhu yang sejuk seperti ini, anda hanya perlu membungkus atau membalutkannya dalam beg kertas. Ia akan mengurangkan kelembapan pada cendawan yang boleh menyebabkan ia mudah rosak.

Kemudian simpankan sahaja bungkusan tersebut ke dalam peti sejuk supaya ia kekal elok dan cantik seperti mula-mula dibeli. Bagi cendawan kering pula, anda sebaiknya menyimpan di kawasan yang bersuhu sederhana dan kering atau diletakkan dalam bekas kedap udara bagi mengelakkan ia terdedah dengan kelembapan dan sebaiknya anda jauhkan daripada air. Ini bertujuan bagi mengelakkan cendawan menjadi rosak dan berbau busuk.

Tips 8: Keju kekal lama dan segar

Bagi tujuan penyimpanan keju untuk lebih tahan lama, anda boleh mengamalkan tips ini. Anda hanya perlu memastikan suhu bagi ruangan penyimpanan dapat mengelakkan pertumbuhan kulat pada keju. Jika anda menyimpan keju dalam peti sejuk, ia akan menjadikan keju kering.

Bagi mengatasi permasalahan sebegini, anda disarankan untuk menyapu permukaan keju dengan mentega terlebih dahulu sebelum meletakkannya ke dalam peti sejuk. Ia bertujuan bagi mengelakkan keju daripada mengering apabila dibiarkan begitu lama dalam peti sejuk.

Suhu yang panas pula akan mengalakkan lagi pertumbuhan kulat pada permukaan keju. Jadi, penyimpanannya amatlah perlu diberi perhatian sepenuhnya. Seeloknya, anda harus menyimpan dalam bekas tertutup dan kedap udara bagi mengelakkan pengudaraan yang tidak baik untuk keju. Selain itu, anda harus pastikan bahawa ruangan simpanan keju juga bersuhu sejuk dan bersesuaian dengan keadaan keju.

Tips 9: Buah-buahan kekal segar dan tidak mudah lebam

Bagi beberapa jenis buah-buahan, teknik penyimpanan agar ia lebih tahan lama adalah berbeza. Salah satu tips yang anda boleh gunakan kepada buah-buahan ialah dengan cara merendamkan buah-buahan dalam rendaman cuka. Setelah itu, bilaskan dengan air bersih dan keringkan. Lalu, simpankan buah-buahan tersebut dalam kotak yang telah dilubangkan dan masukkan dalam peti sejuk.

Bagi buah anggur, cara untuk mengekalkan kesegarannya adalah dengan cara mengantungkan buah tersebut di tempat kering, dingin dan gelap agar tidak terdedah dengan cahaya berlebihan, namun kekalkan pengudaraan yang baik untuk anggur. Kebiasaannya, anggur yang tahan lama adalah anggur yang tidak terdedah dengan air selama satu setengah bulan sebelum dipetik, ia akan lebih tahan lama berbanding sebaliknya.

Bagi buah tomato, ia perlu disimpankan bersama tingkai yang dihalakan ke atas jika masih muda. Elakkan diletakkan secara banyak dan terhimpit, letakkan di tempat yang sejuk sehingga ia bertukar warna kemerah-merahan. Jika tomato disimpan ketika sudah masak, sebaiknya ia disimpan dalam suhu bilik dan jangan bagi ia bertindih antara satu sama lain. Ini kerana ia akan menyebabkan buah tomato mudah lembik dan berbau busuk.

Buah epal hendaklah disimpan di tempat yang sejuk dan elakkan bertindih antara satu sama lain dengan epal yang sudah rosak atau lebam. Sebelum anda menyimpan epal, anda perlu membungkus epal dengan menggunakan kertas dengan tangkainya menghala ke atas di simpan dalam peti sejuk di ruangan yang sejuk dan gelap.

Bagi penyimpanan buah beri, anda boleh mencampurkan cuka epal dan air dengan sukatan 1:10, kemudian masukkan buah-buahan beri ke dalam campuran bahan tersebut. Setelah dibiarkan seketika, toskan air tadi dan simpan buahan beri dalam mangkuk dan dilapik dengan kertas lalu disimpan dalam peti sejuk.

Teknik ini sangat membantu bagi memastikan buahan beri lebih tahan lama dan kekal segar untuk tempoh yang lama. Selain itu, buah pisang juga dapat disimpan dan tahan lama jika bahagian hujung pisang tersebut dibalutkan dengan pembalut plastik. Ia akan kekal dan tahan lama untuk tempoh 3-5 hari dari kebiaasaanya. Yang penting, anda perlu asingkan buah pisang dengan buahan yang lain.

 

Setelah mendapat beberapa info berkaitan penjagaan makanan dan teknik penyimpanan yamng betul. Anda tidak perlu khuatir untuk menyimpan makanan untuk tempoh masa yang lama. Anda juga boleh menggunakan petua dalam menghilangkan bau peti sejuk dengan meletakkan sedikit esen vanila dalam bekas kecil dan simpankan dalam peti sejuk. Hasilnya, ia akan menjadikan peti sejuk kekal berbau harum dan segar.

Seterusnya, anda boleh meletakkan sepotong nenas pada setiap tingkat bahagian dalam peti sejuk. Setelah itu, bau-bauan yang kurang menyenangkan akan hilang Ataupun, anda boleh mengambil beberapa helai daun pandan dan letakkan di dalamnya. Bau peti sejuk akan harum seperti daun pandan.

Selamat mencuba!

print
Sakinah Ahmad
Sakinah Ahmad

Everyday we start a day with positive minds and ends it in peaceful. Just be yourself and treat people good if we want people treat us well. Just love yourself and care the others and also love fooooooddddddd! Chill yo! ;)

Do good, eat good! Get 18 special heritage recipes at only US$1.99. 50% of all proceeds goes to Food Aid Foundation.

Sign up for Ramadhan x Food Aid Foundation

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Something is wrong.
Instagram token error.
Load More