Tip Penyediaan Salad Cef Selebriti Nik Michael Imran

Tip penyediaan salad khas Cef Nik untuk pedoman semua ada di sini!

Salad ialah perkara pertama yang anda timbul di kotak fikiran anda apabila terdengar perkataan ‘diet’ dan ‘kesihatan’, diikuti oleh bayangan dedaun hijau yang layu, lembik dan tidak menyelerakan. Sesiapa sahaja pun akan mengerutkan hidung anda. Hilang selera dibuatnya! Namun begitu, kita tetap juga memesan salad di luar ataupun menyediakannya sendiri di rumah, dan menikmatinya setiap hari kerana kita tahu salad adalah antara sajian yang rendah kalori dan antara pilihan terbaik untuk membantu kita menurunkan berat badan secara sihat. Kita tidak boleh menafikan hal ini, betul tak?

Walau bagaimanapun, satu persoalan tetap muncul dalam kotak fikiran kita. Perlukah salad menjadi satu sajian yang menyeksakan diri dan deria rasa semata-mata kita nak menguruskan badan? Bagi cef selebriti Malaysia dan Pengarah Kulinari Butterkicap, Nik Michael Imran, tidak semestinya begitu. Tidak seperti kebanyakan kanak-kanak lain, Cef Nik sangat menyukai salad dan tidak pernah menolak untuk makan sayur-sayuran sepanjang beliau membesar. Rahsia cef mudah sahaja; kepelbagaian atau variasi. Kombinasi sayur-sayuran yang berwarna-warni dan kuah ‘dressing’ salad yang penuh berperisa sudah cukup untuk buat individu paling anti-sayur pun akan berasa tergoda untuk menikmatinya.

Salad Dressing 101

Tiada siapa pun mahu menikmati salad yang basah, lembap dan lembik, termasuklah Cef Nik. Menulis tentangnya pun dah cukup untuk buat tekak kami terasa kembang. Oleh itu, Cef Nik sangat menekankan kepentingan untuk menguasai kemahiran asas dalam penyediaan salad. Menyediakan salad memang sangat mudah. Kita tak perlu ikut resipi tertentu atau ukuran tertentu. Perkara paling penting yang menjadi tip penyediaan salad utama Cef Nik ialah tekstur dan perisa salad itu sendiri. Jadi, bagaimana kita nak menyediakan salad yang paling sedap?

Pengalaman beliau bertahun-tahun lamanya, baik menikmati salad mahupun menyediakan salad telah membuat Cef Nik sedar bahwa ada dua prinsip utama yang perlu diikuti semasa menyediakan salad.

Tip Penyediaan Salad Cef Nik

1 – Ikut Nisbah 25:75

Terdapat pelbagai resipi kuah salad atau vinaigret ‘terbaik’ yang boleh dijumpai di Internet. Walau bagaimanapun, resipi terbaik, pada pandangan Cef Nik ialah resipi yang mengikuti nisbah 25:75.

Kenapa begitu penting untuk kita mengikuti nisbah ini? Nisbah 25:75 ini merujuk pada ukuran cuka dan minyak yang digunakan. Cuka dan minyak adalah dua bahan utama dalam kuah ‘dressing’ atau vinaigret. Minyak memainkan peranan sebagai pengalir sementara cuka pula memberi perisa masam cuka yang kuat kuah salad yang tipikal. Tanpa tip penyediaan salad ini, anda tidak akan dapat menyediakan resipi kuah salad yang berkualiti. Cef Nik juga menegaskan bahawa mempunyai ukuran nisbah minyak dan cuka sahaja tidak mencukupi untuk menyediakan kuah salad yang betul-betul memukau.

2 – Jangan Lupakan Pengemulsi

Satu lagi komponen penting dalam menyediakan kuah salad ialah pengemulsi. Pengemulsi membantu untuk menyebatikan minyak dan cuka yang mana kita semua tahu mempunyai ketumpatan berbeza dan tidak dapat disebatikan dengan sendirinya.

Kita boleh menggunakan sos biji sawi atau telur kuning sebagai pengemulsi. Perkara yang paling penting apabila memilih pengemulsi ialah keupayaannya untuk memekatkan kuah dan menyebatikan minyak serta cuka. Dengan pengemulsi, minyak dan cuka takkan meleleh daripada daun salad dan bertakung di dasar salad lalu membuatkan daun salad menjadi layu dan lembap. Kuah salad yang terbaik adalah yang menyelaputi daun-daun salad secara sekata untuk menjadi setiap gigitan penuh berperisa.

Bonus: Resipi Salad Kegemaran Cef Nik Michael

Salad Kegemaran Cef Nik: Salad Pegaga & Daun Gajus dengan Sos Biji Sawi Bermadu

Menyediakan salad memerlukan minda yang kreatif. Kita perlu berfikir di luar mangkuk salad. Untuk itu, kita perlu berfikir, ‘Apakah yang menjadikan sajian salad, salad?’ Jawapan Cef Nik mungkin bertepatan dengan jawapan yang muncul di kotak fikiran anda. Menurut beliau, salad boleh menjadi gabungan pelbagai ulam-ulaman, daun herba mahupun sayur-sayuran berbeza yang digaul rata dengan kuah salad pilihan anda, baik sekadar menuangkan minyak zaitun di atas salah atau kuah salad yang merumitkan dengan perisa luar biasa seperti tahini-kunyit.

Salad ialah lambang keindividualan anda. Apapun kombinasi perisa yang kena dengan citarasa anda, itulah yang dianggap sebagai salad terbaik untuk diri anda. Lagipun, siapa lagi yang akan makan salad yang anda sediakan kalau bukan anda sendiri? Jadi, tidak perlulah fikir sangat tentang apa yang orang lain suka dan letak saja bahan-bahan yang anda suka!

Siap dalam 10 Minit!

Membesar dalam keluarga yang besar, Cef Nik menganggap waktu makan di rumah beliau seperti satu jamuan besar. Seperti kebanyakan keluarga di Malaysia, waktu makan dianggap sebagai masa untuk seisi keluarga meluangkan masa berkualiti dan bertanya tentang hari masing-masing. Oleh itu, kebanyakan kenangan, baik yang manis mahupun pahit dicipta di meja makan. Salah satu kenangan terindah daripada zaman kanak-kanak beliau adalah bereksperimen dengan pelbagai resipi salad dan kuah salad berbeza bersama-sama keluarga dan tradisi ini masih diamalkan oleh beliau hingga kini. Resipi kuah salad kegemaran beliau ialah kuah salad sos biji sawi bermadu atau honey mustard.

Sempena beliau mengimbau kembali kenangan manis membesar di rumah keluarga beliau, Cef Nik ingin berkongsi resipi salad kegemaran beliau yang wajib disediakan dalam setiap jamuan keluarga di rumah beliau iaitu resipi salad pegaga dan daun gajus yang diperisakan dengan sos biji sawi bermadu yang menyelerakan. Perisa pegaga yang pahit-pahit manis dengan bau sitrus yang halus dan bauan seakan lemon dan gajus membawa elemen segar yang boleh membuatkan anda asyik menambah berkali-kali. Resipi ini tidak mempunyai ukuran khusus jadi biar deria rasa anda menjadi panduan anda!

Bahan-Bahan:

a) Salad

  • Daun Pegaga
  • Daun Gajus
  • Hirisan timun, ditabur secubit garam
  • Hirisan tomato ceri, ditabur secubit garam
  • Daun selada karang (Coral lettuce)
  • Daun selada romain (Romaine lettuce)

b) Kuah ‘dressing’

  • Madu
  • 1 telur kuning
  • sudu besar sos biji sawi wholegrain
  • Garam laut (sea salt)
  • Minyak zaitun ekstra virgin
  • Cuka

Cara-Cara:

a) Menyediakan kuah ‘dressing’

  1. Dalam mangkuk kecil atau botol kecil, masukkan telur kuning, sos biji sawi, madu, cuka, garam dan minyak zaitun.
  2. Tutup botol dan gocang hingga sebati ataupun ambil sudu kecil untuk campurkan semua bahan sehingga sebati jika anda menggunakan mangkuk kecil.

b) Menyediakan salad

  1. Masukkan semua sayur dan ulam dalam besen yang besar. Pastikan anda tidak masukkan terlalu banyak sayur untuk mengelakkan sayur daripada cepat layu, lembik dan memastikan semua sayur dan ulam disalut oleh kuah ‘dressing’ dengan sekata.
  2. Tuang kuah ‘dressing’ dan gaul dengan sekata. Jika anda tidak dapat mengagak, masukkan sedikit demi sedikit.
    Tip: Kuah ‘dressing’ yang mencukupi adalah apabila setiap helaian daun salad diliputi lapisan kuah yang nipis. Daun salad akan kelihatan berkilat.
  3. Gunakan penyepit untuk meletakkan salad anda di dalam pinggan. Hal ini akan memastikan salad anda masih segar dan rangup kerana tidak terendam lama di dalam lebihan kuah ‘dressing’ dalam besen tadi. Salad sudah sedia dimakan!

Bukan Sekadar Tip Penyediaan Salad…

Mengamalkan pemakanan sihat hanyalah satu aspek kecil dalam usaha anda untuk hidup sihat dan gembira. Pada penghujung harinya, semuanya bergantung pada diri kita sendiri. Misalnya, dalam menyediakan salad, kenapa kita perlu mengikut citarasa orang lain sedangkan kita pun ada citarasa yang tersendiri juga. Sepertimana Cef Nik menyedari bahawa rahsia penyediaan salad ialah kreativiti, begitu juga, anda boleh menggunakan kreativiti anda untuk memastikan anda hidup lebih sejahtera dan gembira. Apapun letakkan diri anda dahulu kerana diri anda penting juga.

Makan sihat, hidup bahagia!

print
Butterkicap Team

We're just a small group of friends who love food, culture and Malaysia. We saw the rise of mediocre food, deteriorating relationships and missed the good old days of Malaysia where food was good, homes were warmer and full of friends and family. So we rolled up our sleeves, and made Butterkicap with the hope that it will bring people and flavors home.

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.