Pais Ikan Warisan Nusantara

Pais ikan merupakan antara makanan pertama yang saya pelajari sejak berhijrah ke bumi Ireland. Maklumlah, kalau dah nama anak Melayu, memang tak sahlah kalau tak makan nasi. Meskipun keseronokan menikmati fish and chips dan kebab di gerai-gerai Arab dan Pakistan di tepi jalanan Cork tika angin dingin musim sejuk bertiup, tapi yang dicari akhirnya tetap ikan goreng, sambal belacan dan nasi.

Belajar di perantauan memberi peluang untuk saya berjinak-jinak dalam dunia masakan dan membuatkan saya mula menghargai keunikan serta keenakan masakan Malaysia. Saya masih ingat lagi apabila saya mnghubungi mama di Malaysia semata-mata ingin mendapatkan resepi masakan yang ringkas dan boleh disediakan dengan mudah. Kerinduan pada masakan Melayu memang membuak-buak ketika itu. Dan resepi yang mama pilih? Resepi yang saya akan ingat sampai bila-bila. Boleh dikatakan juga, bahawa resepi ini ‘cinta pertama’ saya dalam dunia memasak.

Resepi pais ikan ini memang cukup mudah dan tak merenyahkan langsung. Dalam 20 minit, anda sudah boleh menikmatinya. Rahsia pada ikan pais yang enak mestilah jenis ikan yang digunakan dan rasa pedas rempah pais itu. Saya suka menggunakan ikan yang isinya rasa lemak, seperti ikan mackerel kerana ikan sebegitu menaikkan lagi rasa rempah pes pais yang disediakan. Memang naik selera betul!

Bahan-Bahan:

  • Ikan Mackerel, dibelah tengah dan dicuci
  • 5-6 helai daun limau, dimayang halus
  • 2 cawan kelapa parut
  • 2 biji bawang merah saiz sederhana
  • 10 biji cili padi (ikut kepedasan sendiri)
  • 4-5 tangkai cili kering, direbus
  • 4 ulas bawang putih
  • 1 inci kunyit hidup, diracik halus
  • 3 batang serai, diracik halus
  • 1-2 biji telur
  • 1 sudu teh air asam jawa
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 3 sudu besar santan, opsyenal
  • Beberapa helai daun pisang, layur sedikit supaya tidak koyak sewaktu balut
  • Sedikit minyak

Cara-Cara:

  1. Kisar kelapa parut, bawang merah, cili padi, cili kering, bawang putih, kunyit hidup, serai, telur, air asam jawa dan santan hingga halus.
  2. Masukkan bahan kisar di dalam mangkuk dan sumbat ke dalam ikan. Jika terdapat lebihan sapu di bahagian tepi dan atas ikan.
  3. Sapu sedikit minyak di atas daun pisang dan letakkan ikan di tengah-tengah. Tabur daun limau yang diracik. Kemudian, balut ikan dan panggang selama 10-15 minit atau hingga ikan masak. Gunakan api sederhana.

Tip:

  • Untuk pais ikan yang lebih menyelerakan, panggang ikan hingga sedikit garing untuk menyerlahkan lagi rasa salai ikan.

Makan Bersama Nasi dan Ulam

Pais ikan ini disyorkan untuk dinikmati panas-panas bersama sedikit sambal belacan dan ulam-ulaman. Kesederhanaan masakan ini yang menjadikan anda lebih berselera nanti.

Saya berharap perkongsian saya ini sedikit sebanyak membantu anda sepertimana resepi ini ‘menyelamatkan’ saya ketika belajar di perantauan. Siapa sangka makanan yang kita sentiasa tidak hiraukan akan menjadi antara makanan yang kita paling rindui apabila kita berada jauh dari negara sendiri.

Untuk lebih banyak resepi-resepi Melayu yang dimudahkan untuk disediakan semasa merantau di luar negara, anda boleh ikuti saya di laman Instagram masakan saya, @agakagakfoodnetwork.

Jika anda juga ingin berkongsi resepi keluarga atau resepi kegemaran Malaysia anda, anda boleh hantarkan emel ke Butterkicap di sembang@butterkicap.com. Di Butterkicap, makanan menyatukan kita semua.

print
Syiffa Rosman
Syiffa Rosman

I grew up in Taiping and now reside in the Republic of Ireland. I learned to cook when I started living abroad and took an informal cooking course with our family's head chef (my ibu) via FaceTime. Luckily, it worked! I believe in the power of 'Agak-Agak'. Let your love towards good taste lead your instinct. That way, you'll never miss home!

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Access Token is invalid, please get it again