7 Tip Menjadikan Resepi Keluarga Sebagai Peluang Perniagaan Makanan

Dalam setiap keluarga pasti ada tradisi, petua dan tradisi unik masing-masing bukan? Ilmu turun-temurun nenek moyang berusia ratusan malahan ribuan tahun dahulu yang wujud dalam sesebuah keluarga dianggap sebagai  sesuatu yang sangat bernilai dan dihargai ahli keluarga.

Salah satu warisan yang lazimnya dimiliki setiap keluarga ialah resepi masakan. Anda mungkin berpendapat bahawa pada zaman moden ini, resepi masakan adalah sesuatu warisan keluarga yang tidak unik kerana sesiapa sahaja boleh mendapatkan apa-apa resepi masakan yang ingin dicuba pada bila-bila masa dengan hanya satu ketikan di hujung jari. Tidak cukup dengan itu, cara masakan juga turut diajar satu persatu di dalam video.  Jadi, tidak hairanlah kenapa masyarakat Malaysian kini memandang sepi resepi-resepi tradisional dan lebih sukakan masakan yang unik, menarik dan mengikut peredaran masa.

Namun begitu, sebaik manapun ataupun hebat dan unik resepi yang ada di internet, tiada yang mampu menandingi keistimewaan resepi warisan keluarga.

Membesar dengan makanan yang dimasak oleh ibu mahupun nenek sememangnya adalah satu memori yang cukup manis. Keenakan masakan mereka mampu membuat anda bertambah selera sehingga habis licin beberapa pinggan nasi dan secara tidak langsung,  mengeratkan hubungan silaturahim dan muhibbah sesama rakan taulan mahupun saudara mara apabila makanan yang dimasak turut dikongsi serta dijamu ketika adanya majlis-majlis tertentu atau ketika tetamu berkunjung ke rumah.

Keistimewaan resepi keluarga ini ialah resepi masakan di setiap keluarga berbeza rasa walaupun menu yang dimasak adalah sama. Apabila anda membayangkan keenakan masakan resepi warisan turun-temurun, pernahkah anda berfikir:

Bagaimana jika resepi ini dikomersialkan?

Hal ini adalah sesuatu yang tidak mustahil, malahan jika dilihat kebanyakan perniagaan makanan yang besar dan terkemuka dunia yang wujud pada hari ini, semuanya bermula dengan resepi keluarga. Lihat sahaja restoran rantaian makanan segera popular dunia, Kentucky Fried Chicken (KFC) yang bermula secara kecil-kecilan oleh pengasasnya, Harland Sanders yang memasak menu ayam goreng menggunakan resepi tersendiri yang diajar oleh ibu beliau sendiri dan dijual dari rumah ke rumah. Dari situ, perniagaan tersebut telah berkembang sehinggalah berjaya menjadi restoran bertaraf global seperti yang anda lihat pada hari ini.


Kredit: static01.nyt.com

Jika anda juga mahu mengubah resepi keluarga anda dan menjadi sebuah perniagaan yang besar, idea ini mampu direalisasikan.

Apa yang perlu anda tahu ialah teknik dan cara yang betul bagi mencapainya. Di sini, kami akan berkongsi tips-tips berkesan yang pasti membawa anda ke fasa pertama ke arah matlamat anda. Selamat berjaya!

 

 

1.Pastikan resepi tersebut kekal asli (dari segi persembahan dan rasa)


Kredit: giphy.com

Anda sukakan masakan asam laksa resepi warisan keluarga anda kerana rasanya yang unik dan lain daripada yang dijual di kebanyakan kedai serta mahu menjadikan resepi itu satu perniagaan besar. Oleh itu, anda perlu kekalkan rasa dan perisa masakan anda seperti yang anda suka tersebut. Hal ini demikian kerana resepi keluarga anda sudah pasti mempunyai rahsianya yang tersendiri dan menjadikan masakan anda itu mempunya rasa yang unik di lidah anda. Jika anda yakin dengan keistimewaan dan persembahkan makanan tersebut kepada pelanggan anda dengan cara yang sama seperti anda menikmatinya pasti akan membawa respon yang anda inginkan!

 

 

2. Dapatkan pandangan golongan sekeliling anda


Kredit: giphy.com

Setiap perniagaan itu bermula secara kecil-kecilan. Sebelum anda dapat menjadikan resepi keluarga anda itu sebagai sebuah perniagaan besar, anda hendaklah bermula dari bawah. Maka, tidak salah untuk anda mencuba dahulu dengan memasak resepi kebanggaan anda itu dan dapatkan pandangan orang sekeliling anda dahulu. Cara ini juga boleh dilihat sebagai salah satu cara ‘marketing’ yang berkesan untuk mencipta “buzz” atau nama untuk masakan anda itu. Apabila orang ramai mengetahui keenakan masakan anda, pasti mereka akan mahu lagi! Dari situlah, proses promosi anda bermula. Beritahulah peminat masakan anda cara mereka boleh terus mendapatkan makanan yang anda hidangkan tersebut, iaitu melalui anda 🙂

Bukan itu sahaja, produk yang baik pasti akan membuatkan mereka yang mencuba tidak henti-henti bercakap. Secara tidak langsung, anda sebenarnya telah membuatkan resepi anda itu mula dikenali dan mendapat tempat dalam kalangan orang awam.

 

 

3. Promosikan dan iklankan perniagaan anda itu


Kredit: 68.media.tumblr.com

Bagi memastikan perniagaan makanan resepi keluarga anda itu dikenali, pastikan masakan anda itu dihebahkan menggunakan kaedah yang terbaik.

Jangan takut untuk laburkan wang yang banyak bagi mengiklankan produk makanan anda. Sesetengah individu mungkin merasakan promosi dan ikan adalah sesuatu yang tidak diperlukan dan sekadar membazirkan wang. Namun, cuba fikir secara positif dan berpandangan jauh. Cabaran  paling besar dalam perniagaan adalah anda tidak dapat menjangka kesan atau akibat yang akan berlaku daripada setiap keputusan yang anda ambil. Namun begitu, setiap cabaran haruslah ditangani dengan fikiran yang positif. Carilah jalan terbaik untuk mengiklankan perniagaan anda itu.

Pada peringkat awal, anda mungkin tidak akan nampak hasil yang ketara tetapi lama-kelamaan,anda pasti akan nampak hasil daripada promosi yang berterusan  ini apabila orang ramai mula menyedari  kewujudan perniagaan makanan anda. Kata kunci di sini ialah sabar! Anda boleh cuba untuk mengiklankan perniagaan anda di ruangan majalah, di dalam akhbar, laman web yang khusus untuk ‘review’ makanan dan sebagainya. Apapun, kaedah pengiklanan yang anda pilih hendaklah bergantung pada bajet anda dan cara anda mahu ia diiklankan.

 

 

4. Mengupah profesional untuk membina perniagaan anda

Kredit: media.tumblr.com

Cara lain yang boleh dilakukan adalah  dengan mengupah profesional yang dapat membantu anda membina perniagaan anda tersebut.

Maksudnya, tugas anda adalah sebagai penyumbang utama dari segi modal, idea dan fokus  resepi dan menu yang ingin dijual. Mungkin anda boleh mencari pakar dalam bidang reka cipta restoran untuk mereka konsep restoran anda (atau laman web jika anda mahu), jurugambar profesional untuk mengambil gambar-gambar makanan cantik ataupun pereka grafik untuk membantu anda mencipta logo dan iklan yang menarik. Dengan cara ini, hasil keseluruhan perniagaan anda nanti tentulah terbaik.

 

 

5. Perbaiki kekurangan resepi tersebut, jadikannya lebih sedap!

Dari kecil kita sudah terbiasa dengan pisang goreng bukan? Snek ini ibarat makanan ruji kita setiap kali waktu minum petang atau ketika berjalan pulang dari sekolah. Seiring dengan peredaran zaman, masyarakat yang semakin kreatifingin memberi nafas baru pada pisang goreng dan hasilnya, wujudlah menu yang dipanggil ‘pisang goreng cheese’ yang menjadi kegilaan orang ramai. Snek ini lebih laku berbanding ‘pisang goreng panas’ itu sendiri! Inilah yang dinamakan kreatif dalam mengubah resepi sedia ada.

Contoh makanan kreatif lain ialah makanan-makanan tular seperti pau cendawan, keropok lekor cheese dan sebagainya. Kesemua makanan ini adalah olahan makanan yang biasa yang diubah suai dan ditambah dengan bahan lain bagi menjadikan makanan tersebut lain dari yang lain. Namun begitu, resepi baru ini tetap mengekalkan bahan dan teknik asas pembuatan yang sama. Melihat pada sambutan yang diterima oleh orang ramai, hal ini membuktikan bahawa bukan semua perubahan adalah yang buruk-buruk sahaja.

Dengan berpegang pada kata-kata ‘Sentiasa ada ruang untuk penambahbaikan’, kami juga berasa yakin bahawa konsep yang sama boleh digunakan untuk menambah baik lagi resepi keluaga anda tersebut. Apa yang kami maksudkan di sini ialah, walaupun resepi tersebut mungkin sudah sedap dan istimewa, tetapi anda tetap boleh cuba bereksperimen dengan mengolah resepi itu sedikit mengikut selera orang ramai atau mungkin juga  menvariasikan bahan dalam resepi anda itu supaya dapat menambahkan lagi bilangan pelanggan anda nanti kerana setiap orang mempunyai citarasa yang berbeza.

Pokoknya, anda perlu cuba sebaik mungkin untuk memenuhi selera setiap pelanggan. Perkara yang paling penting sekali, anda harus mengekalkan resepi asas yang sedia ada agar resepi baru anda itu tidak begitu jauh berbeza daripada rasa resepi asal anda.

 

 

6. Macam mana dengan sukatannya?


Anda harus ingat bahawa anda ingin mengubah resepi keluarga anda untuk dijadikan komersial, jadi sukatan yang digunakan juga harus berubah. Jika sebelum ini, anda menggunakan sistem ‘agak-agak’ dan ‘cukup rasa’ dalam memasak sesuatu hidangan di rumah, kali ini, anda harus mempunyai kaedah dan sistem sukatan yang betul dalam memasak makanan untuk dijual.

Tambahan pula, masakan anda adalah dalam skala yang besar. Jadi, sukatan bahan yang betul akan memastikan rasa resepi anda itu tetap sama seperti yang anda biasa nikmati di rumah.

Pastikan setiap kali anda memasak sesuatu makanan, sukatan bahan yang digunakan tetap sama. Begitu juga dengan jenis bahan-bahan masakan. Dengan cara ini, barulah resepi tersebut sentiasa sama dari segi rasa dan kualiti.

 

7. Jangan lupa untuk dapatkan lesen


Kredit: m.popkey.co

Akhir sekali, jangan lupa untuk mendaftarkan perniagaan anda tersebut dan dapatkan lesen perniagaan daripada pihak berwajib seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Majlis Bandaraya berdekatan dengan tempat anda berniaga. Dengan cara ini, anda akan dapat menjalankan perniagaan anda dengan sah dan mengelakkan sebarang masalah yang mungkin timbul kelak.

Antara syarat-syarat untuk mendapatkan lesen berniaga (contoh bagi negeri Selangor) ialah anda perlu mematuhi piawaian keselamatan dan kebersihan yang ditetapkan bagi mendapatkan lesen serta-merta. Terdapat juga syarat yang dipanggil syarat khas yang dirangka oleh PBT bagi keperluan setempat. Syarat ini adalah berlainan mengikut PBT namun perbezaannya tidak begitu ketara  antara satu sama lain. Oleh itu, anda harus mendapatkan info yang lebih terperinci tentang proses mendapatkan lesen untuk perniagaan anda kelak berdasarkan lokasi perniagaan anda.

 

Semoga dengan perkongsian tips-tips di atas mampu membantu anda untuk menjadikan resepi istimewa keluarga menjadi satu peluang perniagaan besar!

 

 

print
Bibi Mokrat

Fresh-from-the-oven writer who actually takes pride in the quote 'Women belongs in the kitchen' because that's exactly where she wants to be - most of the time

Love Malaysian food and culture? Find Malaysian recipes and stories on culture here in the Butterkicap community. Join us.

Sign up for Butterkicap

Tweet us 
@butterkicap

Show the world just how amazing Malaysian food is.

Hashtag us at #butterkicap

Please check your feed, the data was entered incorrectly.