10 Tips Mendapatkan Pekerja 5-Bintang untuk Restoran Anda

Sumbangan pekerja berkualiti ialah sesuatu yang hampir tidak ternilai kepada restoran anda.
Perkhidmatan 5-bintang akan meyumbangkan kepada kejayaan bisnes anda.

Jika mahu tarik ramai pelanggan ke restoran anda perlulah ada pekerja cemerlang. Tidak cukup jika anda hanya punyai restoran yang cantik dan menu yang menarik. Kejayaan sesebuah restoran banyak bergantung pada para pekerja tidak kira dari tukang masak, pelayan, tukang cuci dan lain-lain. Kesemuanya memainkan peranan penting dalam memajukan restoran anda. Jika begitu, perlulah cari pekerja berkualiti!

Di ruangan ini banyak tips yang ingin kami kongsi bersama anda bagaimana cara pengambilan pekerja yang baik. Cara pengambilan pekerja yang baik dan teratur dalam industri makanan adalah amat penting terutamanya bagi pemilik restoran kerana ianya boleh membantu dalam membina reputasi yang baik yang sekaligus boleh menarik pelanggan.

Di samping itu, ianya boleh membina kesetiaan pelanggan, menjimatkan wang dan mewujudkan suasana kerja yang selesa. Pemilik restoran perlu memberi perhatian dalam pengambilan kakitangan bersesuaian dengan tugas-tugas yang telah ditetapkan di bahagian-bahagian restoran tersebut.

Umpamanya, pekerja yang ditugaskan untuk menyambut pelanggan di bahagian depan restoran haruslah mempunyai perawakan yang mesra untuk menarik pelanggan. Para pelanggan yang berpuas hati dengan layanan mesra tentunya akan menjadi pelanggan setia.

Secara umumnya, cara pengambilan pekerja restoran yang baik memerlukan sekurang-kurangnya dua temuduga dan pihak pengurus restoran haruslah memeriksa rujukan dari bekas majikan dan melalui telefon serta memeriksa latar belakang seseorang sebelum individu tersebut diambil bekerja.

Jika anda pemilik restoran, apakah cara terbaik yang perlu anda lakukan untuk memastikan anda memperolehi pekerja berkualiti yang menepati ciri-ciri yang anda kehendaki? Berikut adalah beberapa tips yang anda boleh ikuti untuk memastikan proses pengambilan pekerja di restoran anda berjalan dengan lancar dan teratur.

 

1. Lihat ciri-ciri cemerlang yang ada pada para pekerja yang sedia ada.
Sebelum anda memulakan proses pengambilan pekerja cuba bayangkan pekerja ideal anda. Apakah ciri-ciri yang anda mahukan dalam kakitangan restoran anda? Cara yang terbaik adalah melihat sendiri pekerja contoh yang anda miliki di restoran anda. Anda sendiri tentu mahir dengan cara pekerjaan dan ciri-ciri yang dimiliki oleh para pekerja di restoran anda. Tanya diri anda apakah yang membuatkan mereka mempunyai motivasi untuk melayan pelanggan anda dengan baik? Kakitangan merupakan faktor penting dalam perniagaan anda dan ianya boleh mempengaruhi kemajuan dan reputasi restoran. Oleh itu, elakkan dari mengambil kakitangan yang tidak mempunyai ciri-ciri cemerlang yang dimiliki oleh para pekerja anda yang sedia ada.

 

2. Ambillah pekerja yang memiliki sikap yang baik.
Seseorang individu yang memiliki sikap yang baik serta mempunyai etika pekerjaan yang tinggi akan menjadi pekerja yang cemerlang sungguhpun pada mulanya individu tersebut mungkin tidak memiliki kemahiran teknikal yang diingini anda. Kemahiran teknikal lebih mudah diajar berbanding dengan etika pekerjaan yang baik. Bersesuaian dengan keperluan restoran, anda boleh mengambil pekerja yang memiliki sikap yang baik dan rajin untuk bekerja di peringkat bawahan pada permulaannya. Latihlah dia sehingga dia mahir dan boleh bekerja di peringkat yang lebih tinggi di restoran anda. Pekerja yang memiliki sikap yang baik akan tidak mudah mengalah dan akan senantiasa berusaha sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik. Anda boleh mencari calon pekerja sedemikian di Jooble, rakan kongsi Butterkicap.

 

3. Seseorang yang boleh menghadapi tekanan dengan tenang.
Pekerja yang tidak pandai menangani tekanan sudah tentu merumitkan kehidupan anda. Ini adalah penting terutamanya bagi restoran yang sentiasa penuh dengan pelanggan. Bagi para pekerja di bahagian dapur iaitu tukang masak dan juga para pelayan haruslah sentiasa fokus untuk menyediakan makanan yang berkualiti serta memberikan layanan yang terbaik terhadap para pelanggan. Pada hari-hari yang sibuk di restoran anda, banyak perkara yang boleh berlaku seperti masakan tidak mengikut citarasa dan spesifikasi pelanggan, kehabisan bahan-bahan tertentu untuk memasak serta pesanan pelanggan yang bercampur aduk. Situasi sebegini boleh memberi tekanan pada kakitangan restoran tetapi pekerja yang cekap akan tidak mudah mengeluh malah akan sentiasa mencari jalan untuk memberikan yang terbaik buat pelanggan.

 

4. Carilah seorang pekerja yang cekap dan boleh dipercayai.
Di bahagian dapur terutamanya, tukang masak seringkali tidak mempunyai banyak masa untuk berfikir panjang lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan krisis. Kemahiran mereka dalam menyelesaikan masalah haruslah tepat dan berkesan. Pengurus di bahagian dapur juga kemungkinan tidak selalu ada, oleh itu pekerja yang cekap dan boleh dipercayai dalam mengendalikan tugasan tanpa sentiasa memerlukan kehadiran pengurus adalah amat diperlukan.

 

5. Pastikan soalan temuduga anda mempunyai struktur yang baik dan seragam.
Sebagai pengurus atau pemilik sesebuah restoran, sudah tentunya anda kerap melakukan sesi temuduga bagi pengambilan kakitangan baru. Bagi sesebuah restoran yang sibuk dan dikunjungi ramai pelanggan, tidak hairan sekiranya sesi temuduga di adakan setiap bulan bagi mengambil tenaga kerja baru bersesuaian dengan saiz dan keperluan restoran. Oleh itu, pastikan bahawa setiap sesi temuduga adalah produktif dan dijalankan secara teratur dengan mewujudkan senarai soalan temuduga yang seragam.

Di samping itu, pengurus dan pemilik restoran juga harus melakukan perancangan teliti untuk mengadakan sesi temuduga berikutnya atau sesi temuduga kali kedua. Jimatkan masa anda dengan hanya memberi tumpuan kepada pemohon yang berjaya menjawab soalan-soalan temuduga dengan baik dan lancar di sesi pertama. Para pemohon yang tidak memberi jawapan yang memuaskan seharusnya ketepikan dengan serta-merta.

 

6. Kenali dan bina rangkaian dengan sekolah-sekolah masakan di dalam dan di luar negara.
Ini merupakan satu lagi cara untuk menjimatkan masa anda dalam mencari pekerja berkualiti terutama sekali dalam bidang masakan. Dengan berkomunikasi dan membina persahabatan dengan sekolah-sekolah masakan tersebut anda boleh memperolehi maklumat dan rujukan tentang para graduan mereka yang sedang mencari pekerjaan. Kelazimannya, sekolah-sekolah masakan terkemuka dan berprestasi tinggi akan mendapat lebih perhatian tetapi dalam mencari pekerja anda tidak perlu menghadkan tumpuan anda hanya kepada sekolah-sekolah tersebut sahaja. Banyak badan kerajaan serta badan bukan kerajaan atau NGOs menawarkan program masakan secara kecil-kecilan dan menghasilkan graduan yang tidak kurang hebatnya. Yang paling penting adalah sikap serta kemahuan mereka untuk belajar dan bekerja bersungguh-sungguh.

 

7. Beri tumpuan kepada personaliti pekerja yang boleh bekerjasama dengan pekerja-pekerja lain di restoran.
Dalam kesibukan di restoran, para pekerja harus bekerjasama antara satu sama lain supaya perjalanan restoran sentiasa teratur dan memuaskan pelanggan yang datang berkunjung. Sungguhpun pada kelazimannya sistem dan koordinasi di sesebuah restoran telah di tetapkan, para pekerja harus pandai berkomunikasi dan saling bantu membantu di antara satu sama lain. Di bahagian dapur restoran umpamanya, seorang tukang masak perlu cekap dalam memberi ruang kepada rakan sekerja yang lain jika mereka perlu menggunakan oven atau perkakas lain. Kelazimannya, bahagian dapur restoran akan mempunyai beberapa orang tukang masak yang akan bekerja pada waktu yang sama. Oleh itu faktor kerjasama adalah penting untuk kesemuanya berjalan secara teratur dan baik.

 

8. Gunakan kaedah tradisional yang diketahui berkesan.
Salah satu kaedah lama yang dianggap berkesan adalah dengan mengambil pekerja yang anda kenali dan beramanah. Beri tumpuan pada ahli keluarga dan sahabat handai untuk mengisi kekosongan kerja di restoran anda. Pada permulaan perniagaan terutamanya, anda amat memerlukan para pekerja yang dipercayai. Oleh itu, cara yang paling baik adalah dengan mengambil orang yang anda kenal rapat untuk bekerja. Ramai pemilik dan pengurus restoran mendapatkan rujukan tentang bakal pekerja yang memohon pekerjaan dari orang-orang yang terdekat seperti keluarga, rakan-rakan dan kenalan.

Di samping itu, keluarga dan rakan-rakan juga boleh membantu dalam menyebarkan maklumat tentang jawatan kosong di restoran anda. Sekiranya didapati kaedah ini kurang mendapat perhatian, kaedah kedua paling baik adalah dengan membuat pengumuman di akhbar-akhbar tempatan tentang jawatan-jawatan kosong yang anda tawarkan. Ramai pemohon masih lagi merujuk kepada iklan-iklan yang dipamerkan di akhbar-akhbar tempatan apabila mencari pekerjaan.

Perlu diingatkan bahawa peniaga atau pemilik restoran yang bijak lazimnya akan memberi dan membuka ruang untuk pemohon yang berpotensi sungguhpun tiada kekosongan jawatan. Ini adalah kerana, pekerja yang baik dan cemerlang boleh dilatih untuk melakukan pelbagai tugas di restoran dalam jangka masa yang pendek.

 

9. Wujudkan laman web bagi restoran anda.
Wujudkan laman web yang menarik dan mudah dikendali. Ini bukan saja bagi tujuan promosi bahkan boleh menarik kakitangan yang berpotensi tinggi. Ini adalah cara mudah untuk para pemohon mendapatkan maklumat tentang jawatan kosong di restoran anda. Dengan adanya laman web juga, para pemohon boleh terus menyuarakan hasrat dan keinginan mereka untuk bekerja dengan menghantar maklumat peribadi mereka melalui e-mel atau dengan mengemukakan soalan dan mengisikan butiran peribadi di bahagian khas yang telah di sediakan pada laman web tersebut.

Di zaman teknologi maklumat terkini, ramai pemohon yang melayari internet untuk mendapatkan maklumat tentang jawatan kosong atau ruang pekerjaan. Oleh itu pastikan laman web restoran anda sentiasa dikemaskinikan dan ianya menggunakan kata kunci untuk memudahkan para pemohon mencari maklumat. Anda boleh menggunakan ungkapan yang ringkas dan mudah seperti berikut:

Pengurus diperlukan di restoran Murni
Pelayan diperlukan di restoran makanan laut Kirana

Jangan lupa juga untuk mewujudkan akaun facebook untuk restoran anda lengkap dengan maklumat terkini.

Ingat! Laman web yang menarik sudah tentu akan mendapat perhatian umum secara meluas. Jadi selalulah kemaskinikan laman web anda agar pelanggan tidak bosan dan pekerja yang berpotensi tertarik untuk bekerja di restoran anda.

 

10. Kualiti atau kuantiti?
Bagi pemilik dan pengurus restoran, meneliti permohonan dan soalan dari para pemohon yang terima melalui emel dan laman web adalah satu perkara yang boleh memakan masa. Anda juga tidak mahu membazirkan waktu dengan meneliti permohonan yang tidak berkualiti. Oleh itu apakan kaedah paling sesuai untuk menjimatkan masa anda? Di laman web restoran anda berikan beberapa soalan yang harus dijawab oleh para pemohon apabila mereka menghantar permohonan mereka. Ini boleh dilakukan dengan bertanyakan soalan ringkas dan mudah seperti berikut di laman web restoran anda:

Bilakah waktu sesuai bagi membawa keluar hidangan utama kepada pelanggan?

Berikan jangka masa waktu yang diperlukan untuk memasak daging steak matang?

Dengan menambah beberapa soalan seperti ini, anda boleh mendapat gambaran jelas tentang minat serta ketelitian para pemohon. Hanya para pemohon yang betul-betul berminat dan mempunyai ciri-ciri yang diperlukan akan menjawab soalan-soalan tersebut. Ini juga akan memudahkan kerja anda dalam mencari pekerja yang berkualiti.

Proses pengambilan pekerja merupakan salah satu perkara yang rumit dalam perniagaan. Semua pemilik restoran mahukan pekerja yang berkualiti dan setia kekal bekerja pada jangka masa yang lama. Walaupun begitu, realitinya pekerja sering datang dan pergi. Apa yang boleh dilakukan oleh pemilik dan pengusaha restoran adalah mencari kaedah yang mudah dan sesuai dalam mencari pekerja yang berkualiti. Di harapkan tips-tips di atas dapat membantu anda.

Selamat mencuba dan semoga maju jaya!

print
The Good
The Bad
Feedadooda
Feedadooda

Contributor

Feedadooda is a Malaysian who lives in Osaka, Japan. A researcher by training, she loves to travel and is passionate about food. Her teaching and research takes her around the world where she could experience different food cultures. In her free time, she writes about her experience overseas and share tips on how to survive without sambal belacan and kicap manis with hungry audiences. Other than that, feedadooda also shares her knowledge on various cooking topics and food related businesses.

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Something is wrong.
Instagram token error.
Load More