Siti Li Food Studio: Antara Minat, Seni dan Makanan Tradisi

Kredit: eatdrinkkl

Siti Li Food Studio sememangnya syurga makanan tradisi yang masih lagi tidak diketahui ramai. Terletak di Bukit Damansara, kafe ini berkongsi ruang di bangunan kolonial berwarna putih KitaKita, butik batik eksklusif yang menawarkan perkhidmatan rundingan hiasan dalaman, rangkaian pakaian dan barang hiasan bermotifkan batik. Mengapakah Siti Li Food Studio digelar sebagai syurga makanan tradisi? Butterkicap menemui jawapannya.

Ketibaan kami di KitaKita disambut dengan alunan lembut lagu-lagu kotemporari bertemakan Ramadhan di corong pembesar suara. Suasana sepi dan tenang di Bukit Damansara setara dengan hiasan ringkas dan mewah Siti Li Food Studio. Salah seorang pemilik kafe tersebut, Puan Siti Li, mengalu-alukan kedatangan kami dengan penuh mesra meskipun beliau sibuk menguruskan persiapan kafe untuk jamuan berbuka puasa pada esok hari. Melihat dedikasi beliau, sudah terang lagi bersuluh minat dan keghairahan beliau dalam masakan.

 

“Saya dan juga rakan kongsi saya, Shareen Ramli, mempunyai satu objektif yang jelas dalam penubuhan kafe kami ini. Kami merasakan sudah tiba masanya untuk rakyat Malaysia didedahkan dengan hidangan masakan Melayu secara gourmet atau fine-dining. Dalam erti kata lain, menikmati hidangan masakan Melayu asli sepertimana yang disediakan secara turun-temurun menggunakan bahan-bahan yang organik dan berkualiti pada harga yang berpatutan. Setakat ini, tiada lagi kafe seperti ini yang menyajikan makanan Melayu yang dihidangkan secara gourmet lagi di Malaysia. Jadi, itulah yang kami mahukan.”

~Puan Siti Li

 

Butterkicap/Puan Siti Li

Berdasarkan penerangan beliau berkenaan matlamat penubuhan kafe Siti Li Food Studio itu sendiri, jelas segala aspek kafe itu mestilah melambangkan matlamat itu sendiri. Jadi, bagaimana beliau pastikan setiap aspek kafe menepati tujuan dan hala tuju kafe tersebut?

“Kami sendiri (Saya dan juga Shareen) duduk dan betul-betul bincang hidangan-hidangan yang kami nak sajikan. Kami nak sediakan makanan yang kami betul-betul tahu memang sedap, yang kami tahu resepi dan cara pembuatannya. Paling penting, hidangan tersebut mestilah sajian masakan Melayu asli yang susah untuk kita jumpa sekarang.

Selain itu, kami juga pastikan setiap bahan masakan yang digunakan disediakan menurut cara kami sediakan dan berkualiti. Di sini, kami tak gunakan cili boh yang siap dipaket. Kami buat sendiri. Sama juga dengan bahan-bahan lain seperti belacan, kami dapatkan daripada makcik yang ibu saya sendiri kenal dan beli daripada beliau.”

~Puan Siti Li

Kredit: KitaKita

Walaupun senarai menu yang diberi masih sedikit, tetapi setiap hidangan yang disediakan pastinya sama enak dan sama lazat. Sukar untuk para pelanggan membuat pilihan, bukan? Puan Siti hanya tersenyum kecil dan menjawab ringkas,

“Semasa kami mula-mula menubuhkan Siti Li Food Studio, kami menghadapi masalah dalam memilih menu. Kebanyakannya mahu letakkan Laksa Sarawak sebagai ‘signature dish’ tetapi saya pula nak Laksa Johor sebab saya tahu permintaan untuk Laksa Johor adalah sangat tinggi dan susah untuk cari Laksa Johor yang betul-betul enak. Selain itu, ramai juga yang sukakan cekodok pisang, nasi lemak tetapi Laksa Johor tetap menjadi kegemaran ramai.”

~Puan Siti Li

Kredit: KitaKita

Melihat penjelasan Puan Siti, kami sedikit sebanyak dapat mengagak bahawa beliau bukanlah seseorang yang baru berkecimpung dalam dunia jualan makanan dan memang benar telahan kami! Puan Siti datang dari keluarga yang menjalankan perniagaan makanan. Sejak kecil lagi, beliau didedahkan dengan senario naik turun perniagaan yang dijalankan oleh ibu beliau yang bermula dengan perniagaan nasi lemak kecil-kecilan hinggalah dikembangkan menjadi perkhidmatan katering. Oleh itu, tidak hairanlah Puan Siti mempunyai pandangan yang jelas dan mudah dalam penubuhan kafe beliau ini. Satu perkara yang ibu beliau kongsikan bersama beliau masih dipegang sehingga kini;

“Jangan jual makanan pada harga yang murah. Kalau anda jual pada harga yang murah, anda perlu berkompromi. Berkompromi di sini bererti anda menggunakan barangan yang murah, barangan yang tak berkualiti. Hasilnya, pasti tidak enak kerana bahan yang digunakan pun tak begitu elok.”

~ Puan Siti Li

Kredit: eatdrinkkl

Memandang keadaan kafe yang sunyi, kami sedar bahawa kafe tersebut tutup pada hari itu. Sangat menghairankan untuk kafe yang sentiasa dipenuhi pelanggan menjadi lengang dan kosong pada hari ini. Puan Siti hanya ketawa mendengar soalan kami.

“Pada bulan puasa, biasanya kami akan tutup untuk tiga hari yang pertama kerana kebiasaannya, orang ramai bersemangat untuk masak dan makan di rumah. Pada hari keempat, kami akan mula beroperasi pada waktu berbuka sehinggalah pukul 11 malam. Ini untuk membolehkan para pelanggan menikmati hidangan bufet berbuka kami sehingga pukul 8.30/9 malam. Selepas itu, kami sediakan hidangan ringan seperti cucur udang, cucur bawang, karipap dan cekodok pisang berserta teh tarik untuk pelanggan kami bawa pulang ke rumah selepas solat tarawikh atau makan di sini. Namun begitu, ruang kami agak terhad, jadi tempahan perlulah dibuat dahulu supaya ada ruang untuk kami tempatkan anda nanti” 

~ Puan Siti Li

Kredit: KitaKita

Kami berasa kagum dengan kesungguhan Puan Siti menyediakan bufet berbuka untuk pelanggan-pelanggan beliau dalam ruang kafe yang kecil dan comel. Kami tertanya-tanya bagaimanakah beliau memastikan keadaan dapur beliau terurus dan dalam masa yang sama menyediakan semua hidangan tersebut dan mempunyai rasa yang konsisten, khususnya pada bulan Ramadhan”

“Saya tetapkan satu jadual yang mana kami akan buat persiapan bahan dan disimpan sehinggalah tiba masa untuk kami sediakan hidangan tersebut. Kami tak masak dan simpan, ya. Maksud saya ialah bahan-bahan mentah itu disediakan terlebih dahulu. Seterusnya, untuk memastikan rasa masakan itu konsisten dan tidak tawar, khususnya pada bulan Ramadhan ini, setiap menu mempunyai ukuran yang tetap. Kami tak main agak-agak di sini (ketawa). Jadi, adanya ukuran tetap itu, mudahlah untuk pastikan rasa itu kekal sama. Macam saya, saya dah biasa masak, saya tak perlukan sangat. Tapi, untuk kakitangan saya, mereka perlukan ukuran itu.”

~Puan Siti Li

Bagaimana pula dengan pengurusan makanan untuk mengelakkan pembaziran?

“Kami ambil tempahan terlebih dahulu, jadi isu pembaziran tidak menjadi satu perkara yang serius untuk kami tangani. Lauk-lauk berat kami akan masak menurut bahagian atau saiz tempahan yang dibuat tetapi hidangan bersayur atau kuih-muih kami akan tambah jika tidak mencukupi kerana penyediaan kuih-kuih dan sayur tak mengambil masa yang lama.”

~ Puan Siti Li

 

Pertemuan kami bersama Puan Siti Li telah membuka mata kami tentang pelbagai aspek perniagaan yang cukup unik khususnya jika perniagaan makanan tersebut melibatkan unsur tradisi dan kualiti makanan turun-temurun seperti hidangan masakan Melayu asli yang dijual di Siti Li Food Studio. Perkara yang penting ialah kualiti, niat dan pengurusan kafe yang ditentukan dengan satu hala tuju yang mudah  dan jelas. Sebelum meninggalkan kafe beliau, pesanan terakhir yang beliau beri untuk golongan yang ingin berkecimpung dalam dunia perniagaan makanan ialah;

“Setiap perniagaan hendaklah pentingkan kualiti yang boleh membuatkan pelanggan berasa berbaloi untuk membayar dan berasa puas dengan perkhidmatan yang diberi.”
~Puan Siti Li, Siti Li Food Studio, KitaKitaMy

Kunjungi Siti Li Food Studio di KitaKita, Bukit Damansara untuk pengalaman masakan Melayu asli yang tidak boleh dilupakan:

A: G1.10, 1, Jalan Medan Setia 1, Bukit Damansara,
50490 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Malaysia

T: +60 3-2095 1323
FB: KitaKita
W: KitaKitaMy
print
Butterkicap Team
Butterkicap Team

We're just a small group of friends who love food, culture and Malaysia. We saw the rise of mediocre food, deteriorating relationships and missed the good old days of Malaysia where food was good, homes were warmer and full of friends and family. So we rolled up our sleeves, and made Butterkicap with the hope that it will bring people and flavors home.

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Access Token is invalid, please get it again